Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh Dato ceritakan serba sedikit berkenaan anak-anak Rasulullah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
(Surah al-Ahzab: 33)
Al-Syaukani berkata: Yakni, wahai Ahlul Bait Nabi, ketakwaan dan ketaatan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu sekalian bertujuan untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa yang mencemarkan kehormatan. Dosa-dosa ini timbul daripada kegagalan mematuhi perintah Allah dan melakukan perkara yang dilarang oleh-Nya. (Lihat Fath al-Qadir, 3/221)
Anak Lelaki Rasulullah SAW
Baginda SAW mempunyai tiga orang anak lelaki:
Al-Qasim: Dengan nama inilah Baginda diberi kunyah. Dilahirkan di Makkah sebelum kenabian. Beliau meninggal dunia di Makkah pada usia 2 tahun. Qatadah berkata: “Beliau hidup sehingga sudah boleh berjalan.”
‘Abdullah: Dinamakan al-Tayyib dan al-Tahir kerana beliau dilahir- kan dalam Islam. Dikatakan al-Tayyib dan al-Tahir adalah anaknya yang lain tetapi pandangan yang awal adalah sahih.
Ibrahim: Dilahirkan di Madinah dan meninggal dunia pada tahun 10 Hijrah dalam usia 17 bulan atau 18 bulan. Dikatakan: Baginda mempunyai anak yang dinamakan: al-‘Uzza. Maka sesungguhnya Allah telah menyucikan dan melindungi Baginda daripada perkara ini. (Lihat al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashab, 4/1912).
Anak Perempuan Rasulullah SAW
Zainab: Beliau berkahwin dengan Abu al-‘Asb bin al-Rabi bin ‘Abd al-‘Uzza bin ‘Abd al-Syams; anak kepada ibu saudaranya. Ibunya adalah Halah binti Khuwailid. Beliau melahirkan seorang anak bernama ‘Ali meninggal dunia semasa kecil – dan Umamah yang digendong oleh Baginda semasa solat. ‘Umamah membesar dan berkahwin dengan Ali selepas Fatimah meninggal dunia. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm 209).
Fatimah: Anak perempuan Rasulullah SAW, berkahwin dengan Ali bin Abu Talib dan melahirkan al-Hasan, al-Husain dan Muhassin meninggal dunia semasa kecil – begitu juga Ummu Kulthum yang berkahwin dengan ‘Umar bin al-Khattab, serta Zainab yang berkahwin dengan ‘Abdullah bin Ja’far bin Abu Talib. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 2/118-119)
Aisyah R.Anha pernah menyebutkan bahawa Fatimah R.Anha ialah orang yang paling mirip dengan Rasulullah SAW. Aisyah R.Anha berkata:
مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْبَهَ سَمْتًا وَدَلًّا وَهَدْيًا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي قِيَامِهَا وَقُعُودِهَا
Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih menyerupai Rasulullah SAW sama ada ketika senyap, perilakunya dan pendiriannya kecuali Fatimah binti Rasulullah, ketika berdiri mahupun duduknya.”
Riwayat Abu Dawud (5217), al-Tirmizi (3872) dan al-Nasa’i dalamal-Sunan al-Kubra (8369)
Ruqayyah: Anak perempuan Rasulullah SAW, berkahwin dengan ‘Uthman bin ‘Affan dan meninggal di sisinya. Kemudian ‘Uthman menikahi Ummu Kulthum yang juga meninggal di sisinya. Ruqayyah melahirkan seorang anak lelaki dan dinamakannya ‘Abdullah. Dengan nama inilah ‘Uthman diberi kunyah.
Anak perempuan Baginda 4 orang tanpa perbezaan pandangan. Pandangan yang sahih tentang anak lelaki Baginda adalah 3 orang. Anak Baginda yang terawal adalah al-Qasim, kemudian Zainab, kemudian Ruqayyah, kemudian Fatimah, kemudian Ummu Kulthum. Adapun ketika dalam Islam: ‘Abdullah, kemudian Ibrahim di Madinah.
Semua anak-anaknya daripada Khadijah kecuali Ibrahim daripada Mariyah al-Qibtiyyah. Semua mereka meninggal dunia sebelum daripadanya kecuali Fatimah. Beliau hidup selepas kewafatan Baginda selepas 6 bulan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”