Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menutup aurat ketika dalam suasana banjir seperti yang berlaku kepada khalayak umat Islam yang menghadapi ujian ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dengan perasaan yang amat insaf, kami mengucapkan takziah kepada rakan kami yang menghadapi ujian seperti ini dan semoga kesabaran sentiasa menghiasi diri mereka. Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Baqarah: 155)
Ibn Abbas ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Allah SWT mengkhabarkan kepada kaum yang beriman bahawa sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian. Sesungguhnya Dia jugalah yang menguji kalian di atas dunia ini serta Dia memerintahkan mereka (golongan beriman) untuk bersabar. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 3/220)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan firman Allah SWT:
قُل لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُل لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
(Surah al-Nur: 30-31)
Syeikh al-Sa’di menafsirkan ‘kecuali yang zahir daripadanya’ pada ayat di atas sebagai pakaian yang zahir, iaitu yang biasa dipakai menurut adat setempat dengan syarat pakaian tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 566)
Rasulullah SAW pernah menasihatkan kepada Saidina Ali:
غَطِّ فَخِذَكَ فَإِنَّهَا مِنْ الْعَوْرَةِ
Maksudnya: “Tutuplah peha mu kerana peha itu aurat.”
Riwayat Abu Daud (4014), al-Tirmizi (2795) dan Ahmad (15932). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad menyatakan hadis ini hasan dengan syawahidnya.
Kami kemukakan di sini takrif aurat terlebih dahulu:
Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185)
Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52)
Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31/44)
Batasan Aurat Wanita
Ulama’ berbeza pandangan menurut fuqaha’ berkenaan batasan aurat wanita yang perlu ditutup daripada dilihat lelaki ajnabi.
Mazhab al-Syafi‘i
Terdapat perbezaan pendapat di dalam kalangan fuqaha’ al-Syafi‘i sendiri, sebahagian mereka mengatakan bahawa keseluruhan tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan kedua tapak tangan. Manakala sebahagian lainnya mengatakan bahawa keseluruhan tubuhnya adalah aurat tanpa sebarang pengecualian.
Imam Ibn Hajar al-Haitami ketika mensyarahkan kalam Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa haram hukumnya melihat kepada wajah dan kedua tapak tangan wanita yang merdeka sekalipun tanpa syahwat. Al-Ziyadi menyatakan di dalam syarahnya ke atas al-Muharrar bahawa aurat wanita yang tidak boleh dilihat lelaki ajnabi adalah keseluruhan badannya termasuklah wajah dan kedua tapak tangan menurut pandangan yang mu‘tamad. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/112)
Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyatakan bahawa batas aurat bagi seorang wanita yang merdeka semasa dalam solat, mahupun luar solat (iaitu dengan lelaki ajnabi) adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua telapak tangan sama ada bahagian luar atau bahagian dalam sehingga pergelangan kedua tapak tangannya.
Kemudian, beliau telah menukilkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma dan selainnya yang mengatakan:
مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا؛ لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ
Maksudnya : “Apa yang zahir daripadanya (wanita itu) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/176)
Mazhab al-Hanafi
Fuqaha’ Mazhab al-Hanafi pula berpendapat bahawa keseluruhan tubuh wanita adalah aurat, kecuali muka dan kedua tapak tangan. Akan tetapi mereka berselisih pendapat mengenai kedua kaki wanita, sebahagian mereka mengatakan ianya adalah aurat dan sebahagian mereka berpandangan sebaliknya.
Imam al-Kasani al-Hanafi menyebutkan bahawa muka dan kedua telapak tangan wanita bukanlah aurat, ia merupakan kelonggaran yang telah diberikan oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya di dalam surah al-Nur ayat 31. Selain itu, diharuskan bagi mereka mendedahkan muka dan kedua telapak tangannya kerana mereka berhajat kepada jual beli, mengambil dan memberi. Oleh itu, secara adatnya, semua perkara itu tidak mungkin dapat dilakukan melainkan dengan mendedahkan muka dan juga kedua telapak tangan. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/121-122)
Imam al-Nawawi dan Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan bahawa kedua kaki wanita adalah tidak dikira sebagai aurat menurut pandangan yang diambil oleh Imam Abu Hanifah. (Lihat al-Majmu‘, 3/169; al-Mughni, 1/430)
Ibn Nujaim al-Misri menyebutkan di dalam syarahnya ke atas Kanz al-Daqa’iq bahawa pengecualian kaki (daripada anggota aurat) kerana sukar untuk tidak membuka kaki terutamanya bagi golongan faqir (yang tidak berkemampuan), dan terdapat perbezaan riwayat daripada Abu Hanifah dan mashyikh (dalam mazhab berkenaan isu ini). Pandangan bahawa kaki bukan aurat telah disahihkan di dalam kitab al-Hidayah dan Syarh al-Jami‘ al-Saghir oleh Qadhi Khan.
Kemudian Ibn Nujaim menyatakan juga bahawa suatu anggota yang bukan aurat, tidaklah lazim bahawa ianya boleh dilihat. Adapun boleh melihat kepadanya tertakluk kepada ketiadaan syahwat semasa melihatnya. (Lihat al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 1/285)
Mazhab al-Maliki
Imam al-Dardir al-Maliki pula menyatakan bahawa aurat wanita dengan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat, akan tetapi diwajibkan ke atas wanita berkenaan untuk menutup kedua-duanya kerana dikhuatiri timbulnya fitnah. Imam al-Sawi mengulas kenyataan tersebut dengan mengatakan harus melihat kedua-duanya (muka dan telapak tangan) serta tidak ada beza antara melihat bahagian luar atau bahagian dalam, selagi mana bukan dengan tujuan untuk bersedap-sedap (syahwat). Sekiranya tidak, haram untuk melihatnya. (Lihat Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Saghir, 1/289)
Mazhab al-Hanbali
Al-Buhuti menyebutkan bahawa kedua tapak tangan dan wajah wanita yang merdeka dan telah baligh adalah aurat ketika luar solat. (Lihat Kasyaf al-Qina‘ ‘an Matn al-Iqna‘, 2/130)
Justeru, kita ketahui bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya adalah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya. Manakala terdapat pandangan dalam mazhab al-Hanafi bahawa kaki juga bukan aurat. Ianya juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari kalangan ulama’ Mazhab al-Syafi‘i dan juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dari kalangan ulama’ Mazhab al-Hanbali.
Sekalipun begitu, jika anggota yang tidak dikira aurat itu bukanlah bermaksud diharuskan untuk melihat kepadanya dengan sesuka hati, bahkan para ulama’ menyebutkan keharusan membuka anggota yang telah disebutkan jika adanya hajat dan selamat daripada fitnah serta tidak menimbulkan syahwat.
Suasana Banjir
Kami kemukakan di sini beberapa situasi.
- Jika sekiranya dalam keadaan yang darurat seperti air pasang dan deras yang tidak memungkinkan menutup aurat, maka tutuplah sekadar yang mampu. Firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan (1/868), bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendalah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
Riwayat al-Bukhari (7288)
- Jika sekiranya memungkin untuk menutup aurat terlebih dahulu, begitu juga semasa berada di tempat penempatan banjir seperti masjid, balai raya, sekolah dan lain-lain, maka disyorkan agar sentiasa menjaga aurat. Inilah yang sebenarnya. Memandang enteng dalam isu ini melambangkan pegangan dan kepercayaan kita kepada agama masih di tahap yang kurang memuaskan.
Bacalah sejarah salafus soleh, wanita-wanita yang solehah di zaman dahulu sentiasa memelihara aurat. Begitu juga dengan lelakinya. Bahkan ia telah diwarisi dari generasi ke generasi. Kami kisahkan di sini sebuah tragedi yang berlaku kepada seorang wanita tetapi tetap menutup aurat.
Seorang isteri yang bermusafir dari Mesir dengan suaminya melalui kapal laut pergi menunaikan ibadah haji. Ketika perjalanan pulang, berlaku ombak besar dan kapal yang dinaikinya pecah serta karam di lautan. Ketika penumpang bertungkus-lumus naik ke atas untuk menyelamatkan diri, si suami bergegas turun ke bawah dan mendapati isterinya sedang memakai pakaian menutup aurat kerana menjaga maruah diri dan perintah Tuhan. Selepas itu, beliau berkata kepada suaminya: Adakah anda reda kepadaku? Suaminya menjawab: Ya. Akhirnya, isteri tersebut mati lemas. Lihatlah betapa hebatnya mereka dalam mentaati perintah Allah SWT.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”