#7556: Pembelajaran Agama Semasa Banjir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah kemungkinan untuk kita belajar terutamanya di tempat yang dilanda ujian Allah ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Ibn al-Arabi berkata: Makna umum ayat ini, yakni kepada hak sesiapa yang datang selepas wafat Nabi SAW, ialah bahawa bukan umat islam perlu keluar berjihad kesemuanya tetapi hendaklah sebahagian mereka bertafaqquh (mendalami ilmu) dalam agama. Kemudian mereka pulang kepada kaumnya untuk ajar mereka. Justeru menuntut ilmu diasingkan daripada jihad fi sabilillah sedangkan jihad merupakan jalan kemuncak islam itu sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/601)

Seperti yang dimaklumi, negara kita Malaysia selalu dilanda banjir terutamanya di musim tengkujuh atau pada akhir tahun. Fenomena seperti ini adalah berdasarkan struktur tanah yang rendah dan limpahan hujan serta air pasang di samping mungkin terdapat beberapa faktor yang lain. Persoalannya di sini ialah, apabila suasana seperti ini sebagai contoh mereka sudah berada di penempatan sama ada masjid, sekolah, balai raya atau tempat-tempat yang disediakan oleh kerajaan, adakah ketika itu pembelajaran agama boleh diteruskan atau dihentikan buat sementara waktu?

Dalam menjawab persoalan ini, sebaik-baik pedoman ialah melihat bagaimana sikap dan sifat salafus soleh. Begitu juga mereka yang mengikut jejak langkah hingga ke hari ini. Membuka lembaran sejarah mereka, menemukan kita betapa mereka begitu loba dan bersungguh-sungguh menuntut ilmu dalam pelbagai situasi dan keadaan. Sebagai contoh:

  • Situasi perang. Kita akan dapati, semasa peperangan sendiri pun, panglima tentera Islam akan membawa para ulama yang menyertai tentera Islam untuk mengajar mereka dan mendidik mujahidin sehingga ke titisan darah terakhir. Sejarah membuktikan ada panglima tentera yang bertanyakan hukum cara peperangan Rasulullah SAW kepada ulama’ di kalangan sahabat seperti kisah Nu’man bin Muqarrin R.A. Begitu juga, generasi selepas itu membawa ulama’-ulama’, antaranya Muhammad bin Wasi’ al-Uzdi dan kisahnya masyhur. Begitu juga dikatakan Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fateh pada zaman masing-masing sentiasa berdampingan dengan ulama sekalipun dalam suasana perang.
  • Situasi di tempat pelarian atau penempatan sementara. Pengalaman kami mendapat rakyat Palestin adalah sebaik-baik contoh. Walaupun mereka berada di penempatan seperti di negara Jordan, Lubnan, Turki dan lain-lain, tetapi mereka tetap meneruskan pembelajaran. Begitulah juga yang berlaku, rakyat Syria yang berhijrah ke Turki, kami dapati mereka adakan sekolah-sekolah yang diajar untuk kefahaman yang lebih baik. Ini kerana mereka memahami akan hakikat bahawa menuntut ilmu adalah hal yang terpenting dalam kehidupan mereka. Benarlah sabda Nabi SAW: Diriwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طلبُ العلمِ فريضةٌ على كلِّ مسلمٍ

Maksudnya: “Menuntut ilmu suatu kewajipan ke atas setiap Muslim.”

Riwayat Ibn Majah (224)

  • Situasi musibah seperti gempa bumi, tanah runtuh, banjir, gunung berapi, tsunami, taufan dan lain-lain. Apabila dalam keadaan reda dan mereka ditempatkan di satu-satu tempat, juga diberikan sedikit kefahaman berkenaan dengan agama oleh guru masing-masing. Inilah yang dilakukan oleh para ulama’ Islam.

Kami berpendapat, dalam isu seperti ini, bolehlah pihak berkuasa melalui guru takmir atau guru agama atau imam-imam mengambil dan menggunakan ruang yang ada dalam skala yang kecil untuk sentiasa menyampaikan ilmu agama terutama yang terkait dengan fiqh semasa, fiqh banjir sebagai contoh, apa yang sepatut dan tidak boleh dilakukan. Kami katakan, ini sudah tentu akan memberi manfaat yang besar kepada ummah di samping menjadi terapi yang terbaik untuk ketenangan dalam menghadapi situasi musibah.

Seorang ulama’ di zaman dahulu iaitu Ayyub al-Sakhtiyani, tatkala ditanya, apakah amalan yang kamu ingin lakukan ketika nyawa kamu diambil? Jawabnya: “Aku ingin belajar dan menuntut ilmu.”

Kisah yang sama berlaku kepada al-Biruni. Beliau meninggal dunia ketika usia 78 tahun. Diceritakan, pada saat beliau sakaratul maut dan dan nafas-nafas terakhir, murid-muridnya datang menemuinya. Apabila melihat kedatangan muridnya, beliau mengajak mereka untuk membincangkan satu permasalahan ilmu yang berkait dengan ilmu pusaka atau disebut ilmu Faraid, iaitu berkaitan dengan masalah al-Jadd al-Fasid.

Murid-muridnya yang melihat akan situasi kedhaifan dan kelelahannya menghadapi sakaratul maut itu, tetapi masih lagi mahu untuk membincangkan isu seperti itu, maka murid-muridnya pun berkata, “Wahai syeikh, tidak perlulah kita bincangkannya. Berehatlah.”

Namun beliau dengan tegas menjawab:

وَاللهِ،لَأَنْ أَلْقَى اللهَ عَالِمًا خَيْرٌ مِنْ أَنْ ألْقَاهُ جَاهِلًا

Maksudnya: “Demi Allah, bahawa aku bertemu menghadap Allah dalam keadaan alim, jauh lebih baik daripada bertemu Allah dalam keadaan jahil.”

Daripada sini, jelas bahawa beliau cuba mendapatkan ilmu seupaya mungkin dan tidak membiarkannya begitu sahaja.  (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 34)

Dalam situasi seperti ini, hikmah dan kebijaksanaan guru menangani isu yang kita hadapi perlulah dengan sebaik mungkin agar tidak mengeruhkan suasana sehingga menjadi fitnah. Kami yakin dan percaya apabila ini berlaku, kita sentiasa diingatkan dengan pegangan agama di sepanjang masa kehidupan kita walaupun dalam kesukaran yang dihadapi. Insya Allah, ini yang kita pegang dan bawa akan menjadikan kita sentiasa dalam taufik dan hidayah Allah. Kami akhiri dengan doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.