Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami, apakah doa dan munajat yang sesuai ketika banjir dan hujan lebat, dan amalan yang patut kami lakukan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Imam al-Nawawi ada menulis dalam kitabnya, al-Azkar (hlm. 182), satu bab yang bertajuk “Apa yang perlu seseorang itu baca ketika hujan turun dengan terlalu banyak sehingga ditakuti berlakunya mudharat.” Beliau menyebut tentang satu riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW perihal kemarau yang mereka alami sehingga binasa harta benda, jalan-jalan, tanam-tanaman dan haiwan ternakan Lalu Baginda SAW yang ketika itu sedang berkhutbah lantas berdoa dan hujan pun turun dengan lebat.
Apabila hujan turun dengan begitu lebat sehingga seminggu tidak nampak matahari, maka lelaki tadi datang kembali dan meminta doa daripada Rasulullah SAW agar Allah SWT menghentikan hujan kerana harta benda, jalan-jalan, tanam-tanaman dan haiwan ternakan banyak yang rosak dan binasa. Maka, Rasulullah SAW pun berdoa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Maksudnya: “Ya Allah! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya Allah! (Alihkan ia) ke atas tempat-tempat tinggi, gunung ganang dan bukit bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.”
Riwayat al-Bukhari (1014)
Lalu berhentilah hujan dan keluarlah matahari. Sebahagian ulama menulis faedah doa ini bahawa secara adabnya kita berdoa agar Allah SWT mengalihkan hujan ini ke tempat-tempat lain kerana hujan itu membawa rahmat dan keberkatan.
Sememangnya memperbanyakkan doa ketika musibah itu adalah amalan yang dituntut oleh syarak. Terdapat hadith daripada Ummul Mukminin Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَجَرَهُ اللهُ فِي مُصِيبَتِهِ، وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا
Maksudnya: “Tiada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, kemudian mengucapkan: “Innā lillāhi wa innā ilaihi rājiʿun (Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya), Ya Allah! Aku mohon akan kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini,” melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan yang lebih baik.”
Riwayat Muslim (918)
Begitu juga, digalakkan bagi seorang Mukmin itu untuk memperbanyakkan istighfar, meminta keampunan kepada Allah SWT daripada apa-apa dosa yang dia lakukan sama ada secara sedar atau tidak sedar. Ini kerana dosa akan mengundang bala dan musibah dalam kehidupan seorang Mukmin, manakala istighfar pula akan menolaknya dan menggantikan dengan kebaikan yang tidak disangka-sangka. Terdapat riwayat daripada Abdullah bin Abbas R.Ahuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Sesiapa yang melazimi istighfar, maka Allah akan menjadikan baginya pada setiap kesempitan ada jalan keluar, dan pada setiap duka cita ada perlepasan, dan Allah merezekikannya daripada arah yang tak disangka-sangka.”
Riwayat Abu Daud (1518) dan Ibn Majah (3819). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan dalam Takhrij Riyadh al-Solihin (1873) bahawa pada sanad hadith ini terdapat perawi bernama al-Hakam bin Mus‘ab yang dihukumkan oleh Abu Hatim sebagai majhul.
Hal ini dikuatkan dengan firman Allah SWT tentang pesanan Nabi Nuh AS kepada kaumnya:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).’”
(Surah al-Nuh: 10-12)
Justeru, marilah sama-sama kita melazimi doa dan munajat kepada Allah SWT dalam menghadapi sebarang musibah. Semoga Allah SWT memakbulkan permintaan-permintaan kita yang baik dan menjauhkan kita daripada bala dan musibah melanda.
Selain itu, dalam menghadapi isu banjir ini, kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan khususnya pihak kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Selain itu, aset dan anggota keselamatan seperti tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam, bomba dan agensi-agensi sokongan lain juga boleh dipertimbangkan untuk digerakkan sekiranya keadaan banjir bertambah buruk bagi tujuan mempercepatkan proses bantuan dan pemindahan mangsa banjir, di samping memastikan bekalan makanan dan keperluan dapat disediakan segera di pusat pemindahan sementara. NADMA juga juga boleh berhubung dengan wakil rakyat di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir untuk memperolehi maklumat mangsa banjir.
Musibah banjir ini boleh sahaja berlaku di mana-mana sahaja, sekiranya dikehendaki oleh Allah SWT, tidak kira kawasan bandar mahupun pedalaman. Sesungguhnya Allah menurunkan hujan sama ada sebagai rahmat ataupun sebagai bencana. Untuk itu, kita dituntut untuk berdoa ketika turunnya hujan agar kita dijauhkan daripada segala bala bencana.
Firman Allah SWT:
وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ ۚ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ
Maksudnya: “Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata. Dan (ingatlah) bahawa Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsan-Nya), lagi Yang Maha Terpuji.”
(Surah al-Syura: 28)
AL-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan kalam Imam Ibn ‘Uyainah bahawa apa yang dinamakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan “مَطَرَ” (hujan) adalah menunjukkan kepada azab. Dalam erti kata lain, mana-mana lafaz atau kalimah “مَطَرَ” (hujan) yang terdapat di dalam al-Quran menunjukkan kepada azab. (Lihat Fath al-Bari, 1/189).
Di dalam al-Quran terdapat dua kalimah yang menunjukkan makna hujan iaitu “المَطَرَ” dan “الغَيْثَ” tetapi kalimah tersebut digunakan mengikut konteksnya. Adapun kalimah “المَطَرَ” digunakan pada konteks azab sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn ‘Uyainah tadi, manakala “الغَيْثَ” pula digunakan pada konteks rahmat sebagaimana ayat yang kami nyatakan pada awal perbincangan iaitu daripada surah al-Syura ayat ke-28. Contoh bagi kalimah “المَطَرَ” yang menunjukkan kepada azab adalah berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ
Maksudnya: “Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Demikian itu, lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.”
(Surah al-‘Araf: 84)
Terdapat hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya berkaitan doa ketika turunnya hujan. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.anha, beliau berkata: Adapun Rasulullah SAW ketika melihat hujan, Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.”
Riwayat al-Bukhari (1032)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa doa yang disebutkan dalam hadith di atas adalah sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan bagi menambahkan kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala yang boleh memberi mudharat. (Lihat Fath al-Bari, 2/518)
Di samping itu, doa ketika hujan adalah termasuk dalam salah satu keadaan yang mustajab doa sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
ثِنْتَانِ لَا تُرَدَّانِ: الدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ، وَتَحْتَ الْمَطَرِ
Maksudnya: “Dua doa yang tidak akan ditolak: Doa ketika azan (iaitu selepasnya) dan doa ketika turunnya hujan.”
Riwayat al-Hakim (2534). Hadith ini menurut al-Hakim sanadnya sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim
Antara amalan yang digalakkan semasa banjir:
- Membantu dan tolong-menolong. Semangat ta’awun hendaklah diterapkan sebagaimana firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah tolong-menolong dalam melakukan dosa serta permusuhan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
- Infaq dan sedekah. Alhamdulillah, kami dapati ramai rakyat Malaysia yang sifat pemurah dan membantu saudara-saudara mereka yang mengalami ujian dan tribulasi banjir ini. Ingatlah sabda Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: “Dan Allah SWT menolong hambanya selama mana hamba itu menolong saudaranya.”
Riwayat Muslim (1924)
- Solat berjemaah. Ini adalah amat penting dalam membawa perasaan yang sama, semangat yang sama dan sifat kasih sayang dapat dipupuk. Di samping itu, sudah tentu masing-masing berdoa kepada Allah agar diberikan bantuan dan diselamatkan daripada bala. Jika sekiranya berada di pusat penempatan, maka dirikanlah solat berjemaah kerana inilah pesanan Allah dan Nabi-Nya SAW:
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ
Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
(Surah al-Nisa’: 102)
Ibn al-Munzir berkata: “Allah memerintahkan untuk mendirikan solat berjemaah meskipun dalam keadaan ketakutan, ini merupakan dalil bahawa berjemaah itu menjadi lebih wajib dalam keadaan aman.” (Lihat al-Awsat, 4/135)
Begitu juga dengan hadis Nabi SAW: Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذا كانُوا ثَلاثَةً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَحَدُهُمْ، وَأَحَقُّهُمْ بالإِمامَةِ أَقْرَؤُهُمْ
Maksudnya: “”Apabila terdapat tiga orang, salah seorang daripada mereka hendaklah memimpin solat. Orang yang paling layak menjadi imam ialah yang paling mahir dalam Al-Quran.”
Riwayat Muslim (672)
Al-Munawi berkata: Hendaklah seorang daripada kamu menjadi imam solat dan yang lebih aula untuk menjadi imam adalah yang paling baik bacaan al-Qurannya dan paling faqih. Ini kerana perkataan ‘أَقْرَؤُهُمْ’ pada zaman itu dengan makna yang paling faqih. Dalilnya Nabi SAW mendahulukan Abu Bakar menjadi imam sedangkan ada lagi yang lebih fasih bacaan daripadanya. (Lihat Masabih al-Tanwir ‘ala Sahih al-Jami’ al-Saghir, 1/379)
- Sentiasa bermaafan dan jangan berkira. Oleh kerana kita berada dalam situasi seperti ini, kita terpaksa bertembung dengan beberapa akhlak yang tidak disenangi sama ada dari kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa. Ini berdasarkan kepada kurangnya ilmu atau adab. Justeru, junjunglah firman Allah SWT:
وَأَن تَعْفُوا أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ
Maksudnya: “Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa.”
(Surah al-Baqarah:237)
Akhirnya, Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang benar dalam memahami agama ini. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ. اللَّهُمَّ تَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ، وَأَحْيِنَا مُسْلِمِينَ، وَأَلْحِقْنَا بِالصَّالِحِينَ، غَيْرَ خَزَايَا وَلاَ مَفْتُونِينَ
Maksudnya: “ Ya Allah, cintakan pada diri kami keimanan dan hiaskanlah hati-hati kami dengan iman. Dan bencikan diri kami terhadap kekufuran, kefasikan serta kemaksiatan. Jadikan kami di antara orang-orang yang diberikan petunjuk. Ya Allah, wafatkan kami dalam keadaan Islam, hidupkan kami dalam keadaan Islam dan sertakan kami bersama dengan orang orang soleh yang tidak hina dan tidak pula terfitnah.”