#7558: Orang yang Terbaik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, siapakah orang yang terbaik di kalangan kita semua?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya:Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

(Surah Ali ‘Imran: 110)

Ayat ini menunjukkan Allah SWT memuji umat ini dengan menyatakan mereka adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan oleh Allah SWT daripada kalangan manusia yang ada. Ini kerana, disebabkan kesempurnaan diri mereka dengan wujudnya iman serta beriltizam dalam melaksanakan perintah Allah SWT di samping menyempurnakan orang lain dengan menyeru kepada kenaikan dan mencegah kepada kemungkaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 143)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, orang yang terbaik di kalangan kita adalah orang yang mempunyai akhlak yang paling unggul dan terbaik. Hal ini berdasarkan dua hadith Nabi SAW:

Daripada Abdullah bin ‘Amr, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ خِيَارَكُمْ أَحَاسِنُكُمْ أَخْلاَقًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik kalian adalah yang paling baik akhlaknya.”

Riwayat al-Bukhari (6035)

Daripada Abu Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ مَا شَيْءٌ أَثْقَلُ فِي مِيزَانِ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ خُلُقٍ حَسَنٍ وَإِنَّ اللَّهَ لَيَبْغَضُ الْفَاحِشَ الْبَذِيءَ

Maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin pada hari kiamat selain akhlak yang baik. Sesungguhnya Allah Yang Maha Tinggi membenci orang yang keji lagi bersikap tidak sopan.”

Riwayat Abu Dawud (4799), Ahmad (27517) dan al-Tirmizi (2002)

Betapa hebatnya ummah atau satu-satu bangsa, ia bergantung kepada akhlak. Jika bankrap dan muflisnya ummah dengan akhlak, maka hancurlah bangsa tersebut atau lenyaplah bangsa tersebut. Hal ini dikatakan oleh seorang penyair Mesir, Ahmad Syauqi:

إِنَّمَـا الأُمَـمُ الأَخْـلاقُ مَا بَقِيَـتْ            فَـإِنْ هُمُ ذَهَبَـتْ أَخْـلاقُهُمْ ذَهَبُـوا

 “Sebuah peradaban itu akan tetap kekal selama adanya akhlak

Apabila akhlaknya telah lenyap maka lenyaplah peradaban itu.”

Dengan sebab itulah, Rasulullah SAW berpesan kepada kita dengan tiga perkara:

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وخَالقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Iringilah perbuatan buruk yang kamu lakukan dengan perbuatan baik, nescaya ia akan menghapuskannya. Dan berakhlaklah kamu dengan manusia dengan akhlak yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (1987) dan Ahmad (21392)

Berdasarkan hadith di atas, hak Allah SWT ialah takwa kepada-Nya. Hak mukallaf ialah menghapuskan kejahatan yang telah dikerjakannya. Hak hamba ialah elok pergaulan antara sesama manusia dalam masyarakat. Ketiga-tiga hak ini masuk di dalam dalam tuntutan dan pengertian takwa. Yang demikian bererti pula takwa itu tidak terhad kepada Allah SWT, tetapi meliputi juga sesama manusia. Orang yang bertakwa adalah orang yang dapat menunaikan pengertian tersebut secara keseluruhannya. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 186)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”