#7562: Membeli Blind Box yang Mengandungi Koleksi yang Tidak Diketahui

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum membeli blind box? Blind box ini macam kita beli kotak, dalam tu ada mainan, tetapi kita tidak tahu akan dapat mainan apa, sehinggalah kita buka kotak tersebut. Biasanya blind box ni ada koleksi, jadi orang akan beli banyak. Sama ada dapat mainan berbeza ataupun mainan yang sama, semua bergantung pada nasib. Soalannya, adalah ia dibenarkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356).

Pada asasnya, bagi menentukan sesuatu jual beli atau perniagaan itu diterima oleh Syarak, ia hendaklah menepati dan memenuhi rukun dan syarat asas yang ditetapkan oleh Syarak. Rukun-rukun jual beli ialah:

  • Pihak yang melakukan akad (Penjual dan Pembeli)
  • Sighah Akad (Ijab dan Qabul)
  • Barang jualan dan harganya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/15).

Berbalik kepada soalan di atas, kami melihat jual beli tersebut tidak memenuhi rukun jual beli khususnya yang terkait dengan barang jualan. Ini kerana konsep jual beli yang diketengahkan itu, jelas menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar. Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan).

Meskipun tidak disyaratkan mengetahui segenap aspek sehingga sekecil-kecil perkara barang tersebut, namun perlu diketahui maklumat asas berkenaan barang tersebut seperti jenis barangan, sifat dan bentuknya, dan lain-lain. Tidak dibenarkan menjual barangan yang tidak diketahui hakikat dan fizikalnya seperti “aku jual salah satu koleksi yang ada dalam kotak tersebut” kerana perniagaan sebegini mempunyai unsur ketidakjelasan yang keterlaluan dan boleh membawa kepada pertelingkahan dan pergaduhan antara penjual dan pembeli. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/19).

Dalam erti kata lain, sesuatu barang itu dianggap sudah diketahui apabila memenuhi beberapa kriteria. Utamanya ialah barang tersebut sudah dilihat dan dipilih oleh pelanggan sendiri secara spesifik. Oleh sebab itu, di sisi mazhab al-Syafi‘i jual beli yang dilakukan oleh orang buta tidak sah melainkan diwakilkan kepada orang lain yang sihat penglihatannya kerana unsur ketidakjelasannya sangat nyata dan keterlaluan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/29)

Tambahan lagi, jual beli seperti ini juga dilihat mengandungi unsur jual beli yang dilarang. Di antara bentuk jual beli yang dilarang yang dinyatakan oleh nas ialah jual beli munabazah (campak-mencampak) dan mulamasah (sentuh-menyentuh). Iaitu kedua-dua pihak berurusan dengan suatu barangan yang tidak ditentukan mana satu.  Dengan itu, apabila penjual mencampakkan mana-mana satu barangan atau pembeli menyentuh mana-mana satu barangan, barangan tersebutlah yang akan dijual. Termasuk dalam erti kata jual beli ini adalah menjual baju dalam gelap dan pembeli akan menyentuh tanpa melihat barangan yang ingin dibeli.

Begitu juga pembelian sesuatu barangan walaupun sudah ditentukan, tetapi dikira berlaku terus apabila sahaja barang tersebut dilempar atau disentuh. Jelas dalam contoh yang pertama, wujud keadaan tidak mengetahui barangan yang dijual. Sementara dalam contoh yang kedua, wujud keadaan kehendak salah satu pihak dinafikan. Ini kerana pembeli atau penjual tidak mengetahui sebaik sahaja sesuatu barang dicampak atau disentuh, pihak yang satu lagi mesti membeli atau menjual barang tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/36).

Terdapat riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ لِبْسَتَيْنِ وَعَنْ بَيْعَتَيْنِ، نَهَى عَنِ الـمُلاَمَسَةِ وَالـمُنَابَذَةِ فِي البَيْعِ. وَالـمُلاَمَسَةُ: لَمْسُ الرَّجُلِ ثَوْبَ الآخَرِ بِيَدِهِ بِاللَّيْلِ أَوْ بِالنَّهَارِ وَلاَ يُقَلِّبُهُ إِلَّا بِذَلِكَ. وَالـمُنَابَذَةُ: أَنْ يَنْبِذَ الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ بِثَوْبِهِ، وَيَنْبِذَ الآخَرُ ثَوْبَهُ، وَيَكُونَ ذَلِكَ بَيْعَهُمَا عَنْ غَيْرِ نَظَرٍ وَلاَ تَرَاضٍ، وَاللِّبْسَتَيْنِ: اشْتِمَالُ الصَّمَّاءِ، وَالصَّمَّاءُ: أَنْ يَجْعَلَ ثَوْبَهُ عَلَى أَحَدِ عَاتِقَيْهِ، فَيَبْدُو أَحَدُ شِقَّيْهِ لَيْسَ عَلَيْهِ ثَوْبٌ. وَاللِّبْسَةُ الأُخْرَى: احْتِبَاؤُهُ بِثَوْبِهِ وَهُوَ جَالِسٌ، لَيْسَ عَلَى فَرْجِهِ مِنْهُ شَيْءٌ.

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada dua cara berpakaian dan dua jenis jual beli. Baginda melarang daripada mulamasah dan munabazah dalam jual beli. Mulamasah ialah seseorang memegang pakaian orang lain dengan tangannya pada waktu malam atau siang hari tanpa membalikkannya (memeriksanya dengan teliti) kecuali demikian (sudah dianggap sebagai jual beli). Munabazah adalah seseorang melemparkan pakaiannya kepada orang lain dan orang itu juga melemparkan kain kepadanya, maka terjadilah perbuatan itu sebagai jual beli antara kedua-duanya tanpa memeriksa barangan tersebut terlebih dahulu dan juga tanpa keredhaan. Adapun dua cara berpakaian (yang dilarang) salah satunya adalah isytimal al-samma’. Al-Samma’ adalah meletakkan pakaian di atas salah satu bahunya sehingga bahagian badannya yang lain terbuka tanpa ada kain yang menutupi, dan cara berpakaian yang lain (yang juga dilarang) adalah ihtiba’ dengan pakaian, dalam keadaan dia duduk tanpa ada sebarang kain yang menutupi kemaluannya.

Riwayat al-Bukhari (5820)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyebutkan, lafaz pada hadith Abu Sa‘id “ نَهَى عَنْ الْمُنَابَذَةِ” (melarang jual beli munabazah) iaitu seseorang melemparkan kainnya kepada orang lain untuk dijual sebelum orang itu membalikkan atau melihatnya. Baginda juga melarang jual beli mulamasah, dan mulamasah ialah seseorang menyentuh kain tanpa melihat kepadanya. Adapun munabazah pula ialah seseorang melemparkan kainnya kepada orang lain, lalu orang lain itu melemparkan pula kain miliknya, maka jual beli (barter) antara keduanya berlangsung tanpa memeriksa barang dan tanpa didasari oleh suka sama suka.

Dalam riwayat Abu ‘Awanah, daripada jalur lain, daripada Yunus disebutkan: “Dan yang demikian itu adalah orang-orang yang melakukan jual beli barang tanpa melihat kepadanya dan tidak pula memberitahukan tentangnya, atau orang-orang yang saling melempar kain sama seperti itu.Justeru, hal ini termasuk dalam kategori qimar (judi).

Begitu juga dalam riwayat Ibn Majah, daripada jalur Sufyan, daripada al-Zuhri disebutkan bahawa munabazah ialah seseorang mengatakan, “Lemparkan kepadaku apa yang ada padamu, dan aku akan melemparkan kepadamu apa yang ada padaku.” Manakala al-Nasa’i meriwayatkan daripada hadith Abu Hurairah bahawa mulamasah ialah seseorang berkata kepada orang lain, “Aku menjual kepadamu kainku dengan kainmu.” Masing-masing daripada keduanya tidak melihat kepada kain yang hendak dijual kepadanya, akan tetapi mereka sekadar merabanya. Sedangkan munabazah pula ialah seseorang mengatakan, “Aku melemparkan apa yang ada padaku dan engkau melemparkan apa yang ada padamu.” Keduanya melakukan jual beli (barter) tanpa ada satu pihak pun di antara keduanya yang mengetahui apa yang ada pada pihak yang lain, dan yang sepertinya. (Lihat Fath al-Bari, 6/473).

Jual beli yang hampir sama dengan jual beli sentuhan dan campakan ialah jual beli baling batu (hasah). Dalam jual beli ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk berjual beli salah satu barang dan ia ditentukan dengan cara yang salah seorang antara mereka membaling anak batu, dan mana-mana barangan yang terkena batu tersebut akan dijual. Terdapat nas yang melarang jual beli seperti ini dan para fuqaha’ pula merumuskan jual beli seperti ini tidak sah kerana wujudnya ketidakpastian dan penafian kepada kehendak salah satu pihak yang berjual beli. Abu Hurairah RA berkata:

أن النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ

Maksudnya:Nabi SAW melarang jual beli baling batu.”

Riwayat Muslim (1513)

Demikian juga dengan jual beli yang diamalkan hari ini. Iaitu beberapa barangan diletakkan di suatu tempat dan sekeping papan atau besi akan dipusingkan. Mana-mana barangan yang berada di tempat papan atau besi itu berhenti akan dijual kepada pembeli dengan harga tertentu. Begitu juga dengan barangan yang ditandakan dengan nombor, kemudian dipusingkan papan putar nombor yang ada pada barangan tersebut akan diambil sebagai barangan yang dijual dan pembeli mesti membelinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/36-37).

Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan menyebutkan, dilarang daripada jual beli secara mulamasah (sentuh-menyentuh) dan munabazah (campak-mencampak) kerana terdapatnya ketidaktahuan (jahalah) yang membawa kepada pertelingkahan. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 6/93).

Jual beli sebegini, menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani sebagai bentuk jual beli Jahiliyyah. (Lihat Fath al-Bari, 4/358). Imam al-Nawawi menyifatkan jual beli sebegini adalah batil dan tidak sah kerana mengandungi unsur gharar. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/155).

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, katanya:

أنَّ النَّبِي صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang jual-beli gharar (tidak jelas statusnya).”

Riwayat Muslim (1513); Abu Dawud  (3376); al-Tirmizi (1230); al-Nasa’i (4518); Ibn Majah (2194).

Al-Baji menjelaskan, apabila hal ini telah diketahui dengan baik, maka ketahuilah bahawa gharar dapat terjadi daripada tiga sudut: akad, harga atau barang yang diperjual-belikan dan tempoh pembayaran atau penyerahan barang. (Lihat al-Muntaqa, 5/41).

Ibn al-Rusyd lebih terperinci menegaskan, antara akad jual beli yang terlarang ialah pelbagai jenis akad jual beli yang berpotensi menimbulkan kerugian pada orang lain, kerana adanya ketidakjelasan status. Dan ketidakjelasan status dalam akad jual beli dapat ditemukan pada:

  • Ketidakpastian dalam penentuan barang yang diperjual-belikan.
  • Ketidakpastian akad.
  • Ketidakpastian harga.
  • Ketidakpastian barang yang dijual belikan.
  • Ketidakpastian kadar harga atau barang.
  • Ketidakpastian tempoh pembayaran atau penyerahan barang.
  • Dan ketidakpastian sepenuhnya pada barangan yang diperjual-belikan. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, 2/148).

Imam al-Mawardi menyebutkan, hakikat gharar yang terlarang dalam akad jual beli ialah suatu keadaan yang memiliki dua kemungkinan, akan tetapi kemungkinan buruklah yang paling besar peluangnya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 5/25).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa jual beli “blind box” dalam keadaan tidak diketahui koleksi atau barangan yang terdapat di dalamnya adalah tidak dibolehkan dan tidak sah. Ini kerana jual beli seperti ini tidak memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat jual beli yang telah ditetapkan oleh syarak. Bahkan ia mempunyai mempunyai unsur gharar dan perjudian (bergantung kepada nasib semata-mata) yang seharusnya dijauhi.

Kesannya, bagi pembeli dan penjual yang sudah terlanjur melakukannya; pembeli perlu menyerahkan semula barangan kepada penjual dan penjual hendaklah memulangkan semula wang yang diterima. Namun, sebagai alternatif, jika berlaku kesukaran dalam pemulangan barangan kerana ia mungkin telah digunakan atau sebagainya, maka dicadangkan kepada kedua-dua pihak membuat akad jual beli yang baru dengan syarat pembeli meredhai pembelian barang tersebut dan penjual juga meredhainya dengan nilai bayaran yang diterima.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)