Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum mengilat kuku bagi wanita?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, daripada Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
Maksudnya: ““Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai yang indah.”
Riwayat Muslim (91)
Allah SWT itu Maha Indah pada zat-Nya, nama-Nya, sifat-Nya, perbuatan-Nya. Dia juga suka akan keindahan zahir (jamal zahiri) dan batin (jamal bathini). Jamal zahiri ialah seperti kebersihan pada tubuh, pakaian, tempat tinggal dan aksesorinya. Jamal bathini pula ialah mencantikkan diri dengan intisari dan kebaikan akhlak. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, hlm. 148)
Dalam nas seperti ini, dikatakan oleh ulama dan jawapannya, menunjukkan kepada kita bahawa keindahan ini disukai, bahkan disebut dalam sebuah hadith yang lain, daripada ‘Imran bin Husain R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ اللهَ يُحِبُّ إِذَا أنْعَمَ عَلَى عَبْدِهِ نِعْمَةً، أنْ يَرَى أثَرَ نِعْمَتِهِ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila Dia memberi nikmat (atau kurniaan) ke atas hamba-Nya, agar terlihat kesan nikmat yang diberikan-Nya itu padanya.”[1]
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6202)
Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, di antara faedah yang boleh diambil daripada hadith ini adalah digalakkan (sunat) untuk menzahirkan atau menunjukkan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-Nya, apabila Dia memberikan nikmat tersebut dan meluaskannya ke atas hamba itu. Nikmat itu boleh dizahirkan melalui cara seseorang berpakaian, makanan yang dimakan, minuman yang diminum, tempat tinggal, dan setiap aspek lain yang diharuskan dalam kehidupan. Selain itu, maksud dibolehkan seseorang itu menzahirkan nikmat Allah yang dikurniakan kepada-Nya adalah tanpa dengan niat untuk sombong, berbangga diri atau merendah-rendahkan hati orang miskin. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dan makna yang dikehendaki dalam hadith di atas dan hal itu diikat dengan nas-nas lain yang membawa makna ini. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/118-119).
Selain itu, salah satu perkara yang perlu diberi perhatian dalam aspek kebersihan adalah penjagaan kuku. Kuku perlu dipelihara dengan baik sama ada dengan menjaga dan memotongnya, seperti yang disebut dalam riwayat. Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Nabi SAW bersabda:
الْفِطْرَةُ خَمْسٌ – أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ – الْخِتَانُ ، وَالاِسْتِحْدَادُ ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَار ،ِ وَنَتْفُ الإِبْطِ ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
Maksudnya: “Fitrah (kesucian) itu ada lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencukur bulu ketiak, memotong kuku dan memendekkan misai.”
Riwayat al-Bukhari (6227) dan Muslim (257)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Menurutku, kelima-lima perkara yang disebutkan dalam hadith ini semuanya wajib. Ini kerana, jika seseorang meninggalkan lima perkara tersebut, tidak tampak padanya gambaran bentuk anak Adam (manusia), lalu bagaimana dia digolongkan daripada kaum Muslimin. (Lihat Fath al-Bari, 10/417)
Takrif Mengilat Kuku
Mengilat kuku ialah proses kosmetik yang bertujuan untuk memberikan permukaan kuku yang licin dan berkilat dengan menggunakan alat khas seperti penggosok kuku (buffer). Proses ini dilakukan untuk menghilangkan ketidaksempurnaan pada permukaan kuku, menjadikan kuku lebih halus dan meningkatkan kilauan semula jadi tanpa memerlukan penggunaan bahan kimia. Aktiviti ini tidak hanya meningkatkan estetika tetapi juga membantu memastikan kuku kekal sihat dengan syarat dilakukan secara sederhana dan berhati-hati, untuk mengelakkan kerosakan struktur kuku akibat geseran berlebihan.[2]
Namun, penting untuk memastikan peralatan yang digunakan untuk mengilat kuku bersih dan steril, bagi mengelakkan risiko jangkitan kuku atau kulit sekitarnya. Bagi individu yang mempunyai masalah kuku seperti kuku rapuh atau gangguan kesihatan lain disarankan untuk berunding dengan pakar dermatologi sebelum menjalani proses ini. Penjagaan kuku yang baik juga mencerminkan tahap kesihatan seseorang secara keseluruhan.[3]
Hukum Mengilat Kuku
Menjawab persoalan di atas, tiada halangan bagi wanita untuk mengilat kuku selama mana bahan yang digunakan tidak berasal daripada bahan najis, seperti lemak babi. Jika bahan tersebut bernajis, penggunaannya adalah haram kerana melibatkan sentuhan dengan najis tanpa keperluan atau darurat. Seperti dinyatakan oleh al-Faqih Ibn Hajar al-Haitami al-Syafi‘i:
وَكَمَا وَجَبَ السَّتْرُ خَارِجَ الصَّلَاةِ، حُرِّمَ التَّضَمُّخُ بِالنَّجَاسَةِ خَارِجَهَا.
Maksudnya: “Sebagaimana diwajibkan menutup aurat di luar solat, diharamkan juga memakai sesuatu yang bernajis di luar solat.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/127)
Selain itu, jika pengilat kuku tersebut tidak menghalang air daripada sampai ke permukaan kuku, ia tidak membatalkan wuduk. Namun, jika ia membentuk lapisan yang menghalang air, wajib untuk menanggalkannya sebelum berwuduk. Dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah lil Ifta’ disebutkan: “Jika pewarna kuku tersebut mempunyai lapisan (yang melekat) di permukaan kuku, maka tidak sah wuduk tanpa menghilangkannya terlebih dahulu. Namun, jika pewarna tersebut tidak mempunyai lapisan, seperti inai, maka wuduknya sah.”
Dalam Fatawa Nur ‘ala al-Darb oleh Syeikh Ibn Baz, disebutkan: “Jika pewarna yang digunakan pada kuku tidak mempunyai lapisan fizikal, maka ia tidak mendatangkan mudarat, seperti inai yang tidak membentuk lapisan fizikal. Namun, jika pewarna tersebut mempunyai lapisan fizikal—seperti yang disebut sebagai ‘manicure’ atau selainnya, yang membentuk lapisan di atas kuku—maka ia wajib dihilangkan jika seseorang itu ingin berwuduk. Ini kerana ia menghalang air daripada sampai ke permukaan kuku, oleh itu perlu dihilangkan.”
Oleh itu, dapat difahami bahawa wanita tidak dihalang untuk mengilat kuku selagi bahan yang digunakan tidak berasal daripada sumber yang bernajis, seperti lemak babi. Sekiranya bahan tersebut tergolong sebagai najis, penggunaannya menjadi haram kerana ia melibatkan sentuhan dengan najis tanpa sebarang keperluan mendesak atau darurat.
Selain itu, tidak dibenarkan juga menyambung kuku atau meniru pengaruh Barat dalam hal ini. Contohnya, menggunakan cat kuku yang tidak telap air. Bagi saya, perkara seperti itu sebaiknya dielakkan. Sebaliknya, sekadar memakai inai sedikit di atas kuku tidak menjadi masalah. Jika sekadar ingin mengilat atau membersihkan kuku untuk tujuan kebersihan, maka berdasarkan apa yang telah saya nyatakan sebelum ini, hal tersebut dibolehkan.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota Hujung:
[1] Syeikh Abdullah al-Bassam dalam kitabnya menilai hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya. Di antara hadith yang menjadi syawahidnya ialah:
- Hadith Abdullah bin ‘Amr, diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi (2819) dan beliau menilainya sebagai hasan. Begitu juga ia turut diriwayatkan oleh al-Hakim (4/15).
- Hadith Abu Hurairah, diriwayatkan oleh Imam Ahmad (8045) dan juga al-Baihaqi dalam al-Syu‘ab (5/163).
- Hadith Abu al-Ahwas daripada bapanya, diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (4063) dan al-Nasa’i (5224).
Justeru, kesemua hadith-hadith ini saling menguatkan atau menyokong antara satu sama lain, menjadikan ia sebagai hasan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/118).
[2] Mayo Clinic. (2024). Nail care: Do’s and don’ts for healthy nails. Diakses daripada https://www.mayoclinic.org ; WebMD. (2024). Nail Health Center. Diakses daripada https://www.webmd.com pada 2 Disember 2024.
[3] MedlinePlus. (2024). Nail disorders. Diakses daripada https://medlineplus.gov; National Institutes of Health (NIH). (2024). Nail care and health. Diakses daripada https://www.nih.gov pada 2 Disember 2024.