#7564: Wanita Tadarus al-Quran Didengari Bukan Mahram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah suara wanita itu aurat. Untuk kes tadarus al-Quran, adakah dibolehkan didengari oleh yang bukan mahram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ

Maksudnya: “Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki bukan mahram) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu).

(Surah al-Ahzab: 32)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) iaitu tidak berbicara dengan ajnabi dengan kata-kata yang mengandungi nada tertentu seperti berbicara dengan suami. (Lihat al-Quran al-A’zim, 6/408 )

Begitu juga al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan bahawa maksudnya ialah larangan melunakkan perkataan. Allah mengarahkan agar para isteri nabi itu hendaklah berkata dengan tegas dan jelas dalam perbualan, dan jangan bercakap dalam suatu bentuk yang menzahirkan dalam hati satu hubungan dengan apa yang terzahir daripada kelunakan tersebut, seperti mana keadaan yang berlaku dalam kalangan wanita Arab ketika berbual dengan lelaki dengan cara melembutkan suara dan melunakkannya, seperti gaya perbualan wanita pelacur. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 14/177.)

Selain itu, al-Baghawi ketika mentafsirkan ayat di atas, menyebutkan bahawa janganlah kamu — para wanita — merendahkan dan melembutkan suara ketika berkata-kata dengan kaum lelaki dan tidak menghaluskan perbualan, sehingga menimbulkan keinginan dalam hati orang yang memiliki penyakit dalam hatinya, yakni perbuatan keji dan syahwat. Dikatakan (penyakit itu) adalah kemunafikan dengan makna janganlah kamu berkata-kata dengan suatu perkataan yang boleh orang munafik atau orang yang keji akhlaknya itu, suatu jalan bagi memuaskan keinginan mereka terhadap isteri-isteri Nabi. Oleh itu, disunatkan bagi orang perempuan untuk mengeraskan suara dalam perkataan apabila berbual dengan lelaki ajnabi bagi memutuskan keinginan (yakni perbuatan keji dan syahwat), di samping mereka hendaklah berkata-kata dengan perkataan yang makruf seperti dalam perkara yang dituntut oleh agama dan Islam dengan jelas lagi terang tanpa perlu direndahkan suara. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/635)

Justeru, kami berpendapat bahawa suara wanita itu bukanlah aurat. Hal ini kerana Nabi SAW dan para sahabat mendengar suara perempuan, kaum perempuan bertanya kepada Baginda SAW dan para sahabat mendengarnya, dan begitu juga pernah kaum wanita meminta kepada Nabi agar diadakan satu majlis ilmu khas buat mereka dalam satu tempat. Justeru, semua ini menunjukkan bahawa suara wanita itu adalah bukan aurat. Namun dalam keadaan tertentu ia boleh menjadi aurat apabila dilembutkan atau dilunakkan hingga boleh mendatangkan ghairah kepada lelaki. Hal ini adalah berdasarkan ayat al-Quran yang telah dinukilkan dalam awal perbincangan di atas.

Selain itu, pendapat yang paling sahih juga menyebutkan bahawa ia bukanlah aurat kerana sekiranya ia adalah aurat, maka meninggikan suaranya dalam bacaan solat akan membatalkan solatnya. Selain itu, menurut al-Bandaniji, bacaan kuat daripada suara perempuan itu mestilah lebih rendah daripada bacaan kuat seorang lelaki. Di samping itu, al-Qadhi Abu al-Tayyib juga ada menyatakan bahawa hukum menguatkan suara mahupun memperlahankannya ketika takbir adalah seperti hukum bacaan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/390)

Malah Mantan Mufti Arab Saudi juga ada menyebutkan bahawa Allah SWT telah mensyariatkan kepada para hamba-Nya untuk menguatkan suara pada solat Subuh serta dua rakaat awal dalam solat Isyak dan Maghrib. Perkara ini adalah bersifat umum bagi laki-laki dan perempuan kerana pensyariatan ini kekal sebagai umum melainkan adanya dalil yang mengkhususkan perbuatan tersebut bagi laki-laki atau perempuan. Justeru, bagi perempuan juga hendaklah menguatkan suaranya agar bacaan ayat al-Quran itu dapat memberi manfaat buat dirinya dan juga buat perempuan lain di sekitarnya. Namun, jika terdapat lelaki ajnabi di sekitarnya — yakni berdekatan dengannya — maka dalam hal ini afdhalnya adalah tidak menguatkan suaranya kerana dikhuatiri lelaki tersebut teruji dengan suaranya — yakni tertarik kepadanya. Oleh sebab itu, afdhalnya ketika itu tidak menguatkan suaranya.[1]

Oleh itu, kami menyatakan bahawa suara wanita bukanlah dianggap sebagai aurat. Aurat sebenarnya merujuk kepada bahagian tubuh yang terdedah. Konsep asal aurat adalah seperti itu. Sebagai contoh, dalam ilmu fiqh, aurat lelaki adalah kawasan antara pusat dan lutut, manakala aurat wanita meliputi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Inilah yang difahami dan ditakrifkan oleh para fuqaha’ serta ulama yang berkaitan. Namun demikian, walaupun suara wanita tidak dianggap aurat, penggunaannya perlu dijaga dengan baik. Ia tidak boleh disampaikan dengan nada menggoda atau terlalu lembut.

Selain itu, meskipun suara wanita bukanlah aurat, tetapi penggunaannya perlu dijaga dengan adab dan berlandaskan syarak. Dalam situasi seperti tadarus al-Quran, wanita boleh membaca dengan suara kuat, tetapi hendaklah memastikan bacaan itu tidak dilunakkan sehingga menimbulkan fitnah, terutama di hadapan lelaki ajnabi. Sikap berhati-hati ini adalah langkah terbaik untuk menjaga kemuliaan dan kehormatan wanita dalam Islam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/18052/ حكم-رفع-المراة-صوتها-في-الصلوات-الجهرية. Diakses pada 25 Mac 2022.