Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kucing kemungkinan tidak elokkan bermain dengan penunjuk al-Quran? Bolehkah kalau penunjuk al-Quran itu (seperti gambarnya di bawah), saya tanggalkan bahagian bulunya, kemudian barulah saya bagi pada kucing untuk bermain, adakah ia dibolehkan dan dibenarkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
(Gambar penunjuk al-Quran tersebut)
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kami katakan bahawa kucing termasuk dalam haiwan yang suci dan bukannya najis sebagaimana hukum asalnya. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa setiap haiwan (yang hidup) itu adalah suci melainkan apa yang dikecualikan oleh syarak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226).
Selain itu, kucing dianggap sebagai haiwan yang suci (bukan najis) kerana ia selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.” Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”
Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)
Keduanya, kami melihat persoalan di atas timbul kerana dikhuatiri ia dilihat seolah-olah atau termasuk dalam perbuatan menghina dan merendah-rendahkan al-Quran. Tidak dapat dinafikan bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646).
Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).
Ketiganya, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa jika seseorang itu menggunakan penunjuk al-Quran (seperti mana gambarnya di atas) untuk bermain-main dengan kucing, tidak kira sama ada bahagian bulunya ditanggalkan lalu bahagian tersebut yang digunakan untuk bermain-main dengan kucing ataupun tanpa ditanggalkan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Ini kerana penunjuk al-Quran bukanlah al-Quran itu sendiri, tetapi ia hanyalah sebagai alat bagi memudahkan pembaca al-Quran untuk menunjukkan ayat al-Quran ketika membacanya ataupun untuk menandakan muka surat yang dibaca. Ditambah lagi, kucing adalah haiwan yang dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis.
Namun, keharusan tersebut adalah selagi mana penunjuk al-Quran itu tidak mengandungi atau tertulis apa-apa ayat al-Quran mahupun nama-nama Allah. Jika ia mengandungi/tertulis padanya ayat al-Quran atau nama-nama Allah, maka tidak dibolehkan untuk menggunakannya bagi bermain dengan kucing kerana dikhuatiri perbuatan tersebut dilihat menghina dan merendah-rendahkan ayat-ayat al-Quran atau nama-nama Allah SWT.
Selain daripada itu, keharusan itu juga terikat selagi mana niatnya bukanlah untuk menghina mahupun merendah-rendahkan al-Quran mahupun ayat-ayatnya. Jika tidak, maka tidak syak lagi ia adalah haram dan tidak dibolehkan. Terdapat kaedah fiqh menyebutkan:
الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا
Maksudnya: “Setiap perkara dinilai berdasarkan niat.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 8).
Dapat difahami melalui hadith dan kaedah di atas bahawa setiap tindakan yang diambil oleh seseorang itu berbalik semula hukumnya kepada niat asalnya.
Meskipun begitu, kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan bahawa sekiranya perbuatannya itu dikhuatiri atau dibimbangi boleh menimbulkan kesalahfahaman, tohmahan atau fitnah terhadap dirinya sendiri atau agama, maka sebaik-baiknya tidak melakukannya dan meninggalkannya adalah lebih baik. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”
Begitu juga Umar R.A pernah berkata:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[1]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”
Nota Hujung:
[1] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.