Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hikmah syarat dikenakan terhadap harta yang berkembang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/913)
Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:
فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ
Maksudnya: “Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (1496)
Berkenaan persoalan di atas, Ibn al-Humam berkata yang maksud daripada pensyariatan ibadah zakat selain daripada maksud ujian kepada pemilik harta, zakat difardukan untuk menolong golongan fakir miskin tanpa menyebabkan diri pemilik itu menjadi fakir dengan cara memberi sedikit daripada hartanya yang banyak. Mewajibkan zakat pada harta yang tidak mungkin berkembang akan mengakibatkan hal-hal yang tidak diingini jika dikeluarkan dari tahun demi tahun khususnya apabila harta tersebut diperlukan untuk menanggung kos perbelanjaan harian. (Lihat Fath al-Qadir, 2/482)
Dengan ini jelas kebenarannya dari aspek material bahawasanya sabda Rasulullah SAW:
مَا نَقَصَ مَالٌ مِنْ صَدَقَةٍ
Maksudnya: “Tidak akan berkurang harta kerana berzakat.”
Riwayat al-Tirmizi (2325) dan Ahmad (18060)
Kerana zakat itu hanya sejumlah kecil yang wajib dikeluarkan dari suatu harta yang banyak, berkembang, dan menghasilkan keuntungan, yang berdasarkan hukum alam (sunnatullah) tidak akan menguranginya (harta).
Perkara penting yang ditekankan dalam hal ini, menurut kami, bahawa harta itu perlu mempunyai sifat berkembang, menghasilkan keuntungan dengan mempunyai potensi untuk berkembang dan bukan bermaksud dikembangkan dengan sendiri. Ini adalah kerana hukum syarak tidak mensyaratkan harta yang dikembangkan dengan sendirinya kerana kepelbagaian sifatnya dan ketidaktentuan piawaiannya. Ini adalah sebagaimana yang dikatakan oleh pengarang al-Mughni.
Di dalam kitab al-Bada’i disebutkan: ‘Pengertian zakat itu “berkembang”, tidak digunakan kecuali pada harta yang berkembang. Yang kami maksudkan di sini bukanlah sifat berkembang dengan sendiri kerana hal itu tidak diambil kira. Adapun yang dimaksudkan adalah harta itu berpotensi dikembangan dengan perniagaan atau secara isamah (iaitu binatang ternak yang digembalakan di padang ragut yang dibenarkan) oleh kerana proses isamah itu mendatangkan hasil susu, pembiakan anak, dan hasil tenusu (minyak dan seumpamanya). Aktiviti perniagaan pula akan menyebabkan terhasilnya keuntungan. Ini adalah berfungsi sebagai meletakkan sebab di tempat hasil sebab (musabbab). Mengaitkan hukum dengannya itu adalah seumpama masalah kaitan permusafiran dengan kesusahan (masyaqqah) untuk melakukan ibadat dan seumpamanya. (Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 2/11)
Jika sekiranya harta itu tidak berkembang sendiri, seperti hasil keuntungan dan kekayaan yang baharu, maka zakat hanya akan diwajibkan apabila keuntungan dan perkembangan itu diperolehi secara hakiki. Contohnya seperti bijirin, buah-buahan dan seumpamanya kerana ia sendirinya mempunyai sifat berkembang, lebihan hasil yang diusahakan dan penghasilan yang baharu. (Lihat Fiqh al-Zakah (PPZ) oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 1/118 – 119)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”