#757: Ganti Puasa Bagi Si Mati yang Bukan Ahli Keluarga

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah seseorang dibolehkan untuk berpuasa bagi pihak si mati yang bukan terdiri dari kalangan ahli keluarganya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Puasa qadha’ Ramadhan ialah puasa yang dilakukan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan sama ada secara uzur ataupun dengan sengaja. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.

Manakala orang yang meninggal dunia sebelum mengqadha’ puasanya, sedangkan dia mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Maksud wali dalam perkara ini ialah keluarga si mati. Hal Ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai kewajipan berpuasa, walinyalah berpuasa bagi pihaknya.”

Riwayat al-Bukhari (1851) dan Muslim (1147)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa keatasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/23)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn `Abbas R.Anhuma, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya? Jawab Nabi SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan.”

Riwayat Abu Dawud (3310)

Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati. Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Shafi’i, 2/202)

Sekiranya wali tidak berpuasa bagi si mati, dan tidak juga orang yang lain, maka dikeluarkan dari bahagian yang ditinggalkan puasa tersebut fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan satu mud (cupak). Sekiranya si mati tiada meninggalkan harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah.

Berbalik kepada persoalan di atas, hukumnya adalah sah puasa bagi pihak si mati oleh orang yang bukan daripada kalangan keluarganya apabila diizinkan oleh seorang daripada ahli keluarga tersebut. Sebaliknya, jika tidak diizinkan oleh ahli keluarga si mati atau tanpa wasiatnya, puasa tersebut tidak sah.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H