#7570: Mengambil Harta Zakat yang Pertengahan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah amil atau pemungut zakat perlu mengambil harta pertengahan, bukan yang terlalu baik atau terlalu buruk?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/913)

Pada asasnya, zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11)

Allah SWT telah menyatakan golongan yang berhak diagihkan zakat melalui firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 60)

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175)

Dalam menjawab persoalan di atas, para petugas zakat tidak boleh mengambil zakat daripada yang terlalu elok atau yang terlalu buruk tetapi wajib mengambil yang pertengahan kecuali dengan penilaian ketikamana pemilik harta itu rela. Dalam hadis Ibn Abbas ra: bahawa Nabi SAW bersabda kepada Muaz: “Hati-hatilah dengan nilai kemuliaan harta manusia dan takutlah akan doa orang yang dizalimi, kerana tidak ada penghalang antara doa orang yang teraniaya dengan Allah SWT.”

Ibn Abi Syaibah meriwayatkan bahawa Nabi SAW melihat pada unta yang dipungut untuk zakat terdapat seekor unta betina yang bagus, maka baginda telah memarahi petugas zakat tersebut dan bersabda:

مَا هَذِهِ؟ فَقَالَ صَاحِبُ الصَّدَقَةِ: إِنِّي ارْتَجَعْتُهَا بِبَعِيرَيْنِ مِنْ حَوَاشِي الْإِبِلِ، قَالَ: نَعَمْ إِذَنْ.

Maksudnya: “Apakah ini? Pemungut zakat berkata: “Saya telah memulangkannya dan diganti dengan dua ekor unta jantan dari kumpulan unta.” Jawab Nabi SAW: “kalau begitu, baguslah.” (Lihat Nasb al-Rayah oleh al-Zaila’i, 2/361, al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 2/361, al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi, 4/113)

Oleh sebab zakat itu bertujuan untuk menjaga kedua-dua belah pihak, maka zakat diambil daripada yang pertengahan (tidak terlalu baik atau buruk). Sekiranya diambil yang terlalu baik, ia akan merugikan pemilik harta manakala jika diambil yang teruk atau buruk, ia akan memudaratkan orang miskin. Oleh sebab itu, demi menjaga kedua-dua pihak, zakat diambil daripada yang pertengahan.

Abu Daud meriwayatkan dengan sanadnya, daripada Nabi SAW bersabda:

ثَلاَثٌ مَنْ فَعَلَهُنَّ فَقَدْ طَعِمَ طَعْمَ الإِيمَانِ مَنْ عَبَدَ اللَّهَ وَحْدَهُ وَأَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَعْطَى زَكَاةَ مَالِهِ طَيِّبَةً بِهَا نَفْسُهُ رَافِدَةً عَلَيْهِ كُلَّ عَامٍ وَلاَ يُعْطِي الْهَرِمَةَ وَلاَ الدَّرِنَةَ وَلاَ الْمَرِيضَةَ وَلاَ الشَّرَطَ اللَّئِيمَةَ وَلَكِنْ مِنْ وَسَطِ أَمْوَالِكُمْ فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَسْأَلْكُمْ خَيْرَهُ وَلَمْ يَأْمُرْكُمْ بِشَرِّهِ ‏

Maksudnya: “Tiga perkara yang mana barangsiapa mengerjakannya dapat merasai iman, pertama: orang yang menyembah Allah SWT yang Esa, tiada Tuhan selain Allah SWT. Kedua: orang yang mengeluarkan zakat ke atas hartanya untuk membersihkan jiwanya dan menentukan atau menetapkan pengeluaran zakatnya setiap tahun. Ketiga: orang yang tidak memberi zakat daripada ternakan yang tua, yang berkudis atau yang sakit serta yang murah harganya dan yang kurang susunya tetapi memberikan hartanya yang pertengahan. Sesungguhnya Allah SWT tidak meminta kebaikan daripada kamu dan tidak memerintahkan kamu dengan keburukan.”

Riwayat Abu Daud (1582)

Oleh itu, zakat tidak diambil daripada binatang ternakan yang sedang menyusukan atau yang sedang diambil susunya atau yang bertujuan untuk dimakan dagingnya atau yang sedang hamil atau daripada kambing jantan. Selain itu, tidak diambil juga ternakan betina yang sedang menjaga anaknya atau dikurungkan untuk susunya atau dagingnya dan ternakan yang digemukkan untuk mendapatkan dagingnya serta ternakan yang hamil yang mempunyai anak di dalam perutnya. (Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 2/33; al-Mughni, 2/476; al-Majmu’, 5/426)

Imam Malik meriwayatkan dalam Kitab al-Muwatta (1/267) daripada Aisyah R.Anha, katanya: Sekelompok kambing hasil daripada zakat melintasi Sayyidina Umar R.A, dan beliau melihat seekor kambing betina yang banyak air susunya yang terkumpul sehingga bergayutan. Beliau bertanya: “Kambing apakah ini?” Mereka menjawab: “Ini kambing hasil daripada zakat”. Sayyidina Umar R.A berkata lagi: Apa yang diberikan oleh pemberi zakat ini menunjukkan mereka sangat taat. Janganlah kamu memperdaya orang lain, serta jangan kamu ambil simpanan kekayaan orang Islam. “Simpanan kekayaan orang Islam” di sini bermaksud harta terpilih yang mempersonakan mata disebabkan kelebihannya atau kecantikannya.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Antara cara pelaksanaan konsep pertengahan ini ialah dengan meninggalkan ternakan yang kecil kepada penternak setelah ternakan dewasa telah mencapai nisab seperti yang telah dijelaskan. Akan tetapi, jangan diambil mereka. Biarkan mereka memilih ternakan yang akan dizakatkan sama ada daripada yang mereka anggap berharga atau yang mereka pelihara untuk kebaikan mereka. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 1/188 – 190)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.