Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan untuk ditolak hutang serta kos perbelanjaan dan bakinya baru dizakatkan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Zakat merupakan kewajiban ke atas umat Islam. Zakat membawa keberkatan harta untuk membersihkan harta daripada kotoran noda maksiat. Allah SWT berfirman:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰلِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ
Maksudnya: “Ambillah wahai Muhammad, daripada harta mereka yang mengaku berdosa lalu bertaubat itu, sebagai sedekah untuk membersihkan dosa mereka serta menyucikan jiwa mereka dan doakanlah kebaikan untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu menenangkan hati mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Imam Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i berkata menafsirkan ayat di atas: “Allah SWT mengarahkan Nabi dan pemimpin umat Islam supaya mengambil bayaran zakat masyarakat umat Islam untuk membersihkan diri mereka daripada dosa, dan menyucikan mereka daripada sifat-sifat nifaq, agar diri mereka menggapai martabat keikhlasan yang tertinggi, serta menggandakan keberkatan harta mereka.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, 2/384)
Terdapat dua jenis hutang pemilik hasil tanaman dan buah-buahan, pertama ialah semata-mata pada pembiayaan produk seperti hutang kerana membeli benih, baja, upah pekerja, dan lain-lainnya dan kedua pula berupa pembiayaan sara hidup pemilik sendiri dan keluarganya. Bagaimanakah hukum kedua-duanya?
Abu ‘Ubaid meriwayatkan di dalam kitab al-Amwal melalui sanad yang bersambung dari Jabir bin Zaid, di mana dia memberi pendapat terhadap seorang lelaki yang berhutang bagi keperluan keluarga dan kebunnya. “Ibn Abbas berpendapat bahawa lelaki itu boleh membelanjakan ke atas kebunnya sahaja. Manakala, Ibn Umar pula berpendapat bahawa dia boleh membelanjakannya terhadap kebun dan keluarganya”. Yahya bin Adam meriwayatkan dalam al-Kharaj katanya: Ibn Umar berkata: Taksiran dimulakan setelah menolak hutang dan bakinya dizakatkan. Ibn ‘Abbas berkata: Ditolak kos perbelanjaan hasil tanaman dan bakinya dizakatkan. (Lihat al-Kharaj, hlm. 162)
Ibn Abbas dan Ibn Umar telah bersepakat pada hutang buat perbelanjaan kebun dan tanaman. Maka, zakat dikira dari baki tersebut. Akan tetapi, mereka berlainan pendapat pada hutang yang dibuat untuk diri dan keluarganya.” Abu ‘Ubaid meriwayatkan dari Makhul bahawa dia mengatakan kepada pemilik tanaman yang berhutang: “Zakat tidak diambil hinggalah dia melangsaikan hutangnya. Maka, apa yang tinggal dari harta itu baru dizakatkan jika ia sampai pengiraan nisab.” ‘Ata’ dan Tawus juga diriwayatkan berpendapat sedemikian. Sebahagian ulama Iraq juga berpendapat yang sama seperti Ibn Umar, A’tha’, Tawus dan Makhul. (Lihat al-Amwal, hlm. 509) Ulama Iraq yang berpegang pada pendapat ini ialah Sufyan al-Thauri, sepertimana diriwayatkan oleh Yahya bin Adam. (Lihat al-Kharaj, hlm. 163)
Imam Ahmad bin Hanbal memiliki dua riwayat berkenaan isu ini. Di dalam riwayatnya yang pertama, beliau mengatakan bahawa seseorang yang berhutang buat keperluan tanaman dan keluarganya, maka diambil kira apa yang dibelanjakan buat tanamannya sahaja, bukan terhadap keluarganya; kerana hutang adalah salah satu daripada kos tanaman. Manakala, di dalam riwayatnya yang kedua, segala hutang yang telah dia lakukan boleh menjadi penghalang kepada kewajipan zakat. Riwayat pertama ini menepati pendapat Ibn Abbas. Riwayat kedua pula menepati pendapat Ibn Umar.
Dicatat di dalam al-Mughni: Berdasarkan kepada riwayat ini, maka segala hutang akan diambil kira. Kemudian, dikeluarkan 10% dari bakinya jika sampai nisab. Jika tidak sampai kiraan nisab, maka tidak perlu dikeluarkan zakatnya. Hal ini kerana, zakat itu wajib, manakala hutang menjadi penghalang kewajipan zakat seperti zakat ke atas harta-harta batin. Perbelanjaan kepada tanaman itu adalah hutang maka ia menghalang kewajipan zakat seperti kharaj dan segala perbelanjaan terhadap tanaman tersebut. Beza di antara keduanya ialah segala kos tanaman itu dibayar dari hasil tanamannya. Maka, seolah-olah hasil itu tiada. (Lihat al-Mughni, hlm. 272)
Abu ‘Ubaid berpandangan, pendapat Ibn Umar dan mereka yang sependapat dengannya sebagai lebih kuat, di mana segala hutang yang dibuat akan ditolak terlebih dahulu dari hasil tanaman, kemudian barulah zakat dikira dari lebihannya. Namun, ini mestilah disertakan dengan syaratnya yang tersendiri iaitu hutang itu mestilah dipastikan benar-benar wujud. Dia berkata lagi, “Jika benar-benar dipastikan bahawa terdapat hutang, maka pemilik itu tidak wajib membayar zakat, kerana ia gugur disebabkan oleh hutang-hutangnya seperti mana yang disebutkan oleh Ibn Umar, Tawus, ‘Ata’ dan Makhul. Menurut mereka, pendapat ini lebih selari dengan Sunah. Bukankah kita lihat bahawa Rasulullah SAW hanya mengutip zakat dari mereka yang kaya untuk dikembalikan kepada yang miskin. Maka, bagaimana mahu diambil zakat itu darinya sedangkan dia sendiri termasuk dalam kalangan asnaf sendiri? Atau adakah wujud kekayaan dan kemiskinan di dalam satu individu yang sama? Kini, dia juga termasuk di dalam definisi al-gharimin (orang yang dibelenggu hutang dan juga salah satu asnaf zakat yang lapan), maka kini dua aspek kewajipan terpikul di bahunya. (Lihat al-Amwal, hlm. 150) Mengenai cukai tanah (kharaj), iaitu cukai yang dikenakan kerana pemilikan tanah, apakah perlu dikeluarkan terlebih dahulu, kemudian dikeluarkan zakatnya daripada baki, maka dalam hal ini Yahya bin Adam meriwayatkan dari Sufyan bin Said al-Thauri, “Langsaikan terlebih dahulu hutang dan cukai tanahmu, apabila masih berbaki sebanyak lima wasaq, keluarkanlah zakatnya.” (Lihat al-Kharaj, hlm. 163)
Abu ‘Ubaid meriwayatkan dari Ibrahim bin Abi Abla: “Umar bin Abdul Aziz telah menulis surat kepada ‘Abdullah bin Auf (atau dikenali sebagai Ibn Abi Auf), gabenormya di Palestin, di mana beliau menyatakan bahawa mana-mana Muslim yang memiliki tanah hendaklah membayar jizyah terlebih dahulu. Kemudian, zakat dikira dari baki yang telah diambil dari jizyah tersebut. (Lihat al-Amwal, hlm. 88) Yang dimaksud dengan Jizyah di sini adalah Kharaj ‘cukai tanah’.
Umar dan Sufyan menerima pengguguran zakat oleh cukai tanah dan zakat dikeluarkan setelah cukai tanah dikeluarkan dan Umar dikenal sebagai seorang pemimpin yang diberi petunjuk. Ahmad juga berpendapat sedemikian dan mengemukakan dalil dari al-Mughni bahawa kharaj termasuk di dalam perbelanjaan tanah itu sendiri. Maka, ia menghalang kewajipan zakat. Inilah juga yang disebutkan oleh Ibn Abbas dan Ibn Umar berkenaan keharusan melunaskan bebanan hutang, lalu dibayar zakat dari baki. (Lihat al-Mughni, 2/727)
Cukai tanah boleh diqiaskan kepada bayaran sewa tanah kerana jumhur ulama menganggap cukai tanah itu sama kedudukannya dengan sewa tanah. Syarik juga diriwayatkan berpendapat sedemikian. Yahya bin Adam berkata, “Aku telah bertanya kepada Syarik tentang seorang lelaki yang menyewa tanah yang besar zakatnya bernilai 10%, di mana bayaran sewanya ialah dengan makanan ruji setempat. Maka, orang tersebut menanam tanaman yang menjadi makanan ruji setempat itu juga. Dia (Syarik) berkata: Lelaki itu perlu mengeluarkan dahulu bahagian makanannya, kemudian barulah dia keluarkan zakat dari baki tersebut: 10% atau 5%. Situasi ini samalah seperti di mana dia perlu keluarkan terlebih dahulu jumlah hutangnya dari pengiraan. Kemudian, baru lah dia membayar zakat dengan baki hartanya yang masih ada. (Lihat al-Kharaj, hlm. 161)
Berkaitan dengan kos yang dikeluarkan untuk produk hasil tanaman dan buah-buahan tidak berupa hutang atau cukai tanah. Misalnya kos yang dikeluarkan untuk benih, baja, upah bajak, siram, menggali, memetik, dan sebagainya. Kos yang sudah dikeluarkan itu, apakah juga harus disisihkan terlebih dahulu, kemudian baru dikeluarkan zakatnya, seperti yang berlaku pada hutang dan cukai tanah, ataukah harus dikeluarkan zakatnya daripada keseluruhannya? Dalam hal ini Ibn Hazm berkata tentang isu ini bahawa: “Tidak dibenarkan untuk dikembalikan semula segala kos perbelanjaan yang dikeluarkan sewaktu mengusahakan tanaman dan buah-buahan tersebut seperti kos membajak, memetik, mengumpul, menyaring, membaja, menggali dan sebagainya. Perkara-perkara sebegini tidaklah boleh dikira cira sehingga membuatkannya terkeluar dari pengiraan zakat, sama ada perbelanjaannya itu dalam bentuk hutang ataupun bukan dan sama ada perbelanjaannya itu meliputi keseluruhan nilai tanaman ataupun tidak.” Namun, isu ini masih menjadi perselisihan dalam kalangan ulama.
Ibn Hazm kemudian menyebutnya pendapat bersumber daripada Jabir bin Zaid daripada Ibn Abbas dan Ibn Umar tentang seorang lelaki yang mengeluarkan perbelanjaan ke atas produk pertaniannya, salah seorang daripada mereka berpendapat harus menghitung zakat daripada seluruhnya, tetapi yang seorang lagi berpendapat bahawa perbelanjaan itu harus dikeluarkan terlebih dahulu baru kemudian dikeluarkan zakat daripada baki. ‘Ata diriwayatkan berpendapat supaya dikeluarkan terlebih dahulu kos perbelanjaan. Sekiranya baki harta tersebut mencukupi satu nisab, maka wajiblah zakat bagi baki harta tersebut. Sekiranya tidak mencukupi satu nisab, maka tiada zakat baginya. Ibn Hazm menolak pendapat ini dengan menyatakan bahawa satu hak tidak boleh gugur serta-merta tanpa nas Al-Quran atau hadith yang warid. Beliau juga menambah dengan menyatakan bahawa ini juga pendapat Imam Malik, Al-Syafie, Abu Hanifah dan pengikut beliau. (Lihat al-Muhalla, 5/258)
Daripada pendapat sahabat (athar) yang diriwayatkan oleh Ibn Hazm bersumberkan pendapat Ibn Abbas dan Ibn Umar ini, kita dapat fahami bahawa salah seorang menyatakan bahawa kos dan perbelanjaan akan diasingkan terlebih dahulu. Kemudian, barulah zakat dikira dari baki harta. Manakala, seorang lagi menyatakan yang sebaliknya di dalam isu ini seperti mana yang telah kami sebutkan sebentar tadi. Terdapat riwayat yang bersumberkan Yahya bin Adam dan Abu ‘Ubaid menyebut, bahawa mereka berdua (Ibn Abbas dan Ibn Umar) pernah ditanyakan tentang seorang lelaki yang berhutang demi membiayai tanamannya dan ahli keluarganya. Ibn Abbas berfatwa supaya dijelaskan terlebih dahulu hutang tersebut, barulah zakatnya dikira dari baki harta. Ibn Umar juga bersetuju dengannya di dalam isu ini. Bahkan, si pemilik tanaman itu perlu mengeluarkan terlebih dahulu kos perbelanjaan buat dirinya dan ahli keluarganya. Maka, dapat kita lihat bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh dua orang sahabat Nabi SAW yang agung ini berkisar seputar kos perbelanjaan dari harta dalam bentuk hutang. Manakala, bagi kos yang bukan di dalam bentuk hutang, mereka berdua tidak memberi pendapat selain yang diriwayatkan oleh Ibn Hazm sebentar tadi itu sahaja.
Pendapat ulama salaf yang paling jelas dan menyeluruh ialah supaya dikeluarkan terlebih dahulu kadar biaya dan perbelanjaan dari hasil, kemudian barulah dikeluarkan zakat dari baki. Tidak kiralah sama ada perbelanjaan itu berbentuk hutang atau tidak. Ini lah pendapat ‘Ata’ seperti yang disebutkan oleh Ibn Hazm. Yahya bin Adam meriwayatkan dari Ismail bin Abdul Malik bahawa dia berkata: “Aku berkata kepada ‘Ata’ bahawa aku memiliki sebidang tanah yang aku usahakan. A’tha’ kemudian berkata kepadaku supaya mengeluarkan terlebih dahulu kos perbelanjaan bagi tanah tersebut, kemudian berzakatlah dari bakinya. (Lihat al-Kharaj, hlm. 161)
Ibn al-’Arabi di dalam Syarh al-Tirmizi memperincikan isu ini. Beliau berkata: “Para ulama berselisih pendapat adakah kos perbelanjaan perlu dikeluarkan dari harta yang wajib dizakatkan? Oleh itu wajib zakat pada hasil bersih, atau segala kos perbelanjaan dan pengurusan tanaman merupakan tanggungan pemilik tanaman, lalu zakat dikira dari keseluruhan harta itu? Iaitu bermaksud hasil kasar.” Beliau berpendapat bahawa kos perbelanjaan dikeluarkan terlebih dahulu, lalu barulah zakat 10% akan diambil dari bakinya. Beliau berdalilkan hadis Nabi SAW:
دَعُوا الثُّلُثَ أَوِ الرُّبُعَ.
Maksudnya: “Tinggalkanlah oleh kalian 1/3 atau 1/4.”
Riwayat Abu Daud (1605)
“Adapun, 1/3 atau 1/4 menyamai kadar kos perbelanjaan tanaman tersebut. Jika dibandingkan bahagian yang dimakan dari kurma yang basah (yang diizinkan untuk ditinggalkan buat pemilik tanaman), ia akan menyamai kadar kos perbelanjaan yang telah dikeluarkan, di mana baki yang tinggal ialah 3/4 atau 2/3″. Beliau berkata lagi: “Kami pernah menguji perkara ini, dan menemui hasil bahawa perkara itu kebiasaannya tepat.” (Lihat Syarh al-Tirmizi, 3/143)
Apa yang dimaksudkan oleh Ibn al-‘Arabi ialah beliau menyatakan tidak boleh dihimpunkan antara meninggalkan 1/3 atau 1/4 dari bahagian harta buat pemilik tanaman yang disebutkan dalam hadis dengan meninggalkan kos perbelanjaan serta membuang kadarnya daripada hasil kerana ia termasuk dalam 1/3 dan 1/4 yang ditinggalkan pada kebiasaannya. Ini bermaksud sekiranya kos perbelanjaan melebihi 1/3, maka hendaklah dikeluarkan daripada taksiran zakat. Perkara ini terpakai buat semua jenis tanaman dan buah-buahan, tidak kiralah tanaman yang ditaksir atau tidak.
Namun demikian, Ibn al-Humam menolak pendapat ini kerana katanya, syarak menetapkan kadar wajib zakat dengan kadar yang berbeza disebabkan berbezanya kadar kos perbelanjaan. Jika kos perbelanjaan telah dikeluarkan dari pengiraan, maka pasti kewajipan itu satu sahaja, iaitu dizakatkan 10% dari baki harta tersebut. Kita dapat lihat di sini bahawa kadar yang wajib tidak akan turun menjadi 5%, melainkan ia diakibatkan oleh kadar kos perbelanjaan itu sendiri. Logiknya, baki harta yang telah dikeluarkan kadar kos perbelanjaan seolah-olah ia tiada kos perbelanjaan langsung. Kadar yang wajib secara asalnya ialah 10%. Namun, nilaian ini berbeza dari segi syarak (tidak tetap). Pada satu masa, ia menjadi 10%. Pada masa yang lain pula, ia menjadi 5%. Di sini, menatijahkan bahawa syarak tidak akan mengambil kira nilaian 5% pada sebahagian hasil pengeluaran sahaja, sedangkan kadarnya sama seperti kadar kos perbelanjaan secara asalnya. (Lihat Fath al-Qadir, 2/8-9)
Di sini, jelaslah juga kepada kita bahawa syarak menetapkan kadar zakat yang berbeza melihat kepada berbezanya kadar kesusahan dan keringat yang dikeluarkan sewaktu menyirami tanaman. Inilah perkara yang paling jelas untuk membezakan satu ladang dengan ladang yang lain. Mengenai kos-kos yang lain, tidak terdapat nas yang menyebut atau mengingkarinya. Akan tetapi, apa yang lebih hampir kepada roh Syariah itu sendiri ialah ia mampu menyebabkan pengguguran kewajipan zakat apabila kadar kos perbelanjaan itu pada kadar yang sama dengan hasil pengeluaran. Terdapat dua perkara yang menguatkan pendapat tersebut:
Pertama: Kedua-dua usaha tani dan kos perbelanjaan mampu memberi kesan pada pandangan syarak kerana kadar zakat boleh menjadi lebih rendah disebabkan hal ini. Sepertimana tanaman yang disirami menggunakan alat. Di sini, syarak cuma mewajibkan 5% sahaja kadar zakatnya. Kadangkala, ia juga boleh menjadi penghalang secara menyeluruh kepada kewajipan (kewajipan gugur serta-merta) seperti haiwan ternakan yang termasuk di dalam kategori ma’lufah (haiwan ternakan yang diberi makan atau tidak mencari makanannya sendiri). Maka, tidak hairanlah jika ia turut memberi kesan yang sama apabila hasil pengeluaran tanaman dan kos perbelanjaan tanaman tersebut pada kadar yang sama.
Kedua: Hakikat sebenar bagi kesuburan ialah pertambahan. Sesuatu harta tidak dikira bertambah jika hasil atau keuntungannya pada kadar yang sama dengan kadar perbelanjaan. Oleh, itu, sebahagian fuqaha menyebut di dalam hal ini: “Kadar perbelanjaan ialah pada kedudukan yang selamat dari sebarang gantian. Di dalam hal ini, ia seolah-olah memakannya semula”. Pendapat ini sahih.
Maka, perbelanjaan pengairan tanaman tidak dikira kerana ia mampu menyebabkan kadar wajib menurun daripada 10% kepada 5%. Barangsiapa yang memiliki tanah yang hasil produksinya mencapai 10 qintar dari kapas bersamaan dengan 200 junaih Mesir, sedangkan dia sudah mengeluarkan kos perbelanjaan dari pengiraan – kos pengairan tanaman tidak termasuk dengan kadar sewa tanah pada nilai 60 junaih Mesir (bersamaan 3 qintar), maka dia perlu membayar zakat pada kadar 7 qintar sahaja. Kemudian, barulah dinilai. Jika tanaman itu diairi secara biasa, maka kadar zakatnya menjadi 10%. Jika menggunakan alat (tolakan kos), zakatnya menjadi 5%. Allah jualah yang lebih mengetahui. (Lihat Fiqh al-Zakah-PPZ oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 1/350-355)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”