Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, Rakan sekerja sering kali adjust masa pada mesin perakam waktu. Datang lewat, balik awal dan tuntut kerja lebih waktu. Saya hari-hari lihat perkara itu macam terbiasa, tidak ada rasa bersalah. Syarikat bumiputera, pekerja pun bumiputera juga. Haruskah saya mencari peluang kerja yang lebih baik daripada sekarang. Takut nanti di akhirat ditanya apa yang saya nampak dan lakukan. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).”
(Surah Ibrahim: 36)
Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya perbuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)
Dalam menjawab persoalan di atas, dapat ditegaskan bahawa sikap integriti adalah elemen yang sangat penting dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Integriti mencerminkan kejujuran, amanah, dan komitmen seseorang dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Sebarang perbuatan menipu, pecah amanah, atau penyalahgunaan kuasa bukan sahaja merupakan tindakan yang tercela di sisi undang-undang, tetapi juga jelas bertentangan dengan perintah Allah SWT dan prinsip syariat Islam. Allah SWT berfirman:
وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”
(Surah al-Mukminun:8)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Yakni, jika mereka (orang mu’min) diberi amanah, mereka tidak mengkhianati, malah mereka mengembalikannya kepada pemiliknya. Dan jika mereka membuat perjanjian atau akad, mereka memenuhinya (terma dan syarat).” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/404)
Begitu juga firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”
(Surah al-Anfal: 27)
Al-Maraghi menjelaskan akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/191-194)
Bahkan, perbuatan menipu dan pecah amanah adalah ciri-ciri perilaku golongan munafik yang amat tercela dan wajib dijauhi oleh setiap Muslim. Rasulullah SAW telah memperingatkan umatnya mengenai sifat-sifat munafik dalam sabdanya:
آيَةُ المُنافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ
Maksudnya: “(Antara) tanda orang munafiq itu ada tiga; jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, dan jika dia diberikan kepercayaan dia khianati.”
Riwayat al-Bukhari (6059) dan Muslim (59)
Yang dimaksudkan dengan nifaq dalam hadith ini adalah nifaq amali (nifaq dalam perbuatan), iaitu seseorang menampakkan kebaikan secara zahir tetapi menyembunyikan perkara yang bertentangan dengannya. Apabila dia berbicara dengan orang lain, dia berkata sesuatu yang tidak sesuai dengan kenyataan. Apabila dia berjanji mengenai sesuatu di masa depan, dia mengingkarinya, iaitu menjadikan janji itu bertentangan dengan apa yang dijanjikan dengan tidak menepatinya. Dan apabila dia diberi amanah atas sesuatu, dia mengkhianati amanah itu dan bertindak terhadapnya dengan cara yang bertentangan dengan syarak. (Lihat Minhah al-’Allam, 10/212)
Selain itu juga perbuatan tersebut melanggar hak majikan semasa bekerja. Ini jelas sebagaimana yang warid dalam hadith ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلَالًا أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا
Maksudnya: “Orang Islam itu terikat dengan syarat-syaratnya (perjanjian) melainkan syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.”
Riwayat al-Tirmizi (1352)
Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadith ini berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 10/26)
Justeru, menjaga integriti bukan sahaja merupakan tuntutan etika profesional, tetapi juga kewajipan agama yang menjadi asas keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Dalam situasi yang dihadapi, saudara tidak perlu mencari pekerjaan lain selagi tugas dilaksanakan dengan baik dan amanah dipelihara. Namun, adalah menjadi tanggungjawab saudara untuk menegur dan menasihati rakan sekerja agar bersikap amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas. Tindakan ini bukan sahaja mematuhi perintah Allah SWT, tetapi juga memastikan rezeki yang diperoleh sentiasa diberkati.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua‘lam.