Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami di kurniakan seorang cahaya mata. Persoalan saya, baru-baru ini saya terlepas pandang, ada baju saya yang terkena kencing bayi dimasukkan sekali ke dalam mesin basuh bersama pakaian lain. Setelah basuh, saya lihat kesan, warna dan bau sudah pun tiada. Adakah saya masih perlu basuh pakaian yang terkena najis mukhaffafah itu dengan mengikut cara basuhan yang ditunjuk ajar dalam Islam? ataupun basuh kesemua pakaian yang dibasuh bersama dengan pakaian yang terkena najis itu? kerana pakaian-pakaian bersih yang dibasuh sekali itu sangat banyak jumlahnya.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas. Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44; Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35)
Pada asasnya, najis terbahagi kepada tiga kategori, iaitu najis Mukhaffafah, najis Mutawassitah, dan najis Mughallazah. Najis Mukhaffafah ialah najis yang ringan. Ia dinamakan sedemikian kerana Allah telah memberi keringanan pada hukumnya. Walau bagaimanapun, najis tersebut hanya dikira sebagai najis mukhaffafah sekiranya memenuhi kesemua empat syarat yang berikut:
- Ia adalah air kencing.
- Ia adalah bahan buangan daripada bayi lelaki.
- Bayi tersebut belum lagi berumur 2 tahun.
- Bayi tersebut belum lagi memakan apa-apa makanan yang mengenyangkan selain daripada menyusu.
Sekiranya tidak cukup salah satu daripada syarat-syarat tersebut, maka ia termasuk dalam kategori najis mutawissatah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134)
Tambahan lagi, menurut Imam al-Nawawi, tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kenajisan najis mukhaffafah. Malah terdapat sebahagian dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i menukilkan bahawa para ulama telah Ijma‘ akan perkara ini dan tiada seorang pun yang menyelisihinya melainkan Daud al-Zahiri. Al-Khattabi dan ulama selainnya menyatakan, bukanlah bermaksud apabila dibenarkan membersihkan air kencing bayi lelaki bawah dua tahun dengan hanya merenjisnya disebabkan oleh ia tidak dianggap sebagai najis, akan tetapi kerana rukhsah atau kelonggaran yang diberikan oleh syarak bagi membersihkannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/195)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan cara membersih najis Mukhaffafah adalah dengan dipercikkan air ke atasnya dengan memastikan percikkan tersebut mengenai semua kawasan atau kesan air kencing tersebut. Selain itu, disyaratkan juga bahawa air tersebut mestilah lebih banyak daripada air kencing meskipun tidak mengalir. Justeru, dalam isu anda, kami katakan tidak perlu untuk anda mencuci kesemua baju yang telah dibasuh. Sementelahan lagi, apabila membasuh menggunakan mesin basuh, sudah tentu airnya melebihi dari air kencing. Begitu juga, basuh dengan menggunakan mesin basuh, terdapat saluran air yang akan keluar. Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk anda memakainya kerana najis telah pun hilang.
Akhir sekali, kami nasihatkan agar selepas ini, anda membersihkannya terlebih dahulu sebelum mencampurkannya dengan pakaian yang lain bagi mengelakkan was-was dan kegusaran di kemudian hari.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahua`lam.