#7575: Pesakit Perempuan Membotakkan Kepala kerana Kanser

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum pesakit perempuan membotakkan kepala kerana kanser?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ تَحْلِقَ الْمَرْأَةُ رَأْسَهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang wanita dari mencukur kepala mereka.

Riwayat al-Tirmidhi (914) dan al-Nasa’ie (5049)

Hadith di atas menjelaskan bahawa larangan untuk bercukur bagi perempuan ketika bertahallul (Haji & Umrah) dan secara mutlaknya kecuali sekiranya terdapat darurat. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 5/1832).

Begitu juga, dalam hadith yang lain, Abu Salamah bin Abdurrahman RA, bahawa dia menyatakan:

وَكَانَ أَزْوَاجُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذْنَ مِنْ رؤوسهن حَتَّى تَكُونَ كَالْوَفْرَةِ

Maksudnya: “Para isteri Nabi SAW menipiskan sedikit rambut di kepala mereka, sehingga menjadi seperti ‘wafrah’ (iaitu rambut yang tidak melebihi telinga).“

Riwayat Muslim (320)

Imam al-Nawawi menyatakan harus menipiskan rambut wanita  namun tidak melebihi telinga. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/4). Hal ini kerana fitrah bagi seorang  wanita itu untuk membiarkan rambutnya  panjang dan hanya dibenarkan memotong rambut pada kadar yang  tidak sampai tahap menyerupai lelaki  iaitu tidak melebihi telinga.

Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Membotakkan Kepala dan Berhias Secara Aneh. Muzakarah telah memutuskan bahawa Wanita dilarang membotakkan kepala kecuali untuk tujuan rawatan perubatan bagi mengatasi masalah atau penyakit yang tertentu.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan pada asasnya, haram bagi perempuan membotakkan kepala tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Namun, dalam isu teman anda, ianya dibenarkan (harus)  kerana darurat penyakit yang dialaminya iaitu kanser.

Begitu juga, kesan daripada kimoterapi kadang-kadang boleh menghilangkan rambut bagi penyakit kanser bagi pesakit lelaki mahupun wanita. Jika ini berlaku, ia tidaklah berdosa kerana rawatan yang terpaksa menjalaninya.

Akhir kalam, kami doakan agar teman anda diberi kesembuhan seperti sediakala dan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat itu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahu a‘lam.