Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW melarang mana-mana orang daripada menakutkan penduduk Madinah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Sufyan bin Abu Zuhair R.A bahawasanya berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
تُفْتَحُ اليَمَنُ، فَيَأْتِي قَوْمٌ يُبِسُّونَ، فَيَتَحَمَّلُونَ بِأَهْلِهِمْ وَمَنْ أَطَاعَهُمْ، وَالمَدِينَةُ خَيْرٌ لَهُمْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ، وَتُفْتَحُ الشَّأْمُ، فَيَأْتِي قَوْمٌ يُبِسُّونَ، فَيَتَحَمَّلُونَ بِأَهْلِيهِمْ وَمَنْ أَطَاعَهُمْ، وَالمَدِينَةُ خَيْرٌ لَهُمْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ، وَتُفْتَحُ العِرَاقُ، فَيَأْتِي قَوْمٌ يُبِسُّونَ، فَيَتَحَمَّلُونَ بِأَهْلِيهِمْ وَمَنْ أَطَاعَهُمْ، وَالمَدِينَةُ خَيْرٌ لَهُمْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Negeri Yaman akan dibuka (dikuasai). Maka datanglah suatu kaum yang (pergi meninggalkan Madinah). Setelah itu mereka mengajak ahli keluarga mereka dan sesiapa sahaja yang mematuhi mereka. Padahal Madinah itu lebih baik bagi mereka sekiranya mereka mengetahui. Negeri Syam juga akan dibuka. Lalu datanglah suatu kaum yang pergi (meninggalkan Madinah). Setelah itu mereka mengajak ahli keluarga mereka dan sesiapa sahaja yang mematuhi mereka. Sedangkan Madinah itu lebih baik bagi mereka sekiranya mereka mengetahui. Negeri Iraq juga akan dibuka. Lalu datanglah suatu kaum yang pergi (meninggalkan Madinah). Setelah itu mereka membawa ahli keluarga mereka dan sesiapa sahaja yang mematuhi mereka. Padahal Madinah lebih baik bagi mereka sekiranya mereka mengetahui.”
Riwayat al-Bukhari (1875) dan Muslim (1388)
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Imam al-Nawawi berkata: “Yang benar ialah maknanya untuk memberitahu bahawa barangsiapa yang keluar daripada Madinah, keluarnya bersama ahli keluarganya, merancang dalam perjalanannya, bersegera kearah kesenangan dan negeri-negeri yang baru dibuka… Adapun keadaannya menetap di Madinah lebih baik untuk mereka kerana ia adalah kota suci Rasulullah, berhampiran dengan Baginda, tempat turunnya wahyu dan turunnya keberkatan sekiranya mereka mengetahui faedah-faedah agama yang terdapat daripada mendapat daripadanya berserta ganjaran-ganjaran ukhrawi.” (Lihat Fath al-Bari, 4/93)
Daripada Abu Hurairah R.A bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الإِيمَانَ لَيَأْرِزُ إِلَى المَدِينَةِ كَمَا تَأْرِزُ الحَيَّةُ إِلَى جُحْرِهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya iman akan berlindung ke Madinah sebagaimana ular kembali berlindung ke lubangnya.”
Riwayat al-Bukhari (1876)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Yakni seperti ular yang pergi daripada sarangnya dalam mencari keperluan hidupnya. Apabila ia menjumpainya, ia kembali kepada sarangnya. Demikian juga iman, ia tersebar dan berkembang di Madinah dan setiap orang yang beriman ada sedetik perasaan yang membawanya ke Madinah disebabkan perasaan cintanya kepada Nabi SAW. Maka ia meliputi keseluruhan zaman kerana pada zaman Nabi SAW adalah untuk kita belajar daripada baginda dan pada zaman sahabat dan tabiin dan tabi’ tabien adalah untuk mengikuti petunjuk mereka dan selepas itu untuk menziarahi kubur Nabi SAW, solat dalam Masjid Nabawi dan bertabarruk degan melihat athar Baginda dan athar para sahabat Baginda.” (Lihat Fath al-Bari, 94/4)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Daripada Ibn Khallad R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَخَافَ أَهْلَ الْمَدِينَةِ أَخَافُهُ اللهُ وَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ لَا يُقْبَلُ مِنْهُ صَرْفٌ وَلَا عَدْلٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang menakut-nakutkan penduduk Madinah, maka Allah akan menakutkannya (sebagai balasan), dan ke atasnya laknat Allah, para malaikat, serta seluruh manusia. Tidak akan diterima daripadanya sebarang amalan sunat mahupun wajib.”
Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (4265) dan Ahmad (15225). Isnadnya sahih sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad.
Al-Munawi menjelaskan: Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang menakut-nakutkan penduduk Madinah (Nabi), maka Allah akan menakutkannya.” Dalam riwayat lain disebutkan tambahan: (pada hari kiamat). Ahmad pula menambah dalam riwayatnya: (Atasnya laknat Allah dan kemurkaan-Nya hingga hari kiamat, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang amalan sunat mahupun wajib). Hadis ini mengandungi peringatan tegas agar tidak menyakiti penduduk Madinah atau membenci mereka.
Al-Majd al-Lughawi berkata: “Wajib mencintai penduduk Madinah, mereka yang tinggal di dalamnya, para pendatang, jiran-jiran mereka, dan memuliakan mereka, terutamanya para ulama, keturunan mulia (syarif), penjaga makam Nabi, serta semua golongan yang berkhidmat menurut kedudukan dan hubungan mereka dengan Rasulullah SAW. Hal ini kerana mereka memiliki hak kejiranan yang istimewa. Walaupun mereka melakukan kesalahan yang besar, hak kejiranan itu tetap tidak dicabut daripada mereka.”
Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam kitabnya al-Kabir dengan tambahan sanad yang hasan. Lafaznya: “Sesiapa yang menakut-nakutkan penduduk Madinah, maka Allah akan menakutkannya pada hari kiamat, melaknatnya, murka kepadanya, dan tidak menerima daripadanya sebarang amalan sunat mahupun wajib.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/40)
Al-’Azim Abadi menukilkan bahawa al-Khattabi berkata: “Mereka (para ulama) mentafsirkan ‘al-‘adl’ (الْعَدْل) sebagai amalan fardhu, dan ‘al-sarf’ (الصَّرْف) sebagai amalan sunat.” (Tamat penjelasan al-Khattabi). Ada juga yang mengatakan bahawa ‘al-sarf’ (الصَّرْف) bermaksud taubat, dan ‘al-‘adl’ (الْعَدْل) bermaksud tebusan (fidyah). (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 9/1746)
Al-Kasymiri berkata: Sabda Nabi SAW: ‘ لَا يُقْبَلُ مِنْهُ صَرْفٌ وَلَا عَدْلٌ — Dikatakan bahawa maksudnya ialah fardhu (amalan wajib) dan nafilah (amalan sunat). Ada juga yang mentafsirkan sebagai wang tunai (harta yang nyata) dan barang dagangan (harta benda). Namun, tafsiran pertama lebih masyhur. Pada pandangan saya, ungkapan ini adalah perbincangan yang tidak dapat difahami hakikat sebenarnya tanpa merujuk kepada cara pemahaman masyarakat Jahiliah dahulu. (Lihat Faidh al-Bari Syarh al-Bukhari, 4/287)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”