#7579: Kitab Taurat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh jelaskan berkenaan kitab Taurat yang merupakan kitab samawi terdahulu? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, beriman kepada kitab-kitab samawi mempunyai kepentingan yang besar. Di antaranya, ia adalah rukun ketiga dalam Rukun Iman. Keimanan seseorang tidak sempurna tanpa mempercayainya, sebagaimana firman Allah SWT:

 آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ

Maksudnya: “Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya.”

(Surah al-Baqarah: 285)

Dalam ayat ini, perkataan “kitab-kitab-Nya” merangkumi semua kitab samawi yang diturunkan sebelum ini dan tidak boleh mengingkarinya. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

(Surah al-Nisa’: 136)

Selain itu, beriman kepada kitab-kitab samawi juga adalah keimanan kepada al-Quran dan begitu juga keimanan kepada Allah SWT, di mana Allah SWT mengkhabarkan bahawa setiap umat menerima seorang Rasul, seperti mana dalam ayat:

وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ

Maksudnya: “Dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.”

(Surah Fatir: 24)

Sebagaimana al-Quran mencakupi apa yang ada dalam kitab-kitab terdahulu dan menjadi pelengkap kepada mereka, serta bebas daripada sebarang penyelewengan. Tambahan lagi, keimanan kepada kitab-kitab samawi menguatkan keyakinan bahawa risalah-risalah Ilahi adalah satu, dan Islam adalah gabungan serta penerus kepada semua risalah tersebut. Salah satu daripada kitab-kitab samawi adalah Taurat.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, Taurat adalah kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Musa A.S, yang telah diutus oleh Allah SWT kepada Bani Israel. (Lihat Majallah al-Jami‘ah al-Islamiyyah bi al-Madinah al-Munawwarah, 42/96).

Selain itu, Dr. Ali Muhammad al-Sallabi dalam kitabnya, al-Iman bi al-Quran al-Karim wa al-Kutub al-Samawiyyah (hlm. 115) ada menyatakan bahawa al-Quran menggambarkan Taurat sebagai petunjuk, cahaya, pembeza (antara kebenaran dan kebatilan), penerang, dan peringatan. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّا أَنزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ ۚ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِن كِتَابِ اللَّهِ وَكَانُوا عَلَيْهِ شُهَدَاءَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan).

(Surah al-Ma’idah: 44)

Al-Baidhawi ketika menjelaskan berkenaan ayat di atas menyatakan, Allah SWT telah menurunkan Taurat, yang di dalamnya terdapat petunjuk yang membawa kepada kebenaran, dan cahaya yang menyingkap atau menjelaskan perkara-perkara hukum yang tidak jelas. Para nabi yakni nabi-nabi dalam kalangan Bani Israel menghukum berdasarkan kitab Taurat tersebut, ataupun (khususnya) Nabi Musa dan nabi-nabi selepasnya. Begitu juga ulama yang berpendapat bahawa syariat umat terdahulu turut menjadi syariat bagi kita selagi ia tidak dimansuhkan didukung berdasarkan ayat ini. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/128).

Selain daripada itu, Dr. Ali Muhammad al-Sallabi turut menyatakan bahawa Taurat adalah kitab yang merangkumi atau meliputi segala perkara. (Lihat al-Iman bi al-Quran al-Karim wa al-Kutub al-Samawiyyah, hlm. 115). Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

 ثُمَّ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ تَمَامًا عَلَى الَّذِي أَحْسَنَ وَتَفْصِيلًا لِّكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً

Maksudnya: “Kemudian (ketahuilah pula bahawa) Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat untuk menyempurnakan (kemuliaan dan nikmat Kami) kepada orang yang telah berbuat baik (menjalankan ajaran Kitab itu iaitu Nabi Musa), dan untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat.

(Surah al-An‘am: 154)

Al-Nasafi ketika menafsirkan lafaz, “وَتَفْصِيلًا لِّكُلِّ شَيْءٍ” menyatakan maksudnya adalah keterangan terperinci untuk segala perkara yang mereka perlukan dalam urusan agama mereka. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/549).

Tambahan lagi, penurunan kitab Taurat berlaku selepas kehancuran Firaun dan pengikut-pengikutnya, serta keselamatan Bani Israel. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Abu Bakar al-Jaza’iri bahawa setelah Firaun dibinasakan dan Bani Israel diselamatkan, Allah SWT memberikan kitab Taurat kepada Nabi Musa A.S untuk menjadi petunjuk kepada Bani Israel, kerana Taurat mengandungi cahaya dan petunjuk. Ini adalah sebahagian daripada nikmat-nikmat Allah kepada makhluk-Nya dan tanda-tanda kekuasaan-Nya atas mereka. (Lihat Aisar al-Tafasir, 3/521).

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ مِن بَعْدِ مَا أَهْلَكْنَا الْقُرُونَ الْأُولَىٰ بَصَائِرَ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami berikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat sesudah Kami binasakan kaum-kaum yang telah lalu, untuk membuka hati dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat, semoga mereka beringat.

(Surah al-Qasas: 43)

Menurut al-Nasafi, Allah SWT telah memberikan kitab iaitu Taurat kepada Nabi Musa A.S selepas kehancuran kaum terdahulu seperti kaum Nabi Nuh, Hud, Soleh, dan Lut sebagai pelita cahaya yang menerangi hati manusia sebagaimana cahaya mata membantu manusia melihat untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan, membimbing mereka ke jalan yang benar kerana sebelumnya mereka berada dalam kesesatan, serta sebagai rahmat kepada mereka yang mengikutinya kerana dengan mengamalkannya mereka akan mencapai rahmat Allah, agar mereka dapat mengambil pelajaran dan peringatan. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 2/645).

AL-Sam‘ani juga ada menjelaskan bahawa “kitab” dalam ayat di atas adalah merujuk kepada Taurat. Seterusnya,  “kaum-kaum terdahulu” adalah merujuk kepada kaum Nuh, ‘Ad, Thamud, kaum Lut, kaum Syu‘aib dan lain-lain. Kemudian, perkataan “بصائر للنَّاس” pula bermaksud petunjuk-petunjuk kepada orang lain, lalu mereka mengambil iktibar atau pengajaran daripada petunjuk-petunjuk tersebut. (Lihat Tafsir al-Sam‘ani, 4/142)

Selain daripada itu, kitab Taurat diturunkan secara khusus pada hari keenam bulan Ramadhan. Ini adalah seperti mana yang diriwayatkan daripada Wathilah bin al-Asqa‘ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَام فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Lembaran-lembaran (Suhuf) Ibrahim A.S diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada hari keenam bulan Ramadhan, Injil diturunkan pada hari ketiga belas bulan Ramadhan, dan al-Furqan (al-Quran) diturunkan pada hari kedua puluh empat bulan Ramadhan.”

Riwayat Ahmad (16984), al-Tabarani (185) dan al-Baihaqi (19121); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad menilainya sebagai dha‘if. Namun, dalam al-Silsilah al-Sahihah (1575) ia dinilai sebagai hasan.

Di antara yang menunjukkan keagungan dan kedudukan tinggi kitab Taurat ialah Allah SWT sendiri menulisnya dengan tangan-Nya yang Maha Suci, sebagaimana disebutkan dalam hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

احْتَجَّ آدَمُ وَمُوسَى، فَقَالَ لَهُ مُوسَى: يَا آدَمُ، أَنْتَ أَبُونَا خَيَّبْتَنَا وَأَخْرَجْتَنَا مِنَ الْجَنَّةِ بِذَنْبِكَ، فَقَالَ لَهُ آدَمُ: يَا مُوسَى، اصْطَفَاكَ اللَّهُ بِكَلَامِهِ، وَخَطَّ لَكَ التَّوْرَاةَ بِيَدِهِ، أَتَلُومُنِي عَلَى أَمْرٍ قَدَّرَهُ اللَّهُ عَلَيَّ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَنِي بِأَرْبَعِينَ سَنَةً

Maksudnya: “Nabi Adam dan Nabi Musa berdebat. Nabi Musa berkata kepada Nabi Adam: ‘Wahai Adam, engkau adalah bapa kami, tetapi engkau telah mengecewakan kami dan mengeluarkan kami dari syurga kerana dosamu.’ Lalu Nabi Adam menjawab: ‘Wahai Musa, Allah telah memilihmu untuk berkata-kata dengan-Nya, dan menuliskan Taurat untukmu dengan tangan-Nya. Adakah engkau mencelaku atas perkara yang telah ditakdirkan oleh Allah kepadaku 40 tahun sebelum aku diciptakan?’

Riwayat al-Bukhari (6614); Muslim (2652) dan Ibn Majah (80)

Ibn Ruslan ketika menjelaskan berkenaan lafaz “وَخَطَّ لَكَ التَّوْرَاةَ بِيَدِهِ”, beliau menyebutkan, mengenai maksud “tangan” (اليد), terdapat dua pandangan yang disebutkan dalam pelbagai tempat:

Pertamanya, beriman dengannya tanpa mentakwilkannya, dengan memahami bahawa zahir lafaz tersebut bukanlah maksud sebenar, kerana Allah Maha Suci daripada sebarang anggota tubuh.

Keduanya, mentakwilnya sebagai kudrat atau kekuasaan. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 18/256-257).

Sebagaimana yang diketahui, beriman kepada kitab Taurat termasuk salah satu rukun iman, dan iman seseorang tidak sah melainkan dengan mempercayai bahawa Allah SWT telah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa A.S. Namun begitu, Allah SWT telah mengkhabarkan bahawa kaum Yahudi telah mengubah kitab Taurat ini, menulis di dalamnya apa yang mereka inginkan, kemudian mengaku bahawa ia berasal daripada Allah, padahal ia sebenarnya bukan daripada Allah. Mereka juga menyeleweng kalimah daripada maknanya yang asal.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Dr. Ali Muhammad al-Sallabi bahawa terdapat penegasan dalam al-Quran, di mana kitab Taurat yang ada pada masa kini bukanlah Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa A.S, tetapi ia telah diubah oleh Bani Israel yang mengkhianati perjanjian dan melanggar ikatan janji. (Lihat al-Iman bi al-Quran al-Karim wa al-Kutub al-Samawiyyah, hlm. 117)

Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِندِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ فَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: ‘Ini ialah dari sisi Allah,’ supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.”

(Surah al-Baqarah: 79)

Menurut al-Kalbi, mereka ialah para pendeta dan ulama Yahudi. Mereka sengaja mengubah sifat Nabi Muhammad SAW yang terdapat dalam kitab mereka dengan menambah dan mengurangkan kandungannya. Kemudian, mereka menunjukkan versi yang telah diubah itu kepada orang-orang awam mereka sambil berkata: “Inilah sifat Nabi yang akan diutuskan oleh Allah pada akhir zaman, dan ia tidak sama dengan sifat lelaki ini (Muhammad SAW).” Maka apabila orang-orang awam mereka melihat Nabi Muhammad SAW, mereka tidak menemui sifat yang disebutkan dalam kitab mereka yang telah diubah oleh para pendeta mereka. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Aziz oleh Ibn Abi Zamanin, 1/154).

Begitu juga firman-Nya:

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُم بِالْكِتَابِ لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتَابِ وَمَا هُوَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua agamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: ‘(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah,’ padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).”

(Surah Ali ‘Imran: 78)

Sebahagian ulama tafsir menyebutkan, ayat di atas bermaksud, terdapat segolongan daripada kaum Yahudi yang menyeleweng perkataan-perkataan (kalam) daripada maknanya yang asal dan mengubah firman Allah SWT, dengan tujuan untuk memperdaya orang lain supaya menyangka bahawa itu adalah wahyu yang diturunkan, iaitu (isi kandungan dalam) Taurat. Padahal, ia sama sekali bukan sebahagian daripadanya. Mereka berkata: “Ini daripada Allah; Allah telah mewahyukannya kepada Nabi Musa,” padahal ia bukan daripada Allah. Demi kepentingan duniawi mereka, mereka sanggup berdusta terhadap Allah dengan penuh kesedaran bahawa mereka adalah pendusta. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 60)

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَتْ مُلُوكٌ بَعْدَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ بَدَّلُوا التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ

Maksudnya: “Terdapat raja-raja selepas Nabi Isa bin Maryam yang telah mengubah (isi kandungan) kitab Taurat dan Injil.

Riwayat al-Nasa’i (5400); Menurut pentahqiq Sunan al-Nasa’i (8/425), sanadnya adalah hasan. ‘Ata’ bin al-Sa’ib adalah seorang perawi ṣadūq tetapi mengalami ikhtilāṭ (kecelaruan dalam ingatan). Namun, riwayat Sufyan bin Sa‘id (iaitu al-Thauri) daripadanya adalah sebelum dia mengalami kecelaruan/kekeliruan tersebut, manakala baki perawi-perawi yang lain adalah thiqah (dipercayai).

Sebagai penutupnya, jelaslah Taurat merupakan salah satu kitab samawi terdahulu yang diturunkan kepada Nabi Musa A.S. Sebagai umat Islam, kita wajib mengimani kitab ini, yang bukan apa yang telah dimasukkan kepadanya beberapa penyelewengan atau perubahan oleh kaum Yahudi kemudian.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”