Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kita semua tahu tentang situasi yang sedang dihadapi oleh saudara seagama kita di Palestin sekarang semakin teruk. Adakah kita masih hendak bergembira menyambut Hari Raya akan datang sedangkan saudara kita di sana terseksa dan dibantai? Tidakkah ini satu perbuatan mementingkan diri sendiri?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami memahami perasaan masyarakat Islam di seluruh dunia pastinya luluh dan sedih apabila berita genosid yang menimpa saudara Palestin kita semakin hari semakin membarah. Tambahan pula, kuasa-kuasa besar dunia seakan tidak memberikan pembelaan terhadap hak-hak mereka sebagai manusia. Kita akan terus-menerus tanpa pernah berputus asa untuk menuntut hak kemerdekaan buat mereka, di samping menghulurkan bantuan sehabis yang mampu.
Berbalik kepada persoalan saudara, kami bawakan terlebih dahulu hakikat raya itu agar kita dapat memahami dengan baik hikmah disebalik pensyariatannya. Kalimah raya atau dalam bahasa Arab disebutkan sebagai al-‘aid (العَيْدُ) itu bererti hari yang berlaku perkumpulan padanya. Ia diambil dari kata dasar (عَادَ – يَعُودُ), yakni kembali, seolah-olah orang ramai kembali padanya.
Al-Khatib al-Syirbini berkata ketika menerangkan berkenaan hari raya ini: “Perkataan al-‘aid (العَيْدُ) berasal daripada perkataan al-‘aud (العَوْدُ) yang bermaksud kembali, kerana ia berulang setiap tahun. Ada juga yang mengatakan ia dinamakan begitu kerana banyaknya nikmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-Nya pada hari tersebut. Ada juga pendapat yang mengatakan ia dinamakan begitu kerana kembalinya kegembiraan dengan kehadirannya.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/319; Mughni al-Muhtaj, 1/587)
Hari perayaan umat Islam itu pada asalnya merupakan hari kegembiraan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk kita meraikannya. Ini jelas sebagaimana sabda Baginda dalam hadith Anas bin Malik R.A:
كَانَ لَكُمْ يَوْمَانِ تَلْعَبُونَ فِيهِمَا وَقَدْ أَبْدَلَكُمُ اللَّهُ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ الأَضْحَى
Maksudnya: “Kalian dahulu memiliki dua hari untuk bermain, tetapi Allah telah menggantikannya dengan yang lebih baik, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidil Adha”
Riwayat Abu Dawud (1134), al-Nasa’i (1556) dan Ahmad (12006)
Meskipun begitu, ia tidak hanya disyariatkan semata-mata untuk bergembira, bersuka ria, dan kunjung-mengunjungi semata-mata, bahkan ia merupakan sebahagian daripada syi‘ar agama dan sebahagian dari ibadah. Oleh itu, disunatkan bagi umat Islam untuk menzahirkan perayaan ini. Rasulullah SAW sendiri pernah menegur Abu Bakar R.A ketika beliau menegur beberapa orang kaum Ansar yang menyanyi di rumah Baginda SAW. Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha berkata:
دَخَلَ أَبُو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ مِنْ جَوَارِي الأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثَ، قَالَتْ: وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَبِمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ فِي بَيْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَلِكَ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا
Maksudnya: “Abu Bakar masuk ke dalam (rumah Rasulullah SAW) dan bersamaku ada dua orang anak perempuan daripada kaum Ansar yang sedang menyanyikan ucapan kaum Ansar pada peperangan Bu‘ath. ‘Aisyah berkata: ‘Kedua-dua mereka sebenarnya bukanlah penyanyi.’ Lalu Abu Bakar berkata: ‘Adakah terdapat seruling syaitan di dalam rumah Rasulullah SAW?’ Hal itu berlaku ketika hari raya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya dan ini adalah hari raya kita’.”
Riwayat al-Bukhari (952) dan Muslim (892)
Terdapat juga riwayat lain yang hampir sama dibawakan oleh Imam al-Bukhari berkenaan kisah Abu Bakar R.A bersama Rasulullah SAW ini. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, berdasarkan hadith ini, antara faedah yang dapat diambil adalah menzahirkan kegembiraan pada hari-hari perayaan itu juga sebahagian dari syi‘ar agama. (Lihat Fath al-Bari, 2/443)
Kita juga tidak sewajarnya melihat hari perayaan Islam itu dari satu aspek atau sudut sahaja, sehingga menghukum mereka yang merayakannya sebagai orang yang mementingkan diri. Sebaliknya, hari perkumpulan umat Islam dapat dilihat dari sudut kesepaduan hati mereka dalam menegakkan syi‘ar agama ini di muka dunia, agar orang bukan Islam sedar bahawa agama Islam pada hakikatnya bukanlah sebuah agama yang mengongkong para penganutnya, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai bagi merealisasikan maslahah umat manusia yang menolak mafsadah dari berlaku.
Saidatina ‘Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَتَعْلَمُ يَهُودُ أَنَّ فِي دِينِنَا فُسْحَةً، إِنِّي أُرْسِلْتُ بِحَنِيفِيَّةٍ سَمْحَةٍ
Maksudnya: “Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita terdapat keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang asal-usulnya adalah mudah”
Riwayat Ahmad (24855). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai hasan.
Secara tidak langsung, propaganda buruk dan sentimen Islamofibia yang sering dimainkan oleh media barat terhadap agama yang suci ini serba sedikit dapat dihakis dengan kita mempamerkan bagaimana agama Islam itu meraikan hari-hari kegembiraan mereka dengan disulami akhlak terpuji, tanpa sebarang unsur ekstremis sepertimana yang digambarkan oleh mereka.
Menyambut perayaan dengan penuh kegembiraan tidaklah bermaksud seseorang itu mementingkan diri sehingga melupakan kesedihan saudaranya yang ditindas. Kedua-dua tidak mempunyai sebarang percanggahan atau masalah untuk dihimpunkan dalam satu masa yang sama. Rasulullah SAW menyebutkan seperti dalam riwayat al-Nu‘man bin Basyir R.A:
تَرَى المُؤْمِنِينَ فِي تَرَاحُمِهِمْ وَتَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، كَمَثَلِ الجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى عُضْوًا تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ جَسَدِهِ بِالسَّهَرِ وَالحُمَّى
Maksudnya: “Engkau melihat (keadaan) orang-orang mukmin itu saling kasih-mengasihani, cinta-mencintai, dan saling tolong-menolong seperti satu jasad, jika ada (walau) satu anggota badan yang sakit, nescaya seluruh anggota badan yang lain akan ikut merasakannya dengan tidak dapat tidur dan demam”
Riwayat al-Bukhari (6011) dan Muslim (2586)
Kesimpulan
Kami tegaskan bahawa hari raya, sama ada Aidilfitri atau Aidil Adha, kedua-duanya perlu dirayakan sebagai simbolik agama Islam ini. Alasan sensitiviti terhadap isu saudara kita yang ditindas tidak seharusnya menjadi penghalang dari merayakan hari ini, kerana kesatuan umat Islam juga diperlukan bagi membangkitkan lagi semangat juang para mujahidin di Palestin.
Semoga pencerahan ini dapat meneguhkan lagi hati kita dalam bersatu padu menghulurkan sokongan penuh terhadap saudara kita di sana, di samping menegakkan syi‘ar agama ini yang mana telah Allah SWT khususkan kebaikan padanya buat umat Islam. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Wallahu a‘lam.