Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, Saya baru kematian suami pada 8 Sept 2024. Pertanyaan saya adalah samada saya boleh gunakan duit sedekah kematian arwah suami saya utk membayar bil-bil yang tertunggak dan melangsaikan apa-apa bayaran yang patut yang tidak sempat dibayar semasa arwah masih hidup. Terima kasih Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِ
Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”
(Surah Ali ‘Imran: 185)
Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).
Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).
Dalam menjawab persoalan di atas, perlu difahami bahawa pengurusan harta si mati harus dilakukan mengikut turutan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Pertama sekali, keutamaan diberikan kepada pengurusan jenazah, termasuk kos-kos berkaitan seperti perbelanjaan pengebumian. Seterusnya, hutang si mati wajib diselesaikan kerana ia menjadi tanggungjawab yang perlu ditunaikan sebelum apa-apa pembahagian dilakukan. Selepas itu, pelaksanaan wasiat yang sah juga harus dipenuhi, dengan syarat wasiat tersebut tidak melebihi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan harta peninggalan. Hanya selepas semua kewajipan ini diselesaikan, barulah harta pusaka boleh dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid yang ditetapkan dalam Islam.
Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi iaitu: Pengurusan harta peninggalan si mati dimulakan dengan membiayai kelengkapan dan pengurusan jenazahnya, kemudian diselesaikan hutang-hutangnya kemudian dipenuhi wasiatnya (hanya satu pertiga daripadanya) kemudian baharulah diberikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak”. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 180)
Dalam isu yang dilontarkan, ahli waris mempunyai pilihan sama ada menggunakan harta peninggalan si mati untuk melunaskan hutang dan bil-bil tertunggak yang menjadi tanggungjawab si mati semasa hayatnya, atau menggunakan sumbangan daripada orang ramai. Ini kerana menjadi kewajipan ahli waris untuk menguruskan dan menyelesaikan hutang si mati, lebih-lebih lagi jika si mati tidak meninggalkan sebarang harta.
Dar al-Ifta al-Misriyyah dalam fatwanya menyatakan bahawa: Membayar hutang orang yang berhutang (al-gharim) — walaupun bukan daripada wang zakat — adalah salah satu amalan yang paling mulia dan ibadah yang paling utama. Ini termasuk dalam kategori meringankan kesusahan dan menghilangkan kebimbangan.[1]
Pelunasan hutang ini perlu diberi perhatian oleh ahli waris kerana ia merupakan amanah yang wajib diselesaikan. Tindakan ini penting untuk memastikan hak pemberi hutang terjamin dan agar bebanan hutang si mati dapat dilepaskan. Dengan menyelesaikan hutang tersebut, maruah si mati terpelihara dan tanggungjawabnya terhadap pihak yang berhutang dapat disempurnakan sesuai dengan tuntutan syariat.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”
Riwayat Ibn Majah (2413), al-Tirmizi (1079), Ahmad (9677) dan al-Baihaqi (6891). Hadith ini dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (1079)
Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadith ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193)
Kesimpulan
Penyelesaian hutang si mati adalah tanggungjawab penting yang harus dipikul oleh ahli waris. Mereka boleh menggunakan harta peninggalan si mati atau sumbangan orang ramai untuk tujuan ini, lebih-lebih lagi jika si mati tidak meninggalkan sebarang harta. Tindakan ini bukan sahaja menjamin hak pemberi hutang, tetapi juga melepaskan bebanan hutang si mati seperti yang dituntut dalam syariat. Dengan menyempurnakan amanah ini, maruah si mati terpelihara, keharmonian keluarga dapat dikekalkan, dan tanggungjawab agama ditunaikan dengan sempurna.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Wallahu‘alam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/ViewResearchFatwa/191/% Diakses pada 3 Disember 2024