#7582: Fakta Buah Delima sebagai Buah Syurga dan Nikmat Allah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah fakta ini betul iaitu, “The pomegranate is mentioned in the Qur’an as the fruit of paradise and a blessing from Allah to mankind.”? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, buah delima disebutkan dalam al-Quran sebagai salah satu buah di dalam syurga dan merupakan nikmat daripada Allah SWT kepada manusia. Allah SWT berfirman dalam kitab-Nya:

فِيهِمَا فَاكِهَةٌ وَنَخْلٌ وَرُمَّانٌ

Maksudnya: “Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima.

(Surah al-Rahman: 68)

Menurut al-Nasafi, delima dan kurma bukanlah tergolong dalam kategori buah-buahan menurut pandangan Abu Hanifah. Ini berdasarkan konteks penyebutannya yang dipisahkan (melalui ‘ataf), kerana kurma adalah buah-buahan dan juga makanan, manakala delima pula adalah buah-buahan dan juga ubat. Oleh itu, kedua-duanya tidak dikhususkan semata-mata untuk tujuan menikmati buah-buahan. Kedua-duanya disebutkan selepas buah-buahan adalah untuk menunjukkan keutamaan keduanya, seolah-olah ia tergolong dalam kategori yang berbeza kerana keistimewaan yang dimiliki oleh kedua-duanya, sebagaimana dalam firman Allah: “…Jibril dan Mikail.” (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 3/417).

Ibn Kathir ketika menjelaskan ayat ini menyatakan, tidak diragukan lagi bahawa yang pertama (sebutan umum untuk buah-buahan) lebih menyeluruh dan merangkumi lebih banyak jenis dan variasi buah-buahan. Sebutan “buah-buahan” (فَاكِهَةٌ) dalam bentuk nakirah dalam konteks afirmatif tidak memberikan makna umum. Oleh itu, firman Allah mengenai “pohon-pohon kurma dan delima,” ditafsirkan sebagai suatu bentuk pengkhususan selepas sebutan umum (مِنْ بَابِ عَطْفِ الْخَاصِّ عَلَى الْعَامِّ), seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Bukhari dan ulama selainnya. Pohon kurma dan delima disebut secara khusus kerana keutamaan dan keistimewaannya berbanding yang lain.

Kemudian Ibn Kathir menukilkan daripada ‘Abd bin Humaid yang menyebutkan: Yahya bin ‘Abd al-Hamid menyampaikan kepada kami, Husain bin Umar menyampaikan kepada kami, Mukhariq menyampaikan kepada kami daripada Tariq bin Syihab, daripada Umar bin al-Khattab, katanya:

جَاءَ أُنَاسٌ مِنَ الْيَهُودِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا: يَا مُحَمَّدُ أَفِي الْجَنَّةِ فَاكِهَةٌ؟ قَالَ: نَعَمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَنَخْلٌ وَرُمَّانٌ قَالُوا: أَفَيَأْكَلُونَ كَمَا يَأْكُلُونَ فِي الدُّنْيَا؟ قَالَ: نَعَمْ وَأَضْعَافٌ قَالُوا: فَيَقْضُونَ الْحَوَائِجَ؟ قَالَ: لَا وَلَكِنَّهُمْ يَعْرَقُونَ وَيَرْشَحُونَ فَيُذْهِبُ اللَّهُ مَا فِي بُطُونِهِمْ مِنْ أَذًى

Maksudnya: “Sekumpulan orang Yahudi datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Wahai Rasulullah,  adakah terdapat buah-buahan di dalam syurga?’ Baginda menjawab: ‘Ya, dalamnya terdapat buah-buahan, kurma, dan delima.’ Mereka bertanya lagi: ‘Adakah mereka makan (buah-buah itu) sebagaimana mereka makan (buah-buah itu) di dunia?’ Baginda menjawab: ‘Ya, bahkan berlipat ganda.’ Mereka bertanya lagi: ‘Adakah mereka membuang kotoran (kerana memakan buah-buah itu dengan banyak)?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, tetapi mereka akan berpeluh dan bau peluh mereka akan seperti minyak kasturi. Dengan itu, Allah akan menghilangkan segala yang ada dalam perut mereka daripada perkara yang memudaratkan.’” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 7/467-468).

Selain daripada itu, Allah SWT turut berfirman:

وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا نُّخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُّتَرَاكِبًا وَمِنَ النَّخْلِ مِن طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ وَجَنَّاتٍ مِّنْ أَعْنَابٍ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُشْتَبِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ ۗ انظُرُوا إِلَىٰ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكُمْ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.”

(Surah al-An‘am: 99)

Al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini menjelaskan, ini adalah salah satu nikmat Allah yang terbesar, yang sangat diperlukan oleh makhluk, baik manusia mahupun yang lain. Allah menurunkan air dari langit secara berterusan pada waktu yang diperlukan oleh manusia, lalu Dia menumbuhkan dengan air itu segala sesuatu, termasuk yang menjadi makanan manusia dan haiwan ternakan. Maka, makhluk hidup menikmati rezeki Allah SWT, bersukacita atau bergembira dengan kurniaan-Nya, dan tanah yang tandus menjadi subur. Justeru, hati pun gembira, wajah ceria, dan hamba-hamba Allah merasai rahmat daripada Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan nikmat tersebut, mereka dapat menikmati hasilnya, yang seharusnya mendorong mereka untuk bersungguh-sungguh mensyukuri Allah ‘Azza wa Jalla yang menganugerahkan segala nikmat, menyembah-Nya, kembali kepada-Nya, dan mencintai-Nya.

Setelah disebutkan secara umum hasil yang tumbuh daripada air, disebutkan pula secara khusus tanaman dan pokok kurma kerana manfaatnya yang banyak dan kerana ia juga menjadi sumber makanan utama bagi kebanyakan manusia. Dinyatakan bahawa Allah SWT menumbuhkan daripadanya  tanaman yang menghijau, yang dikeluarkan dari tanaman itu butir-butir (bijirin) yang bergugus-gugus seperti gandum, barli, jagung, padi (beras), dan lain-lain jenis bijirin. Penyebutan bijiran-bijirin ini sebagai “bergugus-gugus” menunjukkan bahawa biji-bijian ini banyak dan beragam, semuanya berasal daripada satu sumber, tidak bercampur aduk tetapi berasingan pada setiap bijian, dengan akar yang sama. Ini juga menunjukkan banyaknya hasil tuaian yang dapat dimanfaatkan, baik untuk benih mahupun untuk dimakan dan disimpan.

Allah juga berfirman: “Dan dari pohon-pohon kurma dari mayang-mayangnya” iaitu sarung atau pelindung sebelum tandan buahnya muncul, Allah SWT keluarkan dari mayang-mayang itu, tandan-tandan buahnya yang tergantung rendah yang mudah dijangkau dan senang diambil bagi sesiapa yang menginginkannya, sehingga tidak sukar untuk mendapatkan buahnya dari pohon kurma, walaupun ia tinggi, kerana terdapat tangkai dan bahagian-bahagian yang memudahkan untuk memanjatnya.

Kemudian Allah SWT juga mengeluarkan dengan air itu kebun-kebun dari pohon anggur, zaitun, dan delima. Pokok-pokok ini disebutkan secara khusus kerana manfaatnya yang besar dan kedudukannya yang istimewa, walaupun Allah SWT telah menyebutkan secara umum semua jenis pokok dan tumbuhan. Seterusnya, firman-Nya: “yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan,” berkemungkinan adalah merujuk kepada zaitun dan delima, iaitu serupa dari segi pokok dan daunnya tetapi tidak serupa dari segi buahnya. Kemungkinan juga ini merujuk kepada semua jenis pokok dan buah-buahan, di mana sebahagiannya serupa, saling menyerupai dalam beberapa sifatnya, sementara sebahagian yang lain tidak mempunyai persamaan dengan yang lain. Kesemuanya dimanfaatkan oleh hamba-hamba Allah, dinikmati sebagai makanan, dijadikan keperluan hidup, dan diambil pengajaran daripadanya.

Oleh sebab itu, Allah SWT memerintahkan manusia untuk memerhati dan mengambil pengajaran. Perhatikanlah kepada pokok dan tumbuhan itu kesemuannya, dari mula ia muncul hingga menjadi matang. Semua ini mengandungi tanda-tanda kebesaran Allah, rahmat-Nya, keluasan kurniaan-Nya, serta kesempurnaan kuasa dan perhatian-Nya terhadap hamba-hamba-Nya. Namun, tidak semua orang mengambil pengajaran dan berfikir, dan tidak semua yang berfikir dapat memahami maksudnya. Oleh itu, Allah menegaskan bahawa manfaat daripada ayat-ayat ini hanya bagi orang-orang yang beriman. Orang-orang beriman terdorong oleh iman mereka untuk merenung ayat-ayat Allah dan mengambil pengajaran daripadanya, baik melalui akal, fitrah, mahupun syarak. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/267)

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa benar, bahawasanya buah delima disebut dalam al-Quran sebagai salah satu buah yang terdapat di syurga dan sebagai nikmat yang diberikan oleh Allah kepada manusia.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”