Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya melihat para penceramah di television lebih gemar menyampaikan cerita kelakar itu dan ini, sehingga terkadang menimbulkan rasa ragu-ragu dalam diri saya, adakah ini yang disebutkan sebagai penglipur lara? Bolehkan pihak tuan berikan sedikit pencerahan berkenaan ini, terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Berdasarkan kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, penglipur lara merujuk kepada orang yang menghiburkan hati yang duka dengan menyampaikan cerita rakyat yang berunsur jenaka.[1] Melihat kepada definisi ini, maka sudah pasti para asatizah dan pendakwah hakiki terkeluar dari lingkungan penglipur lara ini, selama mana kisah-kisah dan jenaka yang dibawakan mereka itu disulami dengan sandaran syari‘ah yang sahih lagi tepat.
Membawakan kisah dan penceritaan ini termasuk dalam salah satu uslub dakwah yang berkesan, terutamanya apabila kisah tersebut merupakan hikmah yang diambil dari al-Quran dan al-Sunnah al-Nabawiyyah, serta peristiwa kehidupan dan pengalaman umat terdahulu. Apabila kita teliti dengan baik, al-Quran juga menggunakan kaedah pendekatan ini dalam banyak tempat dengan membawakan kisah para Nabi terdahulu beserta umat mereka, dengan tujuan untuk memberikan pengajaran dan juga iktibar kepada manusia. Allah SWT berfirman:
لَقَدْ كَانَ فِى قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌۭ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًۭا يُفْتَرَىٰ وَلَـٰكِن تَصْدِيقَ ٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَىْءٍۢ وَهُدًۭى وَرَحْمَةًۭ لِّقَوْمٍۢ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”
(Surah Yusuf: 111)
Kemudian disebutkan pula dalam firman-Nya yang lain:
فَٱقْصُصِ ٱلْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”
(Surah al-A‘raf: 176)
Kata Imam al-Tabari, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW agar Baginda menceritakan kepada umatnya dari kalangan Quraisy dan juga Yahudi Bani Israel, iaitu mengenai kisah orang yang telah Allah berikan kepada mereka ayat-ayat-Nya, serta kisah-kisah umat yang telah dikhabarkan kepada Baginda dalam surah ini. Allah telah menceritakan kepada Rasulullah SAW tentang mereka dan golongan yang serupa dengan mereka, serta azab yang menimpa mereka dan balasan yang dikenakan terhadap mereka apabila mereka mendustakan utusan para rasul terdahulu. Hal ini agar kaum Baginda dapat mengambil iktibar lalu kembali taat kepada Allah, agar mereka tidak ditimpa azab yang serupa dengan apa yang telah menimpa golongan sebelum mereka. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 13/274)
Tidak dinafikan, memang wujud sebahagian individu yang menonjol sebagai pendakwah agama, tetapi tidak mencermati kisah-kisah yang dibawakan mereka dengan baik sehingga terlanjur menyampaikan kisah palsu kepada khalayak awam, sehinggakan kisah dan jenaka tersebut tidak lebih dari sebuah sembang kosong yang tidak mengandungi sebarang manfaat serta faedah kepada masyarakat.
Imam Ibn al-Jauzi berkata: “Mereka yang suka bercerita ini dikecam kerana kebanyakan mereka lebih banyak memanjangkan cerita daripada menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Kebanyakan mereka juga menokok-tambah perkara yang disampaikan, bahkan mungkin bersandarkan kepada cerita yang sebahagian besarnya palsu. Namun, jika orang itu bercerita benar dan memberi kesan nasihat, maka ia suatu perbuatan terpuji. Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata: ‘Betapa perlunya manusia kepada cerita dari orang yang jujur.” (Lihat Talbis Iblis, hlm. 111)
Maka sebaiknya bagi para pendakwah yang menggunakan kaedah penceritaan dalam menyebarkan faedah serta ilmu agama, agar memastikan kesahihan kisah yang dibawakan itu sebelum menyampaikan kepada masyarakat. Kisah yang benar ini lebih dekat dengan hati orang yang mendengar, begitu juga dapat mengangkat keraguan yang bermain dalam hati sebahagian orang. Jauhilah dari bergelumang dengan kisah-kisah palsu kerana ia hanya akan menatijahkan banyak perkara negatif, sedangkan Allah SWT telah berfirman:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا
Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
(Surah al-Isra’: 36)
Menerusi ayat ini, dapat difahami bahawa Allah SWT melarang dari berkata tanpa sebarang ilmu, yakni bercakap atas dasar sangkaan, waham dan khayalan semata-mata. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/69)
Bahkan Rasulullah SAW sendiri menyifatkan mereka yang suka bercerita apa sahaja yang didengarinya tanpa sebarang usul periksa terhadap kesahihan sandaran ini sebagai pendusta. Thabit bahawa Baginda bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Maksudnya: “Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila dia menceritakan semua yang didengarinya.”
Riwayat Muslim (5)
Hadith mengandungi larangan dari menceritakan segala perkara yang didengari; kerana boleh jadi akan berlaku tokok tambah. Kisah yang didengari itu juga mempunyai kebarangkalian, boleh jadi benar dan boleh jadi dusta. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/75)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, tidak wajar kita menghukum kesemua pendakwah yang menggunakan pendekatan bercerita itu sebagai penglipur lara, bahkan kita sewajarnya memuji usaha mereka yang cuba mendekatkan masyarakat kepada agama Allah SWT. Dalam pada itu, perlu juga diketahui bahawa penyampaian dakwah dengan penceritaan tanpa dipastikan kesahihan terlebih dahulu adalah dilarang dalam Islam.
Berusahalah untuk meneliti dan memastikan keabsahan sesuatu khabar sebelum ia dikongsikan kepada orang lain. Semoga dengan usaha tersebut Allah SWT akan kurniakan ganjaran yang berganda atas usaha menyebarkan dakwah dan juga memastikan kesahihan sumber dakwah tersebut. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Wallahu a‘lam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=penglipur+lara&d=243192&. Diakses pada 3 Disember 2024.