#7584:  Rawatan Pengelupasan Kimia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukumnya wanita yang menjalani proses chemical peeling untuk menghilangkan bekas-bekas jerawat yang berlubang?Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pengenalan

Pengelupasan kimia (chemical peel) adalah prosedur di mana larutan kimia disapu pada kulit untuk menanggalkan lapisan atas. Kulit yang tumbuh semula akan menjadi lebih licin. Untuk pengelupasan ringan atau sederhana, anda mungkin perlu menjalani prosedur ini beberapa kali untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

Pengelupasan kimia digunakan untuk merawat kedutan, kulit yang berubah warna, dan parut — biasanya di bahagian muka. Prosedur ini boleh dilakukan secara bersendirian atau digabungkan dengan prosedur kosmetik lain. Ia boleh dilakukan pada tahap kedalaman yang berbeza, dari ringan hingga mendalam. Pengelupasan kimia yang lebih mendalam memberikan hasil yang lebih ketara, tetapi memerlukan tempoh pemulihan yang lebih lama.

Rawatan pengelupasan kimia bergantung pada jenis masalah kulit yang ingin dirawat, dan ia terbahagi kepada tiga tahap kedalaman:

  • Pengelupasan kimia ringan:

Pengelupasan kimia ringan (superfisial) menanggalkan lapisan luar kulit (epidermis). Ia digunakan untuk merawat kedutan halus, jerawat, tona kulit tidak sekata, dan kulit kering. Pesakit mungkin perlu menjalani prosedur ini setiap dua hingga lima minggu.

  • Pengelupasan kimia sederhana:

Pengelupasan kimia sederhana menanggalkan sel kulit dari epidermis dan sebahagian daripada lapisan tengah atas kulit (dermis). Ia digunakan untuk merawat kedutan, parut jerawat, dan tona kulit tidak sekata. Prosedur ini mungkin perlu diulang untuk mencapai atau mengekalkan hasil yang diinginkan.

  • Pengelupasan kimia mendalam:

Pengelupasan kimia mendalam menanggalkan sel kulit pada lapisan yang lebih dalam. Doktor mungkin mengesyorkannya untuk merawat kedutan yang lebih dalam, parut, atau pertumbuhan prakanser. Pesakit tidak perlu mengulang prosedur ini untuk mendapatkan kesan penuh.

Namun, pengelupasan kimia tidak dapat menghilangkan kedutan atau parut yang dalam atau mengetatkan kulit yang kendur.[1]

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa Islam tidak melarang seseorang mendapatkan rawatan perubatan, selagi rawatan tersebut tidak melibatkan tindakan yang mengubah ciptaan Allah SWT secara kekal atau melanggar prinsip syarak. Yang demikian adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayat al-Quran, 9/222).

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Daripada dalil di atas, dapat difahami bahawa sebarang bentuk rawatan yang tidak melibatkan pengubahan ciptaan Allah SWT adalah dibenarkan dan diharuskan oleh syarak.

Berkaitan dengan isu ini, Syeikh Uthaimin menyatakan bahawa: Pendapat saya mengenai fenomena ini adalah jika ia dilakukan semata-mata untuk tujuan kecantikan, maka ia adalah haram, berdasarkan qiyas dengan perbuatan mencabut bulu kening (nams) dan merosakkan anggota badan  serta perkara seumpamanya.

Namun, jika ia bertujuan untuk menghilangkan kecacatan seperti lubang pada wajah, kulit wajah yang kehitaman pada individu berkulit cerah, atau seumpamanya, maka tidak mengapa. Ini kerana Nabi SAW telah memberi kebenaran kepada seorang lelaki yang terpotong hidungnya untuk menggantikan hidung tersebut dengan hidung yang diperbuat daripada emas. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasail al-Uthaimin, 17/19-20)

Begitu juga Syeikh Ibn Baz menyatakan: Jika terdapat kesan penyakit pada wajah, atau perkara lain yang mencacatkan wajah, maka tidak mengapa mendapatkan rawatan daripada doktor yang mampu menghilangkan kesan tersebut dan memperbaiki kecacatan itu. (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb, 20/307)

Justeru, kami berpendapat bahawa mendapatkan rawatan pengelupasan kimia (chemical peel) untuk menghilangkan kesan atau parut jerawat pada wajah adalah diharuskan, kerana ia bertujuan untuk menghilangkan aib dan kecacatan pada wajah. Namun, penting untuk memastikan rawatan tersebut selamat, bebas daripada sebarang bahaya atau kemudaratan, serta mestilah ia dilakukan oleh pakar yang berkelayakan. Yang demikian selaras dengan sebuah kaedah yang menyebutkan:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Selain itu, rawatan ini hendaklah tidak melibatkan sebarang perubahan kekal yang bertentangan dengan prinsip syarak sebagaimana yang telah dinyatakan dalam nas di atas.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahua’lam

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/chemical-peel/about/pac-20393473 Diakses pada 4 disember 2024