Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah fakta ini betul iaitu, “Grapes are often mentioned in the Qur’an as a symbol of blessings in paradise.”? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, apabila kita membaca dan mentadabburi ayat-ayat dalam al-Quran, kita akan mendapati atau memahami bahawa buah anggur sering disebutkan dalam al-Quran sebagai simbol nikmat di syurga. Allah SWT berfirman:
إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ مَفَازًا (31) حَدَائِقَ وَأَعْنَابًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur.”
(Surah al-Naba’: 31-32)
Al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, setelah Allah SWT menyebutkan keadaan orang-orang yang berdosa, Dia menyebutkan pula balasan bagi orang-orang yang bertakwa melalui firman-Nya: “إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ مَفَازًا” iaitu mereka yang bertakwa (takut) kepada kemurkaan Tuhan mereka dengan berpegang teguh pada ketaatan kepada-Nya dan menjauhi perkara yang dibenci-Nya. Bagi mereka ada kejayaan, keselamatan, dan dijauhkan daripada api neraka.
Di tempat kemenangan itu, mereka akan menikmati “حَدَائِقَ” iaitu kebun-kebun yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok yang indah dan berbuah, yang di celah-celahnya mengalir sungai-sungai. Kemudian, Allah SWT menyebut secara khusus pohon anggur kerana kemuliaannya dan banyaknya di taman-taman tersebut. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/907).
Selain itu, al-Khazin menafsirkan ayat, “إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ مَفَازًا” sebagai kejayaan atau keselamatan daripada azab. Ada yang berpendapat bahawa kemenangan itu merujuk kepada memperoleh nikmat syurga. Kemungkinan juga kemenangan itu mencakupi kedua-duanya, kerana mereka berjaya, dalam erti kata yang lain, selamat daripada azab dan memperoleh nikmat yang mereka dapatkan di dalam syurga.
Kemudian, perkataan “حَدَائِقَ” (taman-taman), yang merupakan kata jamak (plural) kepada hadīqah (حديقة), iaitu kebun yang dikelilingi, dipenuhi dengan segala yang mereka inginkan. Seterusnya perkataan “أَعْناباً” (pohon-pohon anggur) disebut dalam bentuk nakirah untuk menunjukkan keagungan dan keistimewaan buah anggur tersebut. (Lihat Lubab al-Ta’wil fi Ma‘ani al-Tanzil, 4/388).
Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:
وَآيَةٌ لَّهُمُ الْأَرْضُ الْمَيْتَةُ أَحْيَيْنَاهَا وَأَخْرَجْنَا مِنْهَا حَبًّا فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ ﴿٣٣﴾ وَجَعَلْنَا فِيهَا جَنَّاتٍ مِّن نَّخِيلٍ وَأَعْنَابٍ وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ
Maksudnya: “Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa mata air.”
(Surah Yasin: 34)
Al-Baidhawi ketika menafsirkan ayat “وَأَخْرَجْنا مِنْها حَبًّا” menyatakan, ia adalah merujuk kepada pelbagai jenis biji-bijian. Kemudian pada ayat “فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ” beliau menyatakan, Allah mendahulukan kata hubung iaitu “مِنْ” untuk menunjukkan bahawa biji-bijian adalah sebahagian besar makanan yang dimakan dan menjadi sumber kehidupan yang utama.
Seterusnya, bagi ayat “وَجَعَلْنا فِيها جَنَّاتٍ مِنْ نَخِيلٍ وَأَعْنابٍ” pula, perkataan nakhīl (نَخِيلٍ) dan a‘nāb (أَعْنابٍ) disebut dalam bentuk jamak (plural) kerana ia merujuk kepada pelbagai jenis pohon kurma dan anggur tersebut. Berbeza dengan perkataan hab (حَب – biji-bijian) yang disebut dalam bentuk tunggal kerana ia menunjukkan kepada jenis/genus yang mengisyaratkan adanya perbezaan jenis secara umum, sedangkan istilah yang menunjukkan jenis-jenis tertentu (الأنواع) tidak membawa maksud perbezaan tersebut, tetapi lebih merujuk kepada spesifikasi yang khusus.
Begitu juga istilah “pohon kurma” digunakan dan bukannya “buah kurma” agar ia sesuai/selaras dengan konteks biji-bijian dan anggur, kerana pohon kurma mempunyai manfaat yang lebih besar, di samping menunjukkan tanda-tanda ciptaan Allah yang mengagumkan. Dalam erti kata lain, manfaat yang diberikan oleh pohon kurma secara keseluruhan, termasuk buahnya, kayunya, dan hasil-hasil lain daripada pohon kurma tersebut. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 4/267)
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa pernyataan bahawa anggur sebagai simbol nikmat di syurga adalah benar. Ini kerana sebagaimana yang kami sudah jelaskan di atas, anggur disebut sebagai salah satu nikmat yang menanti orang-orang yang bertakwa di dalam syurga. Tambahan lagi, penyebutan anggur dalam al-Quran menunjukkan betapa besarnya nikmat yang Allah sediakan bagi para hamba-Nya, baik di dunia mahupun di akhirat.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”