#7586: Doa Menghilangkan Rasa Gementar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah doa untuk menguatkan semangat untuk anak menuntut ilmu dan doa menghilangkan rasa gementar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’”

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24)

Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya: “Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan antara doa yang boleh kita amalkan adalah:

  • Doa Diilhamkan Kecerdasan

Sabda Nabi SAW:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku.”

Riwayat al-Tirmizi (34) (3483), al-Tabarani dalam al-Du’a (1393), al-Bazzar (3580) dan al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al- Sifat (894)

  • Kelapangan Hati dan Jiwa

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِي قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu. Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya penghapus kesusahanku.” 6 di dadaku, penghilang kesedihanku.

Riwayat Ahmad (3712), Ibn Hibban (972), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (29808), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (155), al-Tabarani dalam al-Du’a (1035), al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/509) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (339)

Suka kami nyatakan, kami juga ada menulis buku khusus berkaitan doa yang dikumpulkan dari al-Quran dan hadith, “Inilah Doaku”. Jika anda berminat, anda boleh klik di link bawah:

https://bukudrzulkiflialbakri.onpay.my/order/form/tabirmimpi/137

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”