Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum menyembunyikan perceraian talak 3 dan apakah implikasinya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dari sudut bahasa, talak bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi boleh difahami seperti berikut:
- Mengangkat ikatan perkahwinan.
- Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
- Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. (Lihat Dur al-Mukhtar,hlm. 3/226, al-Mughni, 16/192 dan Mughni al-Muhtaj, 3/279) .
Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.
Firman Allah SWT:
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ
Maksudnya: ”Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)
Talak merupakan jalan terakhir yang digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun, sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal, namun perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)
Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
Riwayat Abu Daud (2178)
Al-San‘ani pula menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa sebaiknya, jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak ini selagimana terdapat padanya keluasan, iaitu ruang-ruang untuk tidak menceraikan. (Lihat Subul al-Salam, 2/248)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa jika yang dimaksudkan dengan menyembunyikan talak adalah menyembunyikannya daripada pengetahuan orang lain, maka hal tersebut tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan. Namun, jika yang dimaksudkan adalah menyembunyikan bilangan talak, khususnya talak 3, maka perbuatan tersebut tidak dibenarkan kerana boleh membawa implikasi yang besar.
Antara Implikasinya iaitu jika talak tiga telah berlaku tetapi dirahsiakan, tindakan merujuk kembali isteri tanpa melalui prosedur yang betul menjadi tidak sah, dan pasangan itu dianggap hidup dalam keadaan haram.
Dalam isu ini Syeikh Ibn Baz menyatakan bahawa : Perkara ini perlu diteliti dengan teliti, dan tidak dibenarkan untuk menyembunyikan atau mengambil ringan dalam hal ini. Merujuk kembali isteri selepas talak tiga adalah satu perkara yang serius, dan tidak boleh dilakukan kecuali selepas mendapatkan fatwa serta memastikan sama ada talak tersebut benar-benar berlaku atau tidak. Ini kerana, mungkin terdapat halangan yang menghalang talak daripada berlaku. Oleh itu, adalah wajib bagi suami yang menceraikan untuk mendapatkan nasihat dan mendengar pendapat ulama agar dia merujuk kembali isterinya dengan penuh kefahaman.
Adapun jika seseorang menceraikan, kemudian menceraikan lagi, dan menceraikan lagi, kemudian merujuk kembali serta menyembunyikan apa yang berlaku, maka ini tidak dibenarkan dan bukanlah sikap seorang Muslim. Malah, tindakan ini lebih mirip dengan perbuatan orang bukan Islam.
Oleh itu, anda perlu menjelaskan situasi sebenar kepada para ulama dan menerangkan apa yang berlaku di hadapan isteri dan walinya supaya perkara tersebut menjadi jelas. Kemudian, ambillah fatwa daripada mereka. Hanya kepada Allah kita memohon pertolongan; tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin-Nya.
Anda tidak boleh mendekatinya atau kembali kepadanya sehingga mendapatkan nasihat daripada para ulama. Anda telah melakukan sesuatu yang serius, dan tidak sepatutnya terjerumus dalam perkara ini. (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb, 22/114-115 )
Justeru, menyembunyikan talak, khususnya bilangan talak, bukan sahaja membawa kesan kepada individu yang terlibat tetapi juga memberi kesan kepada institusi keluarga dan masyarakat secara keseluruhan. Ia penting untuk merujuk kepada pihak berautoriti seperti ulama atau mahkamah syariah bagi memastikan setiap keputusan yang diambil berlandaskan hukum yang sahih. Ini selaras dengan kaedah yang menyebutkan:
حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu‘alam.