Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah doa untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’”
(Surah al-Ghafir: 60)
Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24)
Di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:
الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ
Maksudnya: “Doa itu merupakan ibadah.”
Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.
Maksud Ilmu Bermanfaat
Ilmu yang dikehendaki dalam kehidupan kita amat banyak tetapi ilmu berkaitan Ahkam Syar`iyyah antara yang utama. Ilmu itu terdiri daripada tiga huruf (علم) yang bermaksud pengetahuan atau makrifah. Ia merupakan salah satu dari-pada Nama dan Sifat Allah SWT. Ia ditakrif-kan juga dengan maksud mengetahui dan mendapati sesuatu berbetulan mengikut hakikat yang sebenar. Itulah ilmu. Apakah hakikat ilmu itu? Lihatlah jawapan ulama:
Pertama:
Imam Syafie berkata: “Seseorang itu tidak berhak berkata pada sesuatu perkara yang halal atau haram kecuali dengan ilmu.” Sudut ilmu itu ialah:
- Apa yang dinaskan dalam Kitabullah.
- Atau dalam Sunnah.
- Atau dalam Ijmak.
- Jika tiada, maka Qias atas usul-usul ini, atau apa yang semakna dengannya.
Kedua:
Imam Muhammad Ibn Al-Hasan al-Syaibani berkata, ilmu adalah empat wajah:
- Apa yang terdapat dalam kitab Allah dan se-umpamanya.
- Apa yang terdapat dalam sunnah Rasullullah dan seumpamanya.
- Apa yang menjadi ijmak para sahabat dan se-umpamanya.
- Apa yang menjadi istihsan para fuqaha dan se-umpamanya.
Ibn Abd al-Barr Rahimahullah mentafsirkan maksud Imam Syafie dengan “apa yang semakna dengannya” dan maksud Imam Muhammad Ibn Al-Hasan dengan “dan seumpamanya” dengan kaedah Qias.
Ketiga:
Imam Malik berkata: “Ilmu dan hikmah adalah cahaya yang Allah hidupkan dengannya siapa yang dikehendakinya, bukan dengan banyaknya masalah ilmiah.” Hal ini berbetulan dengan kenyataan sahabat Nabi, Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu `anhu:-
لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ ، إِنَّمَا الْعِلْمُ الْخَشْيَةُ
Maksudnya: “Bukanlah ilmu dengan banyaknya hadis tetapi ilmu yang sebenarnya adalah takut kepada Allah.”
Riwayat Ibn Hibban (9) dalam Raudhat al-`Uqala’
Kata beliau lagi:
رَأْسُ الْحِكْمَةِ مَخَافَةُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Kepala hikmah itu ialah takut kepada Allah Azza wa Jalla.”
Riwayat al-Baihaqi (729) dalam Syu`ab al-Iman
Ini berbetulan dengan firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Maksudnya: Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.
(Surah Fatir: 28)
Ibn Kathir telah menukilkan sejumlah pandangan ulama berkenaan dengan maksud ayat ini.
Al-Maraghi berkata: “Ini kerana orang yang mengetahui perkara tersebut tentu akan yakin adanya hukuman yang bakal ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang derhaka dan ingkar kepada Allah. Atas dasar itu, dia berasa takut kepada Allah dan ngeri dengan hukuman serta seksaannya.”
Keempat:
Al-Khattabi berkata: “Ilmu lebih jelas dan terang daripada di-definisikan.” Ertinya, ilmu itu di-ketahui oleh semua orang yang berakal, sekalipun seseorang itu ada ilmu atau sebaliknya.
Pembahagian Ilmu
Sebenarnya ilmu dibahagikan kepada pelbagai bentuk. Antaranya:
Pertama: Ilmu alat atau wasilah, seperti ilmu nahu, adab dan balaghah
Kedua: Ilmu matlamat atau ghayah, seperti ilmu tauhid, fiqh dan tasawwuf
Inilah pembahagian ilmu oleh Imam al-Syatibi di dalam kitabnya al-Muwafaqat. Ramai ulama membahagikan ilmu dengan melihat kepada nas nabawi, lalu kita dapati ilmu terbahagi kepada dua:
- Ilmu yang bermanfaat
- Ilmu yang tidak bermanfaat
Nas Ilahi menuntut kepada kita mohon tambahan ilmu. Firman Allah:
وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
Maksudnya: “Dan katakanlah: Wahai Tuhanku! Tambah-kanlah untukku ilmu.”
(Surah Taha: 114)
Ibn Kathir berkata: “Ertinya, “Tuhan-ku, tambahkanlah daripada sisi-Mu ilmu pengetahuan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/319).
Berkata ‘Uyainah: “Sesungguhnya Allah berterusan menurunkan wahyu kepada rasul-Nya sehinggalah pada hari paling banyak wahyu telah diturunkan ialah hari kewafatan Rasulullah SAW.”
Berkata Ibn Majah, daripada hadis Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah! Kurniakan aku manfaat daripada apa yang Engkau ajarkan kepadaku, dan ajarkanku perkara yang bermanfaat bagiku, dan tambahkanlah bagiku ilmu pengetahuan, segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan.”
Nabi SAW mentafsirkan dengan doa ini mohon ilmu bermanfaat dan menjauhi ilmu yang tidak bermanfaat. Antara doa-doa Nabi SAW berkenaan ilmu bermanfaat ialah:
Pertama:
Daripada Ummu Salamah R.Anha bahawa Nabi SAW berdoa apabila solat subuh ketika hendak memberi salam:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya Allah aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Riwayat Ahmad (26521), Ibn Majah (925), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (29265) dan al-Baihaqi (1645)
Imam al-Tibi dalam mensyarahkan hadis di atas berkata: “Ilmu tiga perkara: Ilmu Kitab, Ilmu Sunnah dan Ilmu Ijma’ dan Qiyas yang disebut sebagai fardhu yang adil. Dinamakan adil kerana ia membetuli dengan apa yang diambil daripada Kitab dan Sunnah pada wajib mengikutinya. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 1/317-318)
Kedua:
Nabi SAW menyuruh kita memohon kepada Allah SWT agar diberikan ilmu yang bermanfaat. Daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:
سَلُوا اللَّهَ عِلْمًا نَافِعًا، وَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ
Maksudnya: “Mohonlah kamu semua kepada Allah akan ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah dengan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.”
Riwayat Ibn Majah (3843), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3/276), Ibn Abi Syaibah (27248) dan Abu Ya’la (1927)
Al-Hasan al-Basri berkata: “Ilmu ada dua; ilmu di lisan dan ilmu di hati. Ilmu di hati adalah ilmu yang bermanfaat, sedangkan ilmu di lisan adalah hujah Allah SWT atas anak Adam.” (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 13/235)
Ketiga:
Kita juga boleh mengamalkan doa berikut:
اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”
Riwayat Muslim (7081), Abu Daud (1458), al-Tirmizi (3482), al-Nasa’ie (5536), Ibn Majah (3837) Ahmad (19402) dan Ibn Hibban (1015)
Maksud ungkapan “أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ” ialah lindungilah aku dari ilmu yang aku tidak beramal dengannya, dan ilmu yang aku tidak mengambil manfaat dengannya, dan aku tidak mengajarkan manusia dengannya, serta ilmu yang tidak menambah baik pada akhlak, amalan dan kata-kata. Ini kerana ilmu yang bermanfaat itu ialah yang menambahkan rasa takut kepada Allah SWT, dan menambahkan kesedaran seorang hamba terhadap aib-aib dan kekurangan dirinya sendiri serta kekurangan-kekurangan di dalam amalannya. (Lihat Tuhfah al-Zakirin, hlm. 419; Faidh al-Qadir, 2/153 dan al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 3/132)
Justeru ilmu yang bermanfaat ialah yang membawa kita untuk beramal yang menambahkan dekatnya kita kepada Allah SWT yang memberi cahaya hati dan membentuk keperibadian yang unggul. Betapa pentingnya kedudukan ilmu yang bermanfaat seperti kata tokoh tabiin yang terkenal al-Sya’bi: “Kalaulah seseorang lelaki bermusafir daripada hujung bumi Syam ke hujung bumi Yaman dan dia hafal serta pelihara satu kalimah yang bermanfaat untuk masa depan usianya, aku berpendapat bahawa, kerana pelayarannya itu, tidaklah dikira sebagai pembaziran.” (Lihat Al-Rihlah fi Talab al-Hadis, hlm. 26)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, antara doa yang boleh anda amalkan adalah:
- Ilmu, Rezeki dan Amalan
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)
Al-Hasan al-Basri berkata: “Ilmu ada dua; ilmu di lisan dan ilmu di hati. Ilmu di hati adalah ilmu yang bermanfaat, sedangkan ilmu di lisan adalah hujah Allah SWT atas anak Adam.” (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 13/235)
Manakala maksud rezeki yang baik adalah rezeki yang halal sepertimana disebut oleh Syeikh Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahtani. (Lihat Syarh Hisn al- Muslim min Azkar al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 129)
Suka kami nyatakan, kami juga ada menulis buku khusus berkaitan doa yang dikumpulkan dari al-Quran dan hadith, “Inilah doaku”. Jika anda berminat, anda boleh klik di link bawah:
https://bukudrzulkiflialbakri.onpay.my/order/form/tabirmimpi/137
Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَأرْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah kebaikan buat kami, jangan cegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”