#7589: Fakta Kaabah adalah Kiblat Umat Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah fakta ini betul iaitu, “The Ka‘bah is the qibla for Muslims; every time they pray, Muslims around the world face the direction of the Ka‘bah.”? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, Kaabah adalah Baitullah al-Haram dan kiblat bagi umat Islam. Allah SWT telah menjadikannya sebagai mercu tanda tauhid dan simbol ibadah. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

جَعَلَ اللَّهُ الْكَعْبَةَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ قِيَامًا لِّلنَّاسِ

Maksudnya: “Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup).”

(Surah al-Ma’idah: 97)

Al-Khazin ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, perkataan  “جَعَلَ” di sini ada yang menafsirkannya dengan makna menetapkan. Selain itu, ada juga yang berpendapat, maknanya adalah menjelaskan dan menetapkan/memutuskan.

Seterusnya dinukilkan daripada Mujahid bahawa rumah itu dinamakan Kaabah kerana bentuknya yang empat segi. Ada juga pendapat yang mengatakan ia dinamakan Kaabah kerana ketinggiannya yang terangkat dari permukaan tanah. Ia disebut sebagai  al-Bait al-Haram (rumah suci) kerana Allah SWT telah mengharamkannya, memuliakannya, dan mengagungkan kedudukannya. Allah juga menjadikan kawasan ini penuh kehormatan dengan melarang perburuan di sekitarnya, mencabut rumput-rumputnya, dan menebang pokok-pokoknya. Yang dimaksudkan dengan al-Bait al-Haram juga adalah merujuk kepada seluruh kawasan haram (tanah suci Makkah), sebagaimana dinyatakan dalam hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW dalam khutbahnya pada hari pembukaan Kota Makkah bersabda:

إِنَّ هَذَا الْبَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ تَعَالَى يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ، فَهُوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، لَا يُعْضَدُ شَوْكُهُ، وَلَا يُنَفَّرُ صَيْدُهُ، وَلَا يُلْتَقَطُ لُقَطَتُهُ إِلَّا مَنْ عَرَّفَهَا، وَلَا يُخْتَلَى خَلَاهُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya negeri ini telah diharamkan oleh Allah ta‘ala sejak hari Dia menciptakan langit dan bumi. Maka tidak boleh ditebang pepohonnya, dan tidak dihalau (diburu) haiwan buruannya, tidak diambil sesuatu barang yang tercicir kecuali bagi orang yang ingin mengumumkannya untuk mencari pemiliknya, dan tidak boleh dicabut rumput-rumputnya.

Kemudian al-Khazin menjelaskan pula ayat “قِيامًا لِلنَّاسِ”, di mana menurutnya, asal perkataan qiyaman (قِيامًا) ialah qawwaman (قوَّامًا), kerana ia menjadi sebab untuk menegakkan kepentingan manusia, sama ada dalam urusan agama, dunia, mahupun akhirat mereka.

Adapun dalam urusan keagamaan, Kaabah menjadi pusat pelaksanaan ibadah haji dan penyempurnaan manasik. Manakala dalam urusan keduniaan, Kaabah menjadi tempat terkumpulnya pelbagai hasil bumi dan barang keperluan, serta menjadi kawasan yang aman daripada penjarahan dan serangan. Malah, jika seseorang bertemu dengan pembunuh ayah atau anaknya di kawasan tanah haram, dia tidak boleh mencederakannya kerana menghormati kesucian tempat itu. Dalam urusan akhirat pula, Kaabah dijadikan sebagai pusat pelaksanaan manasik (ibadah), dan ibadah yang dilaksanakan di situ dijadikan sebab untuk mengangkat darjat, menghapuskan dosa, serta menambah kemuliaan dan ganjaran pahala. Oleh kerana Kaabah yang mulia menjadi sebab untuk tercapainya semua perkara ini, maka ia menjadi asas atau sebab utama bagi tertegaknya kelangsungan kehidupan manusia. (Lihat Lubab al-Ta’wil fi Ma‘ani al-Tanzil, 2/81).

Selain daripada itu, Kaabah juga merupakan rumah ibadah pertama yang dibangunkan untuk manusia bagi menyembah Allah SWT. Ini adalah sebagaimana firman-Nya:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

(Surah Ali ‘Imran: 96)

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 213-214)

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa fakta bahawa Kaabah adalah kiblat umat Islam dan mereka menghadapnya setiap kali solat adalah benar. Perintah ini adalah berasaskan kepada ayat 144 daripada Surah al-Baqarah, di mana Allah memerintahkan umat Islam menghadap Masjidil Haram selepas perubahan kiblat dari Baitul Maqdis. Ia juga sebagai manifestasi ketaatan kepada perintah Allah dan simbol perpaduan dalam ibadah.

Firman Allah SWT:

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.

(Surah al-Baqarah: 144)

Al-Baidhawi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, Rasulullah SAW berulang-ulang memandang ke arah langit dengan harapan turunnya wahyu, serta Baginda sering terlintas dalam hatinya dan mengharapkan daripada Tuhannya agar kiblatnya dialihkan ke arah Kaabah, kerana Kaabah merupakan kiblat bapanya, Nabi Ibrahim A.S. Ia juga merupakan kiblat pertama dan yang lebih lama (terdahulu), serta dilihat lebih sesuai bagi menarik kaum Arab kepada keimanan. Begitu juga ia adalah bagi menyelisihi orang-orang Yahudi. Ini menunjukkan kesempurnaan adab Rasulullah SAW di mana Baginda menunggu dengan sabar tanpa meminta.

Kemudian, Allah mengkhabarkan bahawa Dia akan mempermudahkan Baginda SAW untuk menghadap ke arah tersebut, sebagaimana ungkapan “Aku memalingkannya kepada sesuatu” bermaksud menjadikannya berhadapan dengan sesuatu itu. Allah juga menjelaskan bahawa kiblat tersebut adalah kiblat yang dicintai dan didambakan oleh Rasulullah SAW, kerana ia memenuhi tujuan-tujuan agama yang selaras dengan kehendak dan hikmah Allah. Oleh itu, Allah memerintahkan Rasulullah SAW untuk mengarahkan wajahnya ke arah kiblat tersebut. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 1/111).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”