Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa maksud hadis yang menyebut bahawa dunia adalah penjara bagi orang mukmin?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, hadith yang dimaksudkan adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Maksudnya: “Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir.”
Riwayat Muslim (2956), al-Tirmizi (2324), Ibn Majah (4113) dan Ahmad (8289)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa makna hadith ini bahawa orang mukmin terpenjara di dunia kerana dia mesti menahan diri daripada pelbagai syahwat yang diharamkan dan dimakruhkan. Orang mukmin juga diperintahkan untuk melakukan ketaatan. Ketika dia mati, barulah dia rehat daripada hal itu. Kemudian dia akan memperoleh apa yang telah Allah janjikan dengan kenikmatan yang kekal, dan juga kerehatan yang sebenarnya tanpa berkurang sedikit pun.
Adapun orang kafir, dunia yang dia peroleh sedikit ataupun banyak, ketika dia meninggal dunia, dia akan mendapat azab seksa selama-lamanya dan akan berada dalam kesusahan yang abadi. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 18/93)
Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Bada’i’ al-Fawa’id (3/696) menyebut dua pentafsiran daripada hadith ini, iaitu:
Pertama, orang yang beriman di dunia ini, maka keimanannya yang kuat dapat menghalangnya daripada menuruti nafsu syahwat yang diharamkan oleh Allah SWT. Sehingga dengan keadaan seperti ini, seolah-olah dia hidup dalam penjara. Atau dengan kata lain, dunia ini adalah tempat orang yang beriman memenjarakan (menahan) hawa nafsunya daripada perbuatan-perbuatan yang diharamkan oleh Allah SWT, berbeza dengan orang kafir yang hidup bebas menurutkan nafsu syahwatnya.
Kedua, dunia ini adalah penjara (bagi) orang yang beriman dan syurga (bagi) orang kafir apabila dibandingkan dengan keadaan atau balasan orang yang beriman dan orang kafir di hari akhirat kelak. Ini kerana, bagi orang yang beriman, meskipun hidupnya di dunia paling senang dan bahagia, namun keadaan tersebut tetap sahaja seperti penjara jika dibandingkan dengan besarnya balasan kebaikan dan kenikmatan yang Allah SWT sediakan untuknya di syurga pada hari akhirat kelak. Manakala bagi orang kafir, meskipun hidupnya di dunia paling sengsara dan menderita, namun keadaan tersebut tetap sahaja seperti syurga jika dibandingkan dengan pedihnya balasan keburukan dan azab seksaan yang Allah SWT akan timpakan kepadanya di neraka pada hari akhirat nanti. (Lihat Bada’i’ al-Fawa’id, 3/696)
Al-Munawi turut menyebut: “Dikatakan dalam penjara kerana orang mukmin itu terhalang untuk melakukan syahwat yang diharamkan. Manakala keadaan orang kafir adalah sebaliknya, sehingga seakan-akan dia berada di dalam syurga.” (Lihat Faid al-Qadir, 3/546)
Imam al-Munawi turut menukilkan sebuah kisah yang diambil daripada para ulama, di mana al-Hafiz Ibn Hajar (al-Asqalani) ketika dia menjadi Ketua Qadi berjalan pada suatu hari melintasi sebuah pasar. Ketika itu beliau dalam sebuah rombongan penunggang haiwan kenderaan yang besar, cantik lagi mengagumkan. Tiba-tiba meluru ke arahnya seorang lelaki Yahudi, penjual minyak biji rami. Pakaiannya kotor dengan minyak, dan kelihatan semakin lusuh dan buruk.
Dia lantas memegang kekang baghal Imam Ibn Hajar dan berkata: “Wahai Syeikh al-Islam! Engkau mendakwa bahawa Nabi kalian berkata: “Dunia itu penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir,” lantas, penjara mana yang engkau berada sekarang? Dan syurga mana yang aku berada sekarang?” Jawab Ibn Hajar: “Aku jika dibandingkan apa yang Allah janjikan bagiku di akhirat nanti daripada kenikmatan syurga, seakan-akan aku sekarang berada di penjara. Manakala engkau pula, jika dibandingkan dengan apa yang Allah janjikan bagimu di Akhirat, maka seolah-olah sekarang engkau berada dalam syurga.” Lalu Yahudi itu masuk Islam. (Lihat Faid al-Qadir, 3/546)
Berkaitan taklif (tanggungjawab), Imam al-Marwazi pernah menceritakan bahawa: Aku pernah bertanya kepada Imam Ahmad: “Bagaimana keadaan anda pagi hari ini?” Beliau menjawab: “Bagaimana kira-kira keadaan seorang hamba pada pagi hari, di mana Rabbnya menuntut dirinya untuk melaksanakan berbagai kewajipan, Nabinya menuntut dirinya untuk menjalankan al-Sunnah, sementara dua malaikat menuntut dirinya untuk beramal dengan benar, di sisi yang lain, jiwanya menuntut dirinya untuk menurut hawa nafsu dan iblis pula menuntutnya untuk melakukan perbuatan keji, malaikat maut pula melihat dirinya untuk mencabut rohnya, sementara keluarganya menuntut daripadanya untuk mencari nafkah.”
Penutup
Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa hadis di atas menunjukkan bahawa orang beriman itu di dunia diperintahkan untuk taat kepada perintah dan meninggalkan larangan Allah, sebagai ujian untuk mendapatkan rahmat Allah berupa kebahagiaan di akhirat. Ini tidak menafikan peluang bagi seorang manusia, sama ada Islam atau bukan, untuk mendapatkan kekayaan dunia denga usaha dan peluang.
Jadikanlah dunia ini tempat beramal untuk memperoleh nikmat di akhirat. Sayyidina Ali bin Abi Talib R.A pernah berkata:
وَإِنَّ الدُّنْيَا قَدِ ارْتَحَلَتْ مُدْبِرَةً وَالآخِرَةُ قَدْ قُرِّبَتْ مُقْبِلَةً وَلِكُلِّ وَاحِدَةٌ مِنْهُمَا بَنُوْنَ فَكُوْنُوْا مِنْ أَبْنَاءِ الآخِرَةِ وَلاَ تَكُوْنُوْا مِنْ أَبْنَاءِ الدُّنْيَا فَإِنَّ اليَوْمَ عَمَلٌ وَلاَ حِسَابٌ وَغَدًا حِسَابٌ وَلاَ عَمَلٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya dunia ini akan ditinggalkan di belakang. Sedangkan akhirat begitu dekat dijumpai di hadapan. Dunia dan akhirat, masing-masing memiliki hamba. Jadilah hamba akhirat, janganlah menjadi hamba dunia. Hari ini (di dunia) adalah hari untuk beramal. Tidak ada hisab (perhitungan). Sedangkan esok (di akhirat) adalah hari hisab (perhitungan), tidak ada lagi amalan.” (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 134, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/378)
Justeru, marilah kita berusaha dan beramal dengan bersungguh-sungguh di dunia ini kerana dunia ini bersifat sementara. Jadikanlah dunia ini sebagai ladang untuk kita beramal. Firman Allah SWT:
مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) faedah di akhirat, maka Kami akan memberinya serta kami tambahkan pada faedah yang dikehendakinya. Dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, maka Kami akan beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan). Dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun (di akhirat kelak).”
(Surah al-Syura: 20)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H