Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya selalu dengar pesanan para asatizah bahawa Allah mendengar segala permintaan hamba-Nya, maka berdoalah apa sahaja yang kita inginkan. Saya seorang yang hidup susah, adakah lebih afdhal saya berdoa agar diberikan kecukupan, atau berdoa diberikan kekayaan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Harta adalah sebahagian daripada kebaikan dan kelebihan duniawi yang Allah SWT kurniakan buat hamba-Nya di muka bumi ini. Ini jelas disebutkan dalam firman-Nya:
ٱلْمَالُ وَٱلْبَنُونَ زِينَةُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ
Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.”
(Surah al-Kahfi: 46)
Tidak menjadi kesalahan bagi seorang Muslim untuk berdoa kepada Allah SWT dan memohon agar diberikan harta yang banyak serta dipermudahkan untuk bersyukur dan bersedekah. Disebutkan dalam firman Allah SWT:
وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ
Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia’.”
(Surah al-Baqarah: 201)
Doa ini menghimpunkan segala kebaikan di dunia dan menghindarkan segala keburukan. Kebaikan di dunia mencakupi segala perkara yang diinginkan, seperti kesihatan, rumah yang luas, pasangan yang baik, rezeki yang melimpah, ilmu yang bermanfaat, amalan yang soleh, kenderaan yang selesa, pujian yang baik, dan lain-lain sebagaimana disebutkan oleh para mufassir. Semua perkara ini saling melengkapi, kerana kesemuanya termasuk dalam kategori kebaikan di dunia. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/122)
Rasulullah SAW juga pernah mendoakan Anas bin Malik R.A akan dikurniakan harta dan anak yang ramai. Diriwayatkan daripada Anas R.A, katanya:
قَالَتْ أُمِّي: يَا رَسُولَ اللهِ، خَادِمُكَ، ادْعُ اللَّهَ لَهُ، قَالَ: اللهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ، وَوَلَدَهُ، وَبَارِكْ لَهُ فِيمَا أَعْطَيْتَهُ
Maksudnya: “Ibuku berkata: ‘Wahai Rasulullah! Ini ialah khadimmu, berdoalah kepada Allah untuknya.’ Baginda pun mengucapkan: ‘Ya Allah! Perbanyaklah harta dan anaknya serta berkatilah apa yang Engkau berikan kepadanya’.”
Riwayat al-Bukhari (6344) dan Muslim (2480)
Ini membuktikan bahawa tidak menjadi masalah bagi seseorang itu berdoa memohon kekayaan dan juga kecukupan, kerana boleh jadi dengan harta yang banyak itu, seseorang itu dapat mengembalikan manfaat kepada masyarakat yang berada di sekelilingnya. Rasulullah SAW pernah berpesan kepada ‘Amru bin al-‘As R.A ketika beliau menyatakan bahawa keislamannya bukan kerana harta:
نِعِمَّا بِالْمَالِ الصَّالِحِ لِلرَّجُلِ الصَّالِحِ
Maksudnya: “Sebaik-baiknya harta yang baik itu untuk lelaki yang soleh.”
Riwayat Ahmad (17802)
Namun, sesiapa yang bimbang akan ditimpa fitnah harta, atau dia ingin mencontohi Nabi Muhammad SAW dengan berpada pada kecukupan diri dan keperluan asas, serta mampu bersabar tanpa memandang kepada apa yang dimiliki orang lain, maka itu adalah lebih baik baginya.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَتَمَنَّوْا۟ مَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بِهِۦ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌۭ مِّمَّا ٱكْتَسَبُوا۟ ۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌۭ مِّمَّا ٱكْتَسَبْنَ ۚ وَسْـَٔلُوا۟ ٱللَّهَ مِن فَضْلِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمًۭا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Nisa’: 32)
Orang yang mungkin kurang dari sudut harta atau diuji dengan kemiskinan, maka tidak perlulah mereka mengharap kekayaan dan kelebihan yang dikurniakan kepada orang lain kerana ia merupakan sifat hasad, dengan mengharapkan kurniaan Allah kepada orang lain itu berpindah kepadanya, sedangkan diri sendiri kekal bermalasan serta menanam angan-angan palsu yang tidak disertai dengan usaha. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 176)
Kesimpulan
Ringkasnya, kami katakan bahawa berdoa memohon kekayaan atau memohon kecukupan, kedua-duanya bersifat subjektif berdasarkan kepada kemampuan seseorang itu untuk mengawal dirinya dari terkabur dengan fitnah harta yang banyak. Sekiranya diyakini kekayaan yang dipinta itu dengan tujuan bermewah-mewahan juga menunjuk-nunjuk, maka ketika itu berdoa memohon kecukupan sahaja adalah lebih afdhal. Sebaliknya, sekiranya dia berkehendak untuk memperbanyakkan lagi amal kebaikan dengan bersedekah, membantu orang sekeliling dan sebagainya, maka ketika itulah doa memohon kekayaan adalah afdhal.
Sesungguhnya rasa kekurangan itu boleh menimpa mana-mana golongan, sama ada orang kaya, orang yang cukup-cukup makan, serta fakir miskin yang lalai dari meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dalam diri mereka. Hakikatnya, tidak ada yang lebih mulia dan lebih afdhal di sisi-Nya melainkan yang paling bertakwa. Firman Allah SWT:
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ
Maksudnya: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Surah al-Hujurat: 13)
Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertakwa kepada-Nya, dikurniakan kecukupan dalam hidup, dilimpahi rezeki yang baik untuk disalurkan ke arah kebaikan dan mendekatkan diri kepada-Nya, serta kembali manfaat harta tersebut bagi melonjakkan lagi nama Islam di muka dunia. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahu a‘lam