#7592: Menggerakkan Jari Di Atas Ayat-Ayat Semasa Membaca atau Mengajar al-Quran Pada Mushaf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum menggerakkan jari di atas ayat-ayat semasa membaca dan mengajar al-Quran pada mushaf?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan)”

(Surah al-Waqiah:77)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: “Adapun bagi yang telah disumpahkan ke atasnya ianya  mengithbatkan Al-Quran bahawa ia adalah kebenaran yang tiada keraguan padanya dan ia adalah kalam yang mulia iaitu banyak kebaikan, padat dengan ilmu. Setiap kebaikan dan ilmu ia hanya diperolehi daripada Kitabullah dan diambil dariNya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm 836)

Firman Allah SWT lagi:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin”.

(Surah al-Haj: 32)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”

Riwayat Muslim (817); Ibn Majah (218); Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami menjelaskan bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang mengajar atau membaca al-Quran untuk menggerakkan jari pada ayat-ayat yang sedang dibaca. Perbuatan ini bertujuan membantu pembaca memberikan tumpuan yang lebih baik terhadap ayat yang sedang dibaca, memudahkan proses penghafalan, serta memperbetulkan bacaan, terutamanya bagi pelajar yang sedang belajar. Kaedah ini juga dapat meningkatkan kefahaman dan memastikan setiap perkataan dibaca dengan tepat, sekali gus meminimumkan kesilapan. Selain itu, ia membantu pelajar mengenal pasti kedudukan ayat dengan lebih jelas dan menggalakkan fokus yang lebih mendalam dalam sesi pembelajaran al-Quran.

Berkaitan  isu ini Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan dalam fatawanya bahawa: Menggerakkan tangan di atas ayat-ayat semasa membaca al-Quran daripada mushaf bagi membantu memperbetulkan bacaan dan memudahkan hafalan adalah dibenarkan menurut syarak, dan tiada sebarang halangan mengenainya. Perkara ini dibolehkan selagi ia menjadi kaedah yang membantu penghafaz memperbetulkan bacaan dan memudahkan hafalan. Ini berdasarkan riwayat bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menghitung ayat-ayat al-Quran menggunakan tangannya, dan secara umum juga diharuskan menghitung zikir menggunakan jari. Tiada dalil yang melarang perbuatan ini, yang menunjukkan keharusannya. Mudah-mudahan jari-jari ini akan menjadi saksi kebaikan pada hari kiamat, kerana tiada kebaikan yang lebih besar daripada mempelajari bacaan al-Quran dan berusaha menghafalnya.[1]

Namun begitu dalam menggerakkan jari dan menyentuh secara lansung pada mushaf hendakalah dipastikan berada dalam keadaan suci iaitu dalam keadaan berwuduk. Yang demikian kerana sebahagian para ulama bersepakat bahawa menyentuh al-Quran atau mushaf adalah haram melainkan dalam keadaan seseorang itu suci daripada hadas kecil atau besar. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya:Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

(Surah al-Waqiah: 79)

Imam Qurtubi menyebut di dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk, jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Hazm R.A. Dan ini merupakan pandangan mazhab Saidina Ali R.A, Ibnu Mas’ud, Saad bin Abi Waqaz, Said bin Zaid, Ata’, al-Nakhai serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi’i. (Lihat al-Jami‘ Li Ahkam al-Quran, 17/226)

Begitu juga  hadith yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin Hazm bahawa Nabi SAW mengutus surat kepada penduduk Yaman dan antara isi di dalamnya adalah:

أَلَّا يَمَسَّ الْقُرْآنُ إِلَّا طَاهِرٌ

Maksudnya: “Jangan seseorang menyentuh al-Quran melainkan dia dalam keadaan suci — daripada hadas.”

Riwayat Malik (468); Ibn Hibban (793) dan al-Baihaqi (1/87)

Ibnu Hajar Al-Haitami pula menyatakan: Haram bagi seseorang yang sedang berhadas melakukan solat secara ijma’ dan perkara yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah jumaat, solat jenazah, tawaf sekalipun ia sunat seperti terdapat dalam hadith, dan membawa mushaf, menyentuh kertasnya, hasyiahnya serta kulit yang bersambung dengannya. (Lihat  al-Minhaj Al-Qawim, hlm. 38)

Kesimpulannya, menggerakkan jari pada ayat-ayat al-Quran semasa membaca atau mengajar adalah dibenarkan dalam syarak kerana ia membantu memperbetulkan bacaan, meningkatkan tumpuan, dan memudahkan hafalan. Kaedah ini tidak menjadi kesalahan selagi bertujuan kebaikan dan tidak melanggar adab membaca al-Quran. Namun, individu yang menyentuh mushaf secara langsung hendaklah memastikan dirinya berada dalam keadaan suci, iaitu berwuduk, kerana menyentuh al-Quran tanpa wuduk adalah dilarang berdasarkan pandangan jumhur ulama dan dalil daripada al-Quran dan hadith.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/21555/%D8%AD% Diakses pada 4 Disember 2024