#7594: Hisap Vape Pod

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menghisap Vape Pod kerana saya lihat sekarang makin banyak yang hisap dan iklan pun banyak di media sosial?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Vape Pod

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, menyedut wap melalui mulut daripada peranti elektronik yang biasanya dikendalikan oleh bateri (seperti rokok elektronik) yang memanaskan dan mengewapkan cecair atau pepejal. Perbezaan vape dan vape pod adalah dari segi saiz yang jauh lebih kecil dan cara penjagaannya yang jauh lebih mudah. Oleh itu, vape pod juga dikenali sebagai ‘vape mini’.[1]

Pada asasnya menghisap rokok elektronik atau vape termasuk dalam perbuatan yang haram sama seperti perbuatan merokok. Di antara ulama dan tokoh ilmuan yang mengharamkannya ialah Syeikh Ahmad Masyad, anggota Markaz Azhar Dunia, bagi fatwa elektronik menyebut hukum penggunaan vape membawa kemudaratan, bahkan dapatan kajian sebahagiannya menunjukkan lebih teruk daripada merokok. Justeru hukumnya adalah haram. Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid dalam jawapan beliau terhadap isu penggunaan rokok elektronik mengatakan bahawa rokok elektronik hukumnya adalah sama seperti rokok tradisional iaitu haram. Padanya tidak ada kebaikan bagi mereka-mereka yang ingin cuba meninggalkan amalan menghisap rokok beralih dari rokok tradisional kepada rokok elektronik kerana mudaratnya juga sama seperti rokok biasa berdasarkan laporan daripada pakar.

Pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995, yang telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam. Bahkan di sana terdapat beberapa alasan atau ‘illah yang telah dikemukakan, yang menunjukkan kepada pengharamannya seperti memudaratkan agama nyawa, akal, harta dan keturunan, mengandungi bahan-bahan beracun seperti nikotin cecair tulen, propylene glycol, vegetable glycerin dan alkohol, membawa kepada ketagihan dan mengkhayalkan, memudaratkan kesihatan orang sekeliling dan mencemarkan alam sekitar dan lain-lain alasan.

Kesan-Kesan Buruk Vape Pod

  • Melajukan degupan jantung dan meningkatkan tekanan darah.
  • Risiko kematian serta merta disebabkan kandungan tembakau.
  • Kerosakan paru-paru.
  • Menjadi ketagih vape disebabkan kandungan nikotin di dalam vape/vape pod.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum menghisap vape/vape pod adalah haram. Ini kerana jelas ia membawa kepada kemudaratan dan Allah SWT juga telah berfirman:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Maknanya ialah janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu. Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan lafaz ‘التَّهْلُكَةُ’ ini adalah termasuk setiap perkara yang membawa kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, ‘التَّهْلُكَةُ’ juga merupakan sesuatu perkara yang perlu diwaspadai dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/215)

Tambahan lagi, Syeikh al-Sa’di menyebut ‘التَّهْلُكَةُ’ merupakan perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ia termasuk dalam pelbagai perkara, antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90).

Oleh itu, kami katakan Islam tidaklah mengongkong kehidupan manusia dari perkara yang ingin dilakukan. Akan tetapi, larangan dan batasan yang digariskan oleh Islam berdasarkan kepada apa yang terbaik dan maslahah buat hambanya. Oleh sebab itu, di dalam Maqasid Syariah terdapat lima elemen yang perlu dipelihara iaitu Menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung:

[1] Lihat Hello Doktor: https://hellodoktor.com/habit-sihat/berhenti-merokok/fenomena-vape-pod/

Diakses pada 4/12/24.