Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bagaimana memandikan wanita haid yang meninggal? Adakah perlu dimandikan jenazah tersebut sebanyak sekali atau dua kali? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, memandikan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut. Bahkan kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW sendiri.
Terdapat riwayat menceritakan bahawa ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:
اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ
Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.”
Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (1206)
Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakkan (sunat) untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sekiranya kematiannya tidak berlaku secara mengejut. Ini kerana perlu dipastikan akan kematiannya terlebih dahulu atau dilewatkan disebabkan oleh maslahah supaya ramai orang melakukan solat jenazah untuknya atau kerana menunggu kehadiran kaum kerabat dan sebagainya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa, bagi wanita yang meninggal dunia dalam keadaan haid, menurut pandangan majoriti ulama, dia dianggap sama seperti orang Islam lain yang telah meninggal dunia. Hanya satu mandi diwajibkan ke atasnya, iaitu mandi jenazah. Mandi haid tidak diperlukan kerana apabila seorang wanita haid meninggal dunia, dia tidak lagi tertakluk kepada tanggungjawab hukum syarak (taklif). Dengan kematian, semua ibadah wajib gugur daripadanya, termasuk kewajipan solat. Oleh itu, apabila solat tidak lagi diwajibkan, kewajipan mandi yang berkaitan dengan solat juga turut gugur.
Al-Khatib Syarbini menyebutkan bahawa: Orang yang junub, wanita haid, wanita nifas, dan mayat wajib dimandikan tanpa sebarang kemakruhan, kerana mereka semua adalah suci seperti yang lain. Jika mereka meninggal dunia, mereka hanya perlu dimandikan sekali sahaja, kerana kewajiban mandi yang tertanggung ke atas mereka terputus dengan kematian. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/6)
Begitu juga al-Buhuti dalam pandangannya berkaitan isu ini menyatakan: Wanita haid dan orang junub, apabila mereka meninggal dunia, kedudukan mereka sama seperti orang lain dalam hal mandi. Kewajiban mandi mereka gugur dengan mandi jenazah, kerana sebab-sebab kewajiban tersebut saling berkait. (Lihat Kasyyaf al-Qinah, 2/101-102)
Selain itu dalam fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah turut dinyatakan bahawa: Maka, apabila seorang wanita meninggal dunia dalam keadaan haid, dia adalah seperti orang Islam yang lain yang telah meninggal dunia. Dia hanya dimandikan sekali sahaja, iaitu mandi jenazah, dan kewajiban mandi haid gugur daripadanya kerana kewajiban taklif telah terangkat dengan kematian.[1]
Sebagai kesimpulannya, wanita yang meninggal dunia dalam keadaan haid hanya diwajibkan mandi jenazah, sama seperti orang Islam lain yang telah meninggal dunia. Kewajiban mandi haid tidak lagi diperlukan kerana dengan kematian, semua tanggungjawab hukum syarak, termasuk kewajiban solat dan mandi yang berkaitan dengannya, telah gugur. Hal ini menunjukkan bahawa kewajiban yang berkaitan dengan taklif tidak lagi terpakai apabila seseorang meninggal dunia.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”
Wallahua’lam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/21561/%D9%83% Diakses pada 4 Disember 2024