Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya bekerja dalam sektor perkapalan, yang memerlukan saya untuk berada di negara luar sebagai musafir bagi mencari rezeki halal untuk keluarga di Malaysia. Adakah musafir untuk mencari rezeki ini juga tergolong dalam mereka yang berhijrah menuju jalan Allah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Berhijrah menuju jalan Allah SWT ini, sekiranya disebutkan secara umum, ia merujuk kepada penghijrahan keluar dari negara bukan Islam ke negara Islam yang lain bagi tujuan menegakkan agamanya. Beginilah yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
وَمَن يُهَاجِرْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يَجِدْ فِى ٱلْأَرْضِ مُرَٰغَمًۭا كَثِيرًۭا وَسَعَةًۭ ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِنۢ بَيْتِهِۦ مُهَاجِرًا إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ يُدْرِكْهُ ٱلْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 100)
Imam Abu Ja‘far al-Tabari berkata, ayat ini merujuk kepada sesiapa yang keluar dari negara bukan Islam dengan membawa agamanya, menuju ke negara Islam yang didiami oleh orang-orang beriman. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 9/112)
Atas dasar ini, fuqaha meletakkan definisi hijrah ini sebagai perpindahan dari negara Kafir ke negara Islam. (Lihat al-Fath al-Mubin bi Syarh al-Arba‘in, hlm. 131; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/177)
Memahami definisi ini, secara umumnya musafir mencari rezeki itu tidak termasuk dalam kalangan mereka yang berhijrah ke jalan Allah SWT. Dalam pada itu, kami tidak menafikan bahawa bermusafir ke luar negara untuk mencari rezeki yang halal itu merupakan suatu amalan kebaikan yang wajar dipuji, kerana dia telah berusaha memberikan suapan rezeki kepada isteri dan anak-anak dengan hasil titik peluh dan membanting tulang sendiri. Firman Allah SWT:
وَءَاخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِى ٱلْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ ۙ وَءَاخَرُونَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۖ
Maksudnya: “Dan (Allah mengetahui) yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agama-Nya)”
(Surah al-Muzammil: 20)
Kata Imam Abu al-Barakat al-Nasafi, kalimah (يَضْرِبُونَ) ini merujuk kepada musafir yang mencari rezeki Allah seperti berniaga. Dalam konteks ini, bermusafir mencari rezeki diletakkan pada kedudukan yang sama dengan berjihad di jalan Allah; kerana usaha mencari sesuatu yang halal juga diumpamakan seperti jihad. (Lihat Madarik al-Tanzil, 3/560)
Dikisahkan oleh Ka‘ab bin ‘Ujrah R.A bahawa seorang lelaki pernah melintasi Rasulullah SAW, dan para sahabat melihat kekuatan serta kesungguhannya sehingga mereka kagum. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika hal ini berlaku dalam jihad di jalan Allah.” Maka Rasulullah SAW bersabda:
إِنْ كَانَ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى وَلَدِهِ صِغَارًا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَإِنْ خَرَجَ يَسْعَى عَلَى أَبَوَيْنِ شَيْخَيْنِ كَبِيرَيْنِ فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَإِنْ كَانَ يَسْعَى عَلَى نَفْسِهِ يَعِفُّها فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَإِنْ كَانَ خَرَجَ رِيَاءً وتَفَاخُرًا فَهُوَ فِي سَبِيلِ الشَّيْطَانِ
Maksudnya: “Jika dia berusaha untuk anak-anaknya yang masih kecil, maka dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar berusaha untuk kedua ibu bapanya yang telah tua, maka dia berada di jalan Allah. Jika dia keluar berusaha untuk dirinya sendiri supaya tidak meminta-minta, maka dia berada di jalan Allah. Tetapi jika dia keluar untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah, maka dia berada di jalan syaitan.”
Riwayat al-Tabarani (6835) dalam al-Mu‘jam al-Ausat, dan Syeikh al-Albani menilainya sebagai sahih li ghairihi.
Kesimpulan
Memahami penjelasan di atas, meskipun bermusafir mencari rezeki itu tidak dikategorikan sebagai mereka yang berhijrah ke jalan Allah SWT, ia tetap disamakan dengan berjihad di jalan-Nya dalam konteks berusaha memperoleh perkara yang halal. Berusahalah dengan apa jua cara untuk mendapatkan rezeki yang halal, kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:
مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ، وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ
Maksudnya: “Tidak ada satu makanan pun yang dimakan oleh seseorang, yang lebih baik selain daripada hasil usaha sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Dawud memakan makanan hasil dari usaha Baginda sendiri.”
Riwayat al-Bukhari (2072)
Ambillah semangat dari hadith ini agar diri kita akan tetap bersungguh-sungguh mencari dari sumber yang halal, meskipun perlu merentasi lautan dan benua. Jadikanlah ia sebagai peluang untuk meneliti keindahan ciptaan Allah SWT dalam meningkatkan keimanan, di samping membawa pulang rezeki halal ke pangkuan keluarrga tercinta.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam