Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sebagaimana diketahui bahawa bersiwak adalah sunnah Nabi SAW. Jadi, saya hendakkan kepastian adakah gosok gigi atau berus gigi ini sama juga macam ikut sunnah nabi bersiwak? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas. Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44; Tafsir al-Muyassar, hlm. 35)
Bersiwak merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ
Maksudnya: “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap solat.”
Riwayat al-Bukhari (887)
Ibn Rajab dalam syarahnya menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa bersiwak bukanlah satu kewajipan seperti mengambil wuduk untuk solat. (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab, 8/122)
Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menukilkan pendapat Imam al-Syafi‘i bahawa hadith ini menyatakan bahawa bersiwak sebelum solat tidak wajib kerana sekiranya hukumnya adalah wajib nescaya Baginda SAW akan menyuruh umatnya bersugi sama ada ia menyusahkan atau tidak menyusahkan mereka. Kebanyakan ulama berpegang pendapat tersebut. Oleh itu, bersiwak hukumnya sunat yang digalakkan setiap kali sebelum solat fardhu mahupun solat sunat. (Lihat Fath al-Bari, 2/375-376).
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, terlebih dahulu kita melihat definisi siwak itu sendiri. Imam al-Nawawi menyatakan, dari segi bahasa, perkataan siwak (السِّوَاكُ) digunakan untuk merujuk kepada perbuatan, iaitu perbuatan membersihkan atau menggosok gigi, dan juga alat yang digunakan untuk membersihkan dan menggosok gigi. Alat itu juga dipanggil sebagai miswak (مِسْوَاكٌ). Dikatakan: “Saka fāhu” (سَاكَ فَاهُ), “yasūkuhu” (يَسُوكُهُ), “saukan” (سَوْكًا) — yakni dia menggosok mulutnya. Akan tetapi jika kamu mengatakan, “istāka” (اسْتَاكَ), tidak perlu lagi disebutkan “mulut.” Perkataan siwak adalah dalam bentuk kata muzakkar (merujuk kepada lelaki), seperti yang dinukilkan oleh al-Azhari daripada orang Arab.
Kemudian, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, perkataan siwak (السِّوَاكُ) berasal daripada perkataan sāka (سَاكَ) yang bermaksud menggosok sesuatu. Namun ada pendapat lain yang menunjukkan bahawa ia berasal daripada perkataan tasāwuk (التَّسَاوُك) yang bermaksud condong atau berayun. Dikatakan, “جَاءَتْ الْإِبِلُ تَتَسَاوَكُ” iaitu unta-unta itu berjalan dalam keadaan atau dengan cara yang condong atau berayun dalam langkah mereka. Namun, pendapat yang lebih tepat adalah ia berasal daripada perkataan sāka, yang bermaksud menggosok.
Seterusnya dalam istilah para fuqaha’, siwak merujuk kepada penggunaan kayu atau seumpamanya pada gigi untuk menghilangkan perubahan (dari segi kebersihan atau warna gigi) dan yang seumpamanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/269-270). Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/135-136) turut mendefinisikan bersiwak sebagai perbuatan menggunakan kayu siwak untuk membersihkan gigi dan mulut daripada kotoran.
Dr. Muhammad al-Zuhaili pula ketika menjelaskan berkenaan definisi siwak, beliau turut memberikan contoh alat yang biasanya digunakan bagi melakukannya pada masa kini. Beliau menyebutkan, siwak dari segi syarak adalah menggunakan kayu atau seumpamanya, seperti berus gigi pada masa kini, untuk membersihkan gigi dan kawasan sekitarnya seperti lidah dan gusi, bagi menghilangkan perubahan (warna atau bau) serta kesan makanan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/59).
Secara umumnya, ciri-ciri alat yang sesuai digunakan untuk bersugi adalah bahan yang kesat dan suci. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Faidh al-Ilah al-Maliki (1/30) bahawa sunnah bersiwak dapat dicapai dan dapat dilakukan dengan menggunakan apa sahaja bahan kasar/kesat yang suci yang dapat menghilangkan plak (kotoran pada gigi), iaitu kekuningan pada gigi seperti menggunakan kain perca kasar atau seumpamanya.
Begitu juga turut dinyatakan dalam I‘anah al-Talibin (1/57) bahawa bersiwak dapat dilakukan dengan (apa sahaja bahan/alat yang kasar), walaupun menggunakan kain kasar atau bahan seperti usynan.[1] Namun, kayu adalah yang terbaik berbanding yang lain. Paling utama ialah kayu yang memiliki bau yang harum, dan yang afdhalnya adalah kayu arak.
Penggunaan kayu arak sebagai alat bersugi adalah paling afdhal kerana sebagai mengikuti perbuatan Nabi SAW yang menggunakan kayu berkenaan untuk bersugi. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, katanya:
كُنْتُ أَجْتَنِي لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سِوَاكًا مِنْ أَرَاكٍ
Maksudnya: “Aku pernah memotongkan untuk Rasulullah SAW kayu siwak daripada pokok arak.”
Riwayat Abu Ya‘la (5310); al-Tabarani (8452) dan Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Auliya’ (1/127) dengan sedikit perbezaan lafaz. Sanadnya dinilai sebagai hasan dalam Irwa’ al-Ghalil (1/104)
Walau bagaimanapun, bersiwak tidak dapat dilakukan dengan jari kerana ia tidak dianggap sebagai siwak mengikut pendapat mazhab al-Syafi‘i yang palih kuat kecuali jika seseorang tidak mempunyai apa-apa alat lain. Dalam keadaan itu, bersiwak dengan jari dibolehkan, seperti yang dipilih oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/282; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/61).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa sunnah bersiwak/bersugi itu terhasil meskipun dengan menggunakan berus gigi. Ini kerana bersiwak itu adalah perbuatan menggosok dan membersihkan gigi, manakala kayu sugi itu pula hanyalah salah satu daripada alatnya, jadi ia terhasil dengan apa sahaja alat yang memenuhi ciri-cirinya iaitu kesat dan suci. Justeru, kami tegaskan sekali lagi bahawa perbuatan memberus gigi dengan menggunakan berus gigi adalah memenuhi dan menepati maksud bersiwak yang dituntut dalam syarak.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”
[1] Usynan ialah sejenis tumbuhan daripada keluarga Chenopodiaceae yang tumbuh di tanah berpasir. Sama ada tumbuhan itu sendiri ataupun serbuknya akan digunakan untuk mencuci pakaian dan tangan. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar–ar/أشنان/. Diakses pada 4 Disember 2024).