Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, kawan saya menghadapi masalah kewangan dan memohon bantuan tunai serta barangan daripada sebuah agensi kebajikan. Namun, dalam permohonannya, dia memberikan maklumat palsu mengenai pendapatannya dan keadaan keluarganya untuk memastikan permohonannya diluluskan. Apakah pandangan Dato’ berkaitan isu ini? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah Surah al-Baqarah : 188)
Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)
Al-Sa’di menyatakan : Allah melarang hamba-hamba yang beriman memakan harta sesama mereka secara zalim.Memakan harta secara batil iaitu memakan harta itu dengan cara penindasan dan pencurian, serta mengambilnya melalui perjudian dan keuntungan yang haram.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Manan,hlm. 175)
Begitu juga Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya darah kalian, harta kalian, dan maruah kalian adalah haram untuk dicerobohi sesama kalian.”
Riwayat al-Bukhari (67) dan Muslim (1679)
Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas menegaskan bahawa: “Lafaz hadith di atas menegaskan dengan begitu jelas bahkan amat keras tentang haramnya harta, maruah dan nyawa untuk dicerobohi dan digugat oleh sesiapa pun.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/169)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa perbuatan menipu untuk memperoleh bantuan atau sumbangan dengan memberikan maklumat palsu atau menggunakan cara lain yang tidak sah adalah perbuatan yang jelas diharamkan oleh syarak dan dianggap sebagai jenayah mengikut undang-undang. Tindakan ini termasuk dalam kategori mengambil harta orang lain secara tidak sah atau batil, yang mana ia menghalalkan apa yang haram. Lebih berat lagi, perbuatan ini menjadi lebih besar dosanya dan lebih berat hukumannya kerana ia merupakan pencabulan harta yang berhak ke atas orang lain.
Selain itu, ia mengandungi unsur penipuan, pembohongan, dan tipu daya, kesemuanya adalah perkara yang diharamkan syarak. Islam telah memberi amaran keras terhadap perbuatan ini dan menjanjikan hukuman bagi pelakunya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”
Riwayat al-Bukhari (6094)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160)
Ancaman yang berat terhadap pengkhianat ini juga telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Khaulah al-Ansariyyah, di mana beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ رِجَالًا يَتَخَوَّضُونَ فِي مَالِ اللهِ بِغَيْرِ حَقٍّ، فَلَهُمُ النَّارُ يَوْمَ القِيَامَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya ada beberapa lelaki yang terlibat dalam menguruskan harta Allah tanpa hak, maka bagi mereka adalah neraka pada Hari Kiamat.”
Riwayat al-Bukhari (3118)
Imam al-Hafiz Ibn Hajar berkata dalam Fath al-Bari (6/219) iaitu: mereka yang menguruskan harta umat Islam dengan cara yang batil. Oleh yang demikian, setiap individu wajib berusaha untuk memastikan yang halal dalam makanan, minuman, pakaian, dan segala urusannya, serta menyedari bahawa perkara yang haram akan membawa seseorang ke dalam neraka.
Begitu juga Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam isu in menyatakan bahawa: “adalah haram untuk menipu undang-undang dan keputusan yang mengaturnya dengan memberikan maklumat palsu untuk mendapatkan bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan masyarakat yang memerlukan, yang seterusnya menyebabkan orang yang berhak tidak menerima bantuan. Hal ini kerana ia melibatkan pengambilalihan harta awam, memakan harta orang lain dengan cara yang batil, mengkhianati amanah, dan mengabaikan hak-hak, yang mana setiap satu daripadanya adalah dosa besar dan perbuatan tercela.”[1]
Kesimpulan
Perbuatan menipu untuk mendapatkan bantuan atau sumbangan melalui pemberian maklumat palsu atau cara yang tidak sah adalah perbuatan yang diharamkan oleh syarak dan dianggap sebagai jenayah menurut undang-undang. Tindakan ini bukan sahaja melibatkan pengambilalihan harta orang lain secara tidak sah, tetapi juga merupakan pelanggaran terhadap amanah dan hak orang lain. Perbuatan ini membawa dosa dan hukuman yang berat, termasuk ancaman di akhirat. Oleh itu, setiap individu diingatkan untuk sentiasa berpegang kepada kebenaran dan menghindari perbuatan menipu, kerana ia tidak hanya mencemarkan moral, tetapi juga mengundang akibat buruk di dunia dan di akhirat.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/21587/%D8%AD%D9%83% Diakses pada 4 Disember 2024