Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah rasa berat hati dengan permintaan ibu bapa itu dikira sebagai derhaka juga?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Derhaka atau al-‘Uquq (العُقُوقُ) menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempatbermaksud tidak taat atau khianat kepada Tuhan, negara, orang tua, dan lain-lain.[1]
Ulama pula mengatakan, derhaka ini merujuk kepada segala sesuatu yang menyakiti kedua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka, selagi tidak melibatkan perbuatan maksiat kepada Allah SWT. Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata, dijelaskan dalam ucapan mereka menunjukkan bahawa perbuatan itu adalah dosa besar, iaitu apabila seseorang melakukan sesuatu yang menyakiti kedua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka berdasarkan uruf setempat. (Lihat al-Zawaji ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 2/115)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pula membawakan takrifan derhaka ini dari sudut bahasa dan istilah. Beliau berkata: “Al-‘Uquq (العُقُوقُ) berasal dari kalimah al-‘Aq (العَقُّ) yang bererti memutuskan. Ia merujuk kepada perbuatan anak yang menyakiti ibu bapa mereka, sama ada melalui perkataan atau perbuatan, kecuali dalam hal syirik atau maksiat, selagi ibu bapa tidak bersikap keterlaluan.” (Lihat Fath al-Bari, 10/406)
Adapun rasa berat hati yang timbul kerana sebab-sebab yang tertentu, selama mana ia tidak dizahirkan dalam bentuk kata-kata dan juga perbuatan, maka ia tidak termasuk dalam hakikat derhaka yang disebutkan oleh ulama. Bahkan, alangkah baiknya jika kita dapat menelan rasa berat hati tersebut dengan pengharapan agar Allah SWT membalas kebaikan serta keredhaan kepada kita.
Abu Hurairah R.A menyampaikan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku akan apa yang dibisikkan oleh hatinya, selagi dia tidak melaksanakan atau mengucapkannya.”
Riwayat al-Bukhari (5269)
Antara intipati yang dapat diambil dari hadith ini, lintasan hati atau perasaan buruk itu tidak akan diambil kira selama mana ia tidak diterjemahkan dalam bentuk perkataan atau perbuatan. Inilah salah satu bentuk kasih Allah SWT terhadap hamba-Nya. Imam al-Qurtubi menyebutkan, antara perkara yang tidak dihukum ke atasnya adalah lintasan-lintasan hati yang bersifat sementara, yang tidak bersifat tetap dalam jiwa serta tiada kecenderungan kepadanya. (Lihat al-Mufhim, 1/340)
Kami juga mengambil kesempatan ini untuk memberikan pesanan kepada anak-anak di luar sana yang masih diberi peluang untuk berbakti kepada ibu bapa, hindarilah diri dari terdorong dengan perasaan berat hati tersebut kerana dikhuatiri kelak ia akan terlanjur diucapkan atau dizahirkan dalam bentuk perbuatan. Antara langkah yang mungkin boleh dipraktikkan bagi menghilangkan rasa berat hati ini:
- Memperbanyakkan doa agar diberikan keluasan rezeki untuk menunaikan hasrat kedua ibu bapa.
- Bertawakkal kepada Allah SWT.
- Mengingati jasa dan pengorbanan kedua mereka yang telah menjaga serta membesarkan kita dari kecil hingga dewasa, melayan segala kerenah juga perangai anak-anak yang bermacam-macam.
- Memasakkan dalam diri kita bahawa redha Allah SWT adalah satu-satunya yang akan memasukkan kita ke dalam Syurga-Nya, dan ia memerlukan keredhaan kedua ibu bapa terhadap kita.
Disebutkan dalam sebuah hadith:
رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ
Maksudnya: “Redha Allah pada redha kedua ibu bapa.”
Riwayat al-Tirmizi (1899), al-Hakim (7249) dan Ibn Hibban (429)
Akhir kata, marilah kita merenung firman Allah SWT:
وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حُسْنًۭا ۖ
Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.”
(Surah al-‘Ankabut: 8)
Imam Ibn Kathir menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa setelah menggalakkan mereka untuk berpegang teguh kepada tauhid-Nya. Kedua ibu bapa adalah sebab kewujudan manusia, dan mereka berhak menerima kebaikan yang paling besar daripada anak-anak mereka. Seorang ayah memberikan nafkah, dan seorang ibu menunjukkan kasih sayang dan perhatian.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/238)
Semoga setiap dari kita dikurniakan kesabaran dalam memberikan khidmat kepada ibu bapa, sehingga pada hari tua kelak, anak-anak kita bakal mencontohi akhlak yang pernah kita tunjukkan kepada mereka dahulu tentang cara bermuamalat dengan ibu bapa.
Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدَيْنَا وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانَا صِغَارًا
Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami serta kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=derhaka. Diakses pada 4 Disember 2024.