Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah di sana terdapat cara atau tatacara bersiwak dan gosok gigi yang dinyatakan oleh para ulama atau nas-nas lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas. Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44; Tafsir al-Muyassar, hlm. 35)
Imam al-Nawawi menyatakan, dari segi bahasa, perkataan siwak (السِّوَاكُ) digunakan untuk merujuk kepada perbuatan, iaitu perbuatan membersihkan atau menggosok gigi, dan juga alat yang digunakan untuk membersihkan dan menggosok gigi. Alat itu juga dipanggil sebagai miswak (مِسْوَاكٌ). Dikatakan: “Saka fāhu” (سَاكَ فَاهُ), “yasūkuhu” (يَسُوكُهُ), “saukan” (سَوْكًا) — yakni dia menggosok mulutnya. Akan tetapi jika kamu mengatakan, “istāka” (اسْتَاكَ), tidak perlu lagi disebutkan “mulut.” Perkataan siwak adalah dalam bentuk kata muzakkar (merujuk kepada lelaki), seperti yang dinukilkan oleh al-Azhari daripada orang Arab.
Kemudian, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, perkataan siwak (السِّوَاكُ) berasal daripada perkataan sāka (سَاكَ) yang bermaksud menggosok sesuatu. Namun ada pendapat lain yang menunjukkan bahawa ia berasal daripada perkataan tasāwuk (التَّسَاوُك) yang bermaksud condong atau berayun. Dikatakan, “جَاءَتْ الْإِبِلُ تَتَسَاوَكُ” iaitu unta-unta itu berjalan dalam keadaan atau dengan cara yang condong atau berayun dalam langkah mereka. Namun, pendapat yang lebih tepat adalah ia berasal daripada perkataan sāka, yang bermaksud menggosok.
Seterusnya dalam istilah para fuqaha’, siwak merujuk kepada penggunaan kayu atau seumpamanya pada gigi untuk menghilangkan perubahan (dari segi kebersihan atau warna gigi) dan yang seumpamanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/269-270). Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/135-136) turut mendefinisikan bersiwak sebagai perbuatan menggunakan kayu siwak untuk membersihkan gigi dan mulut daripada kotoran.
Dr. Muhammad al-Zuhaili pula ketika menjelaskan berkenaan definisi siwak, beliau turut memberikan contoh alat yang biasanya digunakan bagi melakukannya pada masa kini. Beliau menyebutkan, siwak dari segi syarak adalah menggunakan kayu atau seumpamanya, seperti berus gigi pada masa kini, untuk membersihkan gigi dan kawasan sekitarnya seperti lidah dan gusi, bagi menghilangkan perubahan (warna atau bau) serta kesan makanan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/59).
Secara umumnya, ciri-ciri alat yang sesuai digunakan untuk bersugi adalah bahan yang kesat dan suci. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Faidh al-Ilah al-Maliki (1/30) bahawa sunnah bersiwak dapat dicapai dan dapat dilakukan dengan menggunakan apa sahaja bahan kasar/kesat yang suci yang dapat menghilangkan plak (kotoran pada gigi), iaitu kekuningan pada gigi seperti menggunakan kain perca kasar atau seumpamanya.
Begitu juga turut dinyatakan dalam I‘anah al-Talibin (1/57) bahawa bersiwak dapat dilakukan dengan (apa sahaja bahan/alat yang kasar), walaupun menggunakan kain kasar atau bahan seperti usynan.[1] Namun, kayu adalah yang terbaik berbanding yang lain. Paling utama ialah kayu yang memiliki bau yang harum, dan yang afdhalnya adalah kayu arak.
Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyatakan, bersiwak boleh dilakukan dengan apa-apa bahan kasar yang dapat menghilangkan plak (kekuningan pada gigi) dan suci, seperti kayu arak. Menggunakan kayu arak adalah lebih utama kerana sifat semula jadi dan kelebihannya dari sudut perubatan. Oleh itu, Ibn Mas‘ud berkata: “Aku pernah memotongkan kayu siwak daripada pokok arak untuk Rasulullah SAW.” Begitu juga, kayu dari ranting pokok zaitun adalah dibolehkan. Selain itu, dibolehkan juga bersiwak menggunakan sa‘d, usynan, dan berus gigi moden yang pada dasarnya mempunyai fungsi yang sama seperti siwak. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/60-61).
Seterusnya berbalik kepada soalan yang diajukan, tatacara bersiwak yang sempurna ada disebutkan oleh para ulama. Di antaranya adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Habib Abdullah bin ‘Abd al-Rahman Ba Fadl al-Hadrami di mana beliau menyebutkan, disunatkan untuk bersiwak dengan kayu yang kering tetapi dilembapkan dengan air, dan cara bersiwak adalah secara melintang kecuali pada bahagian lidah.
Kemudian, kenyataan al-Habib Ba Fadhl ini dijelaskan pula oleh Ibn Hajar al-Haitami. Beliau menyatakan bahawa disunatkan, jika seseorang tidak menemui siwak yang lembap atau tidak ingin bersiwak dengannya, untuk menggunakan siwak yang kering tetapi dilembapkan dengan air, dan bukan dilembapkan dengan selain air. Ini kerana air mempunyai sifat pembersih yang lebih berkesan berbanding bahan lain.
Selain itu, turut disunatkan untuk bersiwak secara melintang iaitu menggosok pada bahagian gigi secara melintang, sama ada bahagian luar atau dalamnya, berdasarkan hadith mursal mengenainya, dan makruh bersiwak secara menegak (pada gigi) kerana ia boleh menyebabkan gusi berdarah dan merosakkannya, melainkan pada lidah kerana disunatkan bersiwak secara menegak pada lidah berdasarkan hadith yang menyebutkan mengenainya.
Begitu juga dimakruhkan bersiwak menggunakan alat/bahan yang sejuk, namun walaupun dimakruhkan, ia tetap mendapat asal sunnah bersiwak. Disunatkan juga menggunakan tangan kanan, walaupun tujuannya adalah untuk menghilangkan perubahan (seperti bau), kerana tangan tidak secara langsung menyentuh mulut. Disunatkan memulakan bersiwak pada bahagian kanan mulut, kemudian ke bahagian tengah, dan seterusnya ke bahagian kiri. (Lihat al-Minhaj al-Qawim Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah, hlm. 21).
Sebagaimana diketahui kita disunatkan untuk bersiwak dengan menggunakan tangan kanan. Berkenaan hal ini dijelaskan lagi oleh al-Dimyati di mana beliau menyebutkan, disunatkan bersiwak menggunakan tangan kanan, dengan meletakkan jari kelingking di bawah siwak, manakala jari manis, jari tengah, dan jari telunjuk di atasnya, serta ibu jari di bawah hujung siwak. Setelah selesai bersiwak, disunatkan meletakkan siwak di belakang telinga kiri, berdasarkan suatu riwayat dan juga sebagai mencontohi para sahabat. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/57)
Begitu juga Dr Muhammad al-Zuhaili turut menyatakan beberapa adab ketika bersiwak. Di antaranya, disunatkan agar tidak bersiwak dengan kayu yang terlalu lembap sehingga tidak mampu membersihkan, dan juga tidak menggunakan kayu yang terlalu kering sehingga melukakan gusi. Sebaiknya, bersiwak dengan kayu yang berada di antara kedua-dua sifat tersebut (tidak terlalu lembap dan tidak terlalu kering). Selain itu, disunatkan bersiwak secara melintang, dari atas ke bawah, dan sebaliknya, kerana bersiwak secara menegak boleh menyebabkan gusi berdarah dan merosakkan struktur gigi. Namun, jika seseorang bersiwak secara menegak, ia tetap dianggap telah bersiwak, walaupun tidak mengikut cara yang lebih disukai. Disunatkan juga untuk bersiwak secara melintang pada bahagian luar dan dalam gigi, serta melalukan siwak pada hujung gigi, gigi geraham, dan melalukan siwak dengan lembut pada bahagian lelangit.
Selain itu, disunatkan agar bersiwak menggunakan kayu, sebaik-baiknya kayu arak, dan kayu yang mempunyai bau yang harum. Oleh itu, pada masa kini, berus gigi dan ubat gigi yang mempunyai bau yang menyegarkan dan harum juga boleh digunakan. Begitu juga disunatkan untuk memulakan bersiwak dari bahagian kanan mulut, berdasarkan hadith sahih sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya: “Nabi SAW selalu mendahulukan bahagian kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”
Riwayat al-Bukhari (168) dan Muslim (268)
Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili lagi, ini juga diqiyaskan kepada perbuatan dalam wuduk. Demikianlah turut disunatkan untuk berniat melaksanakan sunnah ketika bersiwak.
Selain daripada itu, disunatkan juga untuk mencuci alat yang digunakan untuk bersiwak dengan air selepas menggunakannya bagi menghilangkan kotoran, bau, atau seumpamanya. Ini adalah berdasarkan hadith Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كَانَ نَبِيُّ اللهِ ﷺ يَسْتَاكُ، فَيُعْطِينِي السِّوَاكَ لِأَغْسِلَهُ، فَأَبْدَأُ بِهِ فَأَسْتَاكُ، ثُمَّ أَغْسِلُهُ فَأَدْفَعُهُ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Nabi Allah SAW bersiwak, lalu Baginda memberikan kayu siwak kepadaku untuk membasuhnya. Maka aku memulakan dengan bersiwak terlebih dahulu, kemudian barulah aku membasuhnya dan memberikannya kembali kepada Baginda.”
Riwayat Abu Dawud (52); al-Baihaqi (172); al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah (204); Ibn al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir(2/45) menilai sanadnya baik (jayyid)
Selain itu, disunatkan untuk membaca doa ketika memulakan bersiwak dengan doa:
اللَّهُمَّ بَيِّضْ بِهِ أَسْنَانِي، وَشُدَّ بِهِ لِثَاتِي، وَثَبِّتْ بِهِ لَهَاتِي، وَبَارِكْ لِي فِيهِ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya: “Ya Allah, putihkanlah gigi-gigiku dengannya, kuatkanlah gusiku dengannya, teguhkanlah lelangitku dengannya, dan berkatilah aku dengannya, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari segala yang pengasih.”
Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, doa ini adalah doa yang baik, meskipun ia tidak mempunyai asal yang jelas (dari dalil syarak), namun tiada masalah untuk mengamalkannya.
Seterusnya, disunatkan juga untuk membersihkan celah-celah gigi sebelum dan selepas bersiwak, bagi menghilangkan sisa-sisa makanan, kerana membersihkan celah gigi membantu menyingkirkan kesan-kesan makanan dan menghilangkannya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/61-62).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa di sana terdapat sebahagian ulama ada menyebutkan berkenaan tatacara atau sifat bersiwak yang paling baik dan sempurna. Kami ringkaskan dan menyusunnya mengikut tertib dalam bentuk poin sebagaimana berikut:
- Mula dengan berniat untuk melaksanakan sunnah ketika bersiwak.
- Membersihkan celah-celah gigi sebelum bersiwak.
- Membasahkan kayu siwak yang kering dengan air untuk melembapkannya. Boleh juga menggunakan berus gigi dengan ubat gigi.
- Memegang kayu siwak dengan tangan kanan, di mana jari kelingking di bawah siwak, manakala jari manis, tengah, dan telunjuk di atas siwak, dan ibu jari di bawah hujung siwak.
- Membaca doa ketika hendak memulakan siwak:
اللَّهُمَّ بَيِّضْ بِهِ أَسْنَانِي، وَشُدَّ بِهِ لِثَاتِي، وَثَبِّتْ بِهِ لَهَاتِي، وَبَارِكْ لِي فِيهِ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya: “Ya Allah, putihkanlah gigi-gigiku dengannya, kuatkanlah gusiku dengannya, teguhkanlah lelangitku dengannya, dan berkatilah aku dengannya, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari segala yang pengasih.”
- Mulakan bersiwak dari bahagian kanan mulut, kemudian ke tengah, dan seterusnya ke bahagian kiri.
- Bersiwak secara melintang pada bahagian gigi luar dan dalam.
- Bersiwak secara menegak hanya pada lidah.
- Bersihkan hujung gigi, geraham, dan lalukan siwak dengan lembut pada lelangit.
- Membersihkan celah-celah gigi selepas bersiwak untuk menghilangkan sisa makanan dan kesannya yang masih berbaki.
- Membasuh alat siwak untuk menghilangkan kotoran, bau, atau kesan makanan.
- Meletakkan siwak di belakang telinga kiri, sebagai mencontohi sebahagian sahabat.
Walau bagaimanapun, kami berpendapat dan melihat perkara ini adalah luas (al-Amr Wasi‘). Seseorang itu bebas atau boleh sahaja menggunakan apa-apa sahaja cara yang mudah dan sesuai dengannya. Apa yang penting maqasid atau tujuan bersiwak itu terhasil dan tercapai iaitu memastikan kebersihan mulut, sekali gus memenuhi dan menepati maksud bersiwak yang dituntut dalam syarak.
Pada masa yang sama, pandangan dan saranan daripada pakar perubatan moden khususnya dalam bidang pergigian boleh diambil kira dalam menentukan cara dan kaedah memberus gigi yang paling baik dari segi perubatan dan lebih efisien.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”
[1] Usynan ialah sejenis tumbuhan daripada keluarga Chenopodiaceae yang tumbuh di tanah berpasir. Sama ada tumbuhan itu sendiri ataupun serbuknya akan digunakan untuk mencuci pakaian dan tangan. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar–ar/أشنان/. Diakses pada 4 Disember 2024).