Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah penyesalan yang paling besar bagi manusia pada hari kiamat dan apakah terdapat dalil yang menceritakan perihal tersebut? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ وَيَعْمَلْ صَالِحًا يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.”
(Surah al-Taghabun:9)
Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: sesiapa yang beriman kepada Allah yakni dengan keimanan yang sempurna, merangkumi segala perkara yang Allah perintahkan untuk diimani, dan beramal soleh iaitu melaksanakan kewajipan dan amalan sunat, baik berkaitan dengan hak Allah mahupun hak hamba-hamba-Nya, Maka Dia akan memasukkannya ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, di dalamnya terdapat segala yang diingini oleh jiwa, menyenangkan pandangan mata, dipilih oleh roh, didambakan oleh hati, serta menjadi puncak segala keinginan. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.367)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Ibadah kepada Allah seperti solat, puasa, dan zakat tidak mencukupi sekiranya seseorang melanggar hak manusia lain dengan mencaci, memfitnah, memakan harta, menumpahkan darah, atau menyakiti mereka. Hubungan dengan manusia (حقوق العباد) perlu dijaga kerana ia tidak akan diampunkan kecuali dengan penyelesaian atau kemaafan daripada pihak yang dizalimi. Oleh yang demikian, mereka yang melanggar hak sesama manusia ini digambarkan sebagai muflis walaupun membawa amalan yang banyak di akhirat kelak dan itulah penyesalan yang paling besar.
Yang demikian sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ . قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ . فَقَالَ ” إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda.” Baginda bersabda: “Orang yang muflis adalah orang yang datang pada hari Kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, Namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.”
Riwayat Muslim (2581), Ahmad (8829) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (338)
Hadith ini menunjukkan bahawa inilah hakikat muflis yang sebenar. Dalam kebiasaan manusia, istilah muflis digunakan untuk orang yang berkurangan hartanya hingga tiada lagi, sehingga menjadi seperti tiada nilai. Namun, seseorang yang muflis dalam erti biasa masih memiliki peluang untuk memperbaiki keadaannya, terutama jika kesihatannya masih baik dan agamanya tetap terpelihara. Dengan itu, dia tidak akan binasa sepenuhnya di dunia atau di akhirat.
Baginda Nabi SAW menjelaskan kepada mereka bahawa hakikat sebenar muflis ialah kebinasaan yang sempurna dan kehilangan berterusan yang membawa kehancuran. Ia seperti keadaan seseorang yang memiliki pahala, tetapi terdapat hak manusia atas dirinya. Maka, pahala-pahalanya diambil oleh mereka sebagaimana hutang diambil daripada si penghutang. Apabila tiada lagi pahala yang tersisa, dosa-dosa mereka (yang dizalimi) ditimpakan kepadanya, lalu dia dilemparkan ke dalam neraka. Dengan itu, kehancurannya menjadi sempurna, muflisnya kekal, dan dia berputus asa daripada kejayaan serta pemulihan keadaannya, kecuali apa yang Allah kurniakan kelak dengan rahmat-Nya – iaitu mengeluarkan para pendosa daripada neraka dan memasukkan mereka ke dalam syurga – selepas tempoh hukuman yang telah Allah tentukan. (Lihat Ikmal al-Mu’allim bi fawaid Muslim, 8/50)
Selain itu juga dinyatakan dalam Tatriz Riyadh al-Salihin (Hlm. 170) bahawa: Sesungguhnya, muflis yang sebenar ialah orang yang diambil oleh para pemiutangnya amalan-amalan solehnya.
Oleh itu, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah menjauhi segala bentuk kemaksiatan dan kezaliman, termasuk mencabuli hak-hak orang lain, agar tidak termasuk dalam golongan mereka yang muflis di akhirat kelak. Selain itu, kita juga perlu memperbaiki hubungan sesama manusia, memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan, dan mengembalikan hak kepada pemiliknya sebelum tiba hari pembalasan di mana segala amal kebaikan akan menjadi penentu nasib kita.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ ، فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ ، إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ ، وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki kezaliman terhadap saudaranya, hendaklah ia segera minta dihalalkan. Sebab dinar dan dirham (di hari kiamat kelak) tidak akan memberinya manfaat. Kezaliman seseorang akan dibalas dengan cara kebaikannya yang diberikan kepada saudaranya (yang terzalimi), sehingga bilamana ia tidak memiliki kebaikan lagi, keburukan saudaranya (yang terzalimi) akan diambil dan dipikulkan kepadanya.”
Riwayat Bukhari (2449)
Al-Qurtubi menyatakan: Jika sesuatu dosa itu berkaitan dengan sesama manusia,maka tidak sah taubat darinya melainkan hak orang yang dizalimi itu dikembalikan sekiranya dia mampu untuk mengembalikannya. Jika dia tidak mampu maka hendaklah dia berazam untuk mengembalikannya bila sudah mampu. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran,18/199)
Kesimpulan
Seorang Muslim wajib menjaga hubungan dengan Allah melalui ibadah seperti solat, puasa, dan zakat, serta hubungan sesama manusia dengan menjauhi kezaliman dan kemaksiatan. Pelanggaran hak orang lain, seperti mencaci, memfitnah, mengambil harta tanpa izin, atau mencederakan orang lain, boleh menyebabkan muflis di akhirat kelak meskipun seseorang itu membawa banyak amalan kebaikan. Oleh itu, penting untuk memperbaiki hubungan sesama manusia dengan memohon maaf, mengembalikan hak, dan memastikan tiada kezaliman berlaku. Ini kerana amalan kebaikan boleh terhapus sebagai balasan terhadap kezaliman, dan dosa-dosa orang lain akan ditanggung oleh pelakunya di akhirat, sebagaimana yang digambarkan dalam hadith Nabi SAW. Hal ini menuntut setiap individu untuk sentiasa berusaha menjaga hak-hak manusia dan memohon keampunan Allah serta kemaafan manusia sebelum tibanya Hari Pembalasan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu‘alam