#7604: Kitab Injil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz kongsikan secara ringkas berkenaan kitab Injil yang merupakan kitab samawi terdahulu? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, beriman kepada kitab-kitab samawi mempunyai kepentingan yang besar. Di antaranya, ia adalah rukun ketiga dalam Rukun Iman. Keimanan seseorang tidak sempurna tanpa mempercayainya, sebagaimana firman Allah SWT:

 آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ

Maksudnya: “Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya.”

(Surah al-Baqarah: 285)

Dalam ayat ini, perkataan “kitab-kitab-Nya” merangkumi semua kitab samawi yang diturunkan sebelum ini dan tidak boleh mengingkarinya. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

(Surah al-Nisa’: 136)

Selain itu, beriman kepada kitab-kitab samawi juga adalah keimanan kepada al-Quran dan begitu juga keimanan kepada Allah SWT, di mana Allah SWT mengkhabarkan bahawa setiap umat menerima seorang Rasul, seperti mana dalam ayat:

وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ

Maksudnya: “Dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.”

(Surah Fatir: 24)

Sebagaimana al-Quran mencakupi apa yang ada dalam kitab-kitab terdahulu dan menjadi pelengkap kepada mereka, serta bebas daripada sebarang penyelewengan. Tambahan lagi, keimanan kepada kitab-kitab samawi menguatkan keyakinan bahawa risalah-risalah Ilahi adalah satu, dan Islam adalah gabungan serta penerus kepada semua risalah tersebut. Salah satu daripada kitab-kitab samawi adalah kitab Injil.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Injil adalah kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Isa A.S, yang merupakan salah seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah ‘Azza wa Jalla kepada Bani Israel selepas Nabi Musa A.S. Ini adalah sebagaimana takrifan yang diberikan oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika menafsirkan ayat:

رَبَّنَا آمَنَّا بِمَا أَنزَلْتَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan.

(Surah Ali ‘Imran: 53)

Beliau menyebutkan, iaitu merujuk kepada kitab Injil yang dibawa oleh Nabi Isa A.S, dan sebelum itu adalah kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa A.S. Bahkan, pengertian ini lebih umum, merangkumi segala yang disampaikan oleh nabi mereka kepada mereka daripada apa yang telah Allah SWT turunkan. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Karim Surah Ali ‘Imran, 1/305).

Begitu juga firman Allah SWT:

ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَىٰ آثَارِهِم بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَآتَيْنَاهُ الْإِنجِيلَ وَجَعَلْنَا فِي قُلُوبِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: “Kemudian Kami iringi sesudah – mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa Ibn Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri).”

(Surah al-Hadid: 27)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, Allah SWT menyebut secara khusus Nabi Isa A.S kerana ayat ini berhubung dengan golongan Nasrani, yang mendakwa mereka mengikuti Nabi Isa A.S. Seterusnya, Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia memberikan kepada Nabi Isa Injil iaitu salah satu kitab Allah yang mulia. Begitu juga turut dinyatakan bahawa Allah SWT menjadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya sifat belas kasihan dan rahmat. Hal ini adalah sebagaimana  firman Allah SWT dalam ayat lain:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: ‘Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani’ yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”

(Surah al-Ma’idah: 82)

Oleh sebab itu, golongan Nasrani lebih lembut hati mereka berbanding golongan yang lain ketika mereka masih berpegang kepada syariat Nabi Isa A.S. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/842).

Selain daripada itu, Dr. Ali Muhammad al-Sallabi turut menyatakan dalam kitabnya, al-Iman bi al-Quran al-Karim wa al-Kutub al-Samawiyyah (hlm. 117) bahawa al-Quran menyebut tentang Injil sebanyak 12 kali, dan hampir keseluruhan perbincangan Al-Quran mengenai Injil adalah serupa dengan perbincangan mengenai Taurat, kecuali dalam beberapa perkara tertentu. Injil ialah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hamba dan rasul-Nya, Nabi Isa A.S.

Setelah itu, al-Sallabi dalam perbincangannya mengenai kitab Injil ada menyebutkan beberapa perkara yang terkait dengan kitab Injil tersebut. Di antaranya adalah al-Quran menggambarkan Injil sebagai petunjuk, cahaya, dan peringatan. Allah SWT berfirman:

وَقَفَّيْنَا عَلَىٰ آثَارِهِم بِعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ التَّوْرَاةِ ۖ وَآتَيْنَاهُ الْإِنجِيلَ فِيهِ هُدًى وَنُورٌ وَمُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ التَّوْرَاةِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibn Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israel), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”

(Surah al-Ma’idah: 46)

Al-Nasafi ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, Allah SWT menjadikan Nabi Isa A.S mengikuti jejak para nabi sebelumnya, seolah-olah Baginda diutus di belakang mereka. Ayat “عَلَىٰ آثَارِهِم” (mengikuti jejak langkah mereka) adalah merujuk kepada jejak para nabi yang berserah diri kepada Allah SWT. Kemudian Allah SWT mengkhabarkan bahawa Nabi Isa A.S sebagai “mengesahkan atau membenarkan apa yang ada sebelumnya daripada kitab Taurat,” yang merupakan keadaan atau sifat Nabi Isa A.S. Seterusnya, Allah SWT juga mengkhabarkan bahawa Dia menganugerahkan kepada Nabi Isa AS kitab Injil yang terdapat di dalamnya petunjuk dan cahaya, serta ia mengesahkan kebenaran Taurat yang terdahulu. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/450).

Selain itu al-Sallabi juga dalam kitabnya, al-Iman bi al-Quran al-Karim wa al-Kutub al-Samawiyyah(hlm. 117) menyatakan bahawa dalam al-Quran, disebutkan bahawa Injil datang sebagai pelengkap atau pembetulan kepada apa yang terkandung dalam Taurat dari segi hukum-hakam. Namun, al-Quran tidak menggambarkan Injil sebagai kitab yang menyeluruh dan menjelaskan segala sesuatu sebagaimana Taurat. Sebaliknya, ia diberikan tugas yang lebih terhad, iaitu untuk membatalkan sebahagian hukum yang terdapat dalam Taurat atas hikmah yang hanya diketahui oleh Allah. Al-Quran merakamkan kata-kata Nabi Isa AS:

وَمُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعْضَ الَّذِي حُرِّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu.”

(Surah Ali ‘Imran: 50)

Oleh itu, al-Quran menghubungkan peranan Taurat dan Injil dalam misi Nabi Isa A.S. Allah SWT berfirman:

وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنجِيلَ (48)

Maksudnya: “Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan agama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil. Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israel.

(Surah Ali ‘Imran: 48-49)

Selain daripada itu, kitab Injil diturunkan secara khusus pada hari ketiga belas bulan Ramadhan. Ini adalah seperti mana yang diriwayatkan daripada Wathilah bin al-Asqa‘ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَام فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Lembaran-lembaran (Suhuf) Ibrahim A.S diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada hari keenam bulan Ramadhan, Injil diturunkan pada hari ketiga belas bulan Ramadhan, dan al-Furqan (al-Quran) diturunkan pada hari kedua puluh empat bulan Ramadhan.”

Riwayat Ahmad (16984), al-Tabarani (185) dan al-Baihaqi (19121); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad menilainya sebagai dha‘if. Namun, dalam al-Silsilah al-Sahihah (1575) ia dinilai sebagai hasan.

Sebagaimana yang diketahui, beriman kepada kitab Injil termasuk salah satu rukun iman, dan iman seseorang tidak sah melainkan dengan mempercayai bahawa Allah SWT telah menurunkan kitab Injil kepada Nabi Isa A.S. Namun begitu, Allah SWT telah mengkhabarkan bahawa kaum Yahudi telah mengubah kitab Injil ini, menulis di dalamnya apa yang mereka inginkan, kemudian mengaku bahawa ia berasal daripada Allah, padahal ia sebenarnya bukan daripada Allah. Mereka juga menyeleweng kalimah daripada maknanya yang asal.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Dr. Ali Muhammad al-Sallabi bahawa al-Quran menjelaskan bahawa Injil yang berada di tangan kita hari ini bukanlah kalam Allah yang asli, tetapi telah diubah oleh mereka yang melakukan penyelewengan. Allah SWT berfirman:

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُونَ أَلْسِنَتَهُم بِالْكِتَابِ لِتَحْسَبُوهُ مِنَ الْكِتَابِ وَمَا هُوَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ ‎﴿٧٨﴾‏ مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya ada antara ahli kitab itu satu kelompok yang mana lidah mereka gemar memutar belit semasa membaca Taurat dengan mengubah maknanya, supaya kamu menyangkanya daripada kitab Taurat sedangkan ia bukan daripadanya. Mereka berkata, ‘Ia adalah daripada Allah,’ sedangkan ia bukan dari sisi Allah. Mereka tergamak berdusta terhadap Allah sedangkan kelompok ini mengetahui bahawa mereka adalah pendusta. Tidak mungkin bagi seseorang yang diberikan kitab, dikurniakan ilmu kefahaman dan dipilih sebagai nabi oleh Allah, lalu dia tergamak mengatakan, ‘Jadilah kamu semua penyembahku dengan meninggalkan penyembahan Allah.’ Sepatutnya dia berkata, ‘Hendaklah kamu semua menjadi ulama yang beramal dengan perintah Allah kerana kamu telah mengajar kitab Taurat dan juga mempelajarinya.’

(Surah Ali ‘Imran: 78-79)

Hakikatnya, al-Quran tidak menjelaskan secara terperinci sejauh mana penyelewengan yang berlaku terhadap Taurat dan Injil. Fokusnya adalah untuk menyatakan bahawa kedua-dua kitab tersebut tidak lagi boleh dipercayai sebagai sumber utama, kerana kehendak hawa nafsu telah mencampuri isinya. Perincian mengenai bentuk dan kadar penyelewengan tidak diperlukan oleh kita, kerana tujuan al-Quran adalah memberi petunjuk kepada perkara yang memberi manfaat kepada manusia. Penyelewengan tersebut juga berbeza mengikut zaman, tempat, dan aliran mazhab, namun yang penting ialah pesanannya agar umat Islam berpegang teguh kepada kitab suci al-Quran sebagai sumber kebenaran. (Lihat al-Iman bi al-Quran al-Karim wa al-Kutub al-Samawiyyah, hlm. 119)

Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِندِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ فَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: ‘Ini ialah dari sisi Allah,’ supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.”

(Surah al-Baqarah: 79)

Menurut al-Kalbi, mereka ialah para pendeta dan ulama Yahudi. Mereka sengaja mengubah sifat Nabi Muhammad SAW yang terdapat dalam kitab mereka dengan menambah dan mengurangkan kandungannya. Kemudian, mereka menunjukkan versi yang telah diubah itu kepada orang-orang awam mereka sambil berkata: “Inilah sifat Nabi yang akan diutuskan oleh Allah pada akhir zaman, dan ia tidak sama dengan sifat lelaki ini (Muhammad SAW).” Maka apabila orang-orang awam mereka melihat Nabi Muhammad SAW, mereka tidak menemui sifat yang disebutkan dalam kitab mereka yang telah diubah oleh para pendeta mereka. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Aziz oleh Ibn Abi Zamanin, 1/154).

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَتْ مُلُوكٌ بَعْدَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ بَدَّلُوا التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ

Maksudnya: “Terdapat raja-raja selepas Nabi Isa bin Maryam yang telah mengubah (isi kandungan) kitab Taurat dan Injil.

Riwayat al-Nasa’i (5400); Menurut pentahqiq Sunan al-Nasa’i(8/425), sanadnya adalah hasan. ‘Ata’ bin al-Sa’ib adalah seorang perawi ṣadūq tetapi mengalami ikhtilāṭ (kecelaruan dalam ingatan). Namun, riwayat Sufyan bin Sa‘id (iaitu al-Thauri) daripadanya adalah sebelum dia mengalami kecelaruan/kekeliruan tersebut, manakala baki perawi-perawi yang lain adalah thiqah (dipercayai).

Sebagai penutupnya, jelaslah Injil merupakan salah satu kitab samawi terdahulu yang diturunkan kepada Nabi Isa A.S. Sebagai umat Islam, kita wajib mengimani kitab ini, yang bukan apa yang telah dimasukkan kepadanya beberapa penyelewengan atau perubahan oleh kaum Yahudi kemudian.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”