#7605: Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai Sumber Perundangan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terdengar seorang kawan yang suka berkongsi tentang pembacaannya, tetapi kali ini agak ganjil sedikit. Dia mendakwa, jika benar al-Quran itu telah lengkap dan berpada sebagai petunjuk ke arah jalan yang benar, maka mengapa perlunya hadith Nabi SAW? Mohon pencerahan dari Dato’ Seri.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, ini merupakan salah satu bentuk syubhah yang dimainkan oleh sebahagian individu yang anti dengan al-Sunnah al-Nabawiyyah. Mereka adalah golongan Quraniyyun atau lebih dikenali sebagai Jemaah al-Quran, yang merupakan satu gerakan anti hadith zaman moden. Golongan ini mendakwa bahawa al-Quran sudah cukup jelas sebagai petunjuk hidup dan menolak hadith sebagai salah satu sumber perundangan. (Lihat al-Quraniyyun: Nasya’uhum – ‘Aqa’iduhum – Adillatuhum, hlm. 65)

Jarum-jarum musuh agama akan sentiasa dicucuk untuk merosakkan agama Allah SWT dengan pelbagai cara dan kaedah. Mereka menyebarkan keraguan dan kesesatan di kalangan umat Islam secara umum, sehingga ada segelintir orang yang lemah iman dan jahil dalam kalangan umat ini terpengaruh dengan mereka. Seandainya golongan seperti ini berfikir sejenak, nescaya mereka akan dapati bahawa syubhah yang ditimbulkan itu tidak berasas dan hujah mereka tertolak. Bagaimana mungkin mereka mendakwa hanya mengambil al-Quran sahaja sebagai sumber perundangan, sedangkan mereka mengingkari firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur berkata, perintah Allah SWT untuk mentaati-Nya dan juga mentaati Rasul-Nya itu merupakan ketaatan kepada syari‘at. Ini kerana Allah yang menurunkan syari‘at, manakala Rasul-Nya sebagai penyampai serta pelaksana syari‘at tersebut dalam kalangan umatnya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 5/96)

Dan disebutkan juga dalam firman-Nya yang lain:

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا۟ ۚ

Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.”

(Surah al-Hasyr: 7)

Perintah ini Ini merangkumi asas-asas agama dan cabangnya, baik yang zahir mahupun yang batin. Segala yang dibawa oleh Rasulullah wajib dipegang dan diikuti oleh hamba-hamba-Nya, dan tidak boleh menyalahi apa yang dibawa olehnya. Ketetapan Rasulullah terhadap sesuatu hukum adalah seperti ketetapan Allah SWT; tiada kelonggaran atau alasan bagi sesiapa untuk meninggalkannya, dan tidak dibenarkan mendahulukan pendapat sesiapa pun atas pendapat Rasulullah SAW. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 850)

Kemudian golongan Quraniyyun ini mengingkari perintah Allah di atas, seterusnya terjerumus dalam kalangan mereka yang diberikan amaran. Tidakkah mereka merenung amaran keras dari Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

فَلْيَحْذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Nur: 63)

Yakni, hendaklah mereka yang mengingkari syari‘at Rasul itu, sama ada secara batin atau zahir, agar berhati-hati dan takut dengan apa yang telah mereka lakukan itu kerana bimbang ditimpa fitnah dalam hati mereka berupa kekufuran, kemunafikan, bid‘ah, atau mereka ditimpa azab yang pedih. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/82)

Sungguh, amatlah mustahil seseorang itu dapat memahami al-Quran itu dengan sebenar-benar kefahaman melainkan dia pasti perlu menelaah dan menelusuri sunnah Rasulullah SAW. Imam Badruddin al-Zarkasyi menukilkan kalam Imam al-Syafi‘i dalam karya beliau al-Risalah: “Setiap kewajipan yang difardhukan oleh Allah SWT dalam Kitab-Nya, seperti haji, solat, dan zakat, sekiranya tiada penjelasan daripada Rasulullah, kita tidak akan tahu bagaimana untuk melaksanakannya. Kita juga tidak akan mampu menunaikan apa-apa ibadah. Oleh kerana kedudukan Rasulullah dalam syari‘at adalah seperti ini; ketaatan kepadanya pada hakikatnya adalah ketaatan kepada Allah.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/8)

Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa sunnah yang dibawanya adalah seperti al-Quran dalam beberapa aspek; ia juga datang daripada Allah SWT, ia merupakan hujah, dan ia juga wajib diikuti oleh hamba-hamba-Nya. Baginda juga memperingatkan agar tidak berpada dengan hanya merujuk kepada al-Quran semata-mata untuk mengistinbat hukum Semua ini dijelaskan dalam satu hadith sahih, daripada

أَلَا إِنِّي أُوتِيتُ الْكِتَابَ وَمِثْلَهُ مَعَهُ أَلاَ يُوشِكُ رَجُلٌ شَبْعَانُ عَلَى أَرِيكَتِهِ يَقُولُ عَلَيْكُمْ بِهَذَا الْقُرْآنِ فَمَا وَجَدْتُمْ فِيهِ مِنْ حَلاَلٍ فَأَحِلُّوهُ وَمَا وَجَدْتُمْ فِيهِ مِنْ حَرَامٍ فَحَرِّمُوهُ أَلاَ لاَ يَحِلُّ لَكُمْ لَحْمُ الْحِمَارِ الأَهْلِيِّ وَلاَ كُلُّ ذِي نَابٍ مِنَ السَّبُعِ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa aku telah diberikan al-Quran dan sesuatu yang seumpamanya bersamanya (iaitu al-Sunnah). Ingatlah, hampir-hampir ada seorang lelaki yang kenyang di atas tempat duduknya berkata: ‘Berpeganglah kepada Al-Quran ini sahaja; apa yang kamu dapati di dalamnya sebagai halal, maka halalkanlah, dan apa yang kamu dapati di dalamnya sebagai haram, maka haramkanlah.’ Ketahuilah, tidak dihalalkan bagi kamu daging keldai peliharaan dan juga setiap binatang buas yang bertaring.”

Riwayat Abu Dawud (4604), al-Tirmizi (2664) dan Ahmad (17174)

Syamsuddin Ibn Muflih telah membawakan banyak kalam ulama Salaf dalam penulisannya, antara kalam al-Auza‘i yang menukilkan daripada Hassan bin ‘Atiyyah: “Sesungguhnya Malaikat Jibril itu turun kepada Rasulullah SAW, dan al-Sunnah itu menafsirkan al-Quran.”

Abu Ayyub al-Sijistani pula menyebutkan: “Sekiranya seseorang lelaki disampaikan kepadanya al-Sunnah, lalu dia berkata: ‘Aku tidak mahu tahu ini, berikan aku sumber dari al-Quran.’ Ketahuilah! Dia itu seorang yang sesat lagi menyesatkan (kerana menolak al-Sunnah).” (Lihat al-Adab al-Syar‘iyyah, 2/307)

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas, jelas sekali bahawa al-Quran dan al-Sunnah itu kedua-duanya merupakan sumber perundangan syari‘ah. Segala bentuk syubhah yang ditimbulkan dan hujah mereka tertolak dengan satu-satunya sumber yang mereka pegang sendiri, iaitu al-Quran.

Kita sebagai orang yang beriman juga perlu berhikmah dalam membanteras masalah begini. Sekiranya mereka kekal berkeras untuk tidak menerima al-Sunnah, maka sampaikanlah kepada mereka pesanan Allah SWT dalam firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada pemimpin dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Seandainya mereka menerima pesanan ini, nescaya terbatallah pegangan yang selama ini mereka dakwa, dan jika mereka menolak pesanan ini, mereka telah menolak al-Quran yang didakwa berpada tanpa al-Sunnah.

Semoga kita semua dikurniakan hidayah dalam mengamalkan agama serta menuju ke arah ketaatan, serta berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Wallahu a‘lam