#7606: Miqat Bagi Pelaksana Badal Haji

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, dimanakah miqat untuk saya melakulan badal haji atau umrah. Adakah miqat yang sama dengan orang yang di badalkan atau boleh bermiqat di Tan‘im sahaja.  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukallaf. Justeru, setiap Muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut.

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853).

Diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda :

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya dan utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat Muslim (16)

Muhammad al-Amin al-Harari ketika menjelaskan lafaz “وَحَجِّ الْبَيْتِ” menyatakan, tujuannya adalah untuk mengerjakan ibadah khusus, bagi mereka yang mampu untuk menunaikannya. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 2/132).

Ulama bersepakat bahawa Ibadah haji merupakan satu kefardhuan. Tiada seorang di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada yang mengingkari sesuatu yang telah ditetapkan oleh al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/115)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, berniat ihram di miqat  termasuk dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah. Dalam erti kata lain, seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji atau umrah wajib berniat ihram di miqat atau sebelum melepasi sempadan miqat tersebut kerana ia merupakan tempat yang telah ditentukan untuk berihram — yakni berniat memulakan haji atau umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488).

Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

أنَّ النبيَّ ﷺ وقَّتَ لأهْلِ المَدِينَةِ ذا الحُلَيْفَةِ، ولِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، ولِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ المَنازِلِ، ولِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، هُنَّ لأهْلِهِنَّ، ولِكُلِّ آتٍ أتى عليهنَّ مِن غيرِهِمْ مِمَّنْ أرادَ الحَجَّ والعُمْرَةَ، فمَن كانَ دُونَ ذلكَ، فَمِنْ حَيْثُ أنْشَأَ، حتّى أهْلُ مَكَّةَ مِن مَكَّةَ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW menetapkan Zulhulaifah sebagai miqat bagi penduduk Madinah, Juhfah bagi penduduk Syam, Qarn al-Manazil bagi penduduk Najad, Yalamlam bagi penduduk Yaman, miqat-miqat ini adalah untuk penduduknya dan penduduk negeri yang lain yang melaluinya untuk mengerjakan haji dan umrah. Sesiapa yang tinggal di kawasan selepas miqat tersebut, berihramlah di tempat dia memulakan perjalanannya, sebagaimana penduduk Makkah berihram di Makkah itu sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (1530)

Kesemua miqat tersebut ialah miqat bagi mereka yang mengerjakan haji dan umrah, yang datang dari luar Makkah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131).

Dalam isu yang dibincangkan, miqat bagi pelaksana badal haji/umrah ditentukan berdasarkan lokasi pelaksana badal itu sendiri, bukan lokasi orang yang dibadalkan tersebut. Sebagai contoh, jika pelaksana badal haji/umrah berada di Malaysia, manakala orang yang dibadalkan ibadah tersebut berada di Yaman, maka miqat yang ditentukan adalah miqat pelaksana badal tersebut. Dalam konteks ini, miqat bagi pelaksana badal haji/umrah dari Malaysia adalah di Qarn al-Manazil, bukan di Yalamlam, kerana miqat disesuaikan dengan arah perjalanan pelaksana menuju Makkah.

Namun, sekiranya pelaksana telah menunaikan umrah untuk dirinya dan kini bermuqim di Makkah, dia boleh berniat ihram di Tan‘im untuk melaksanakan badal umrah tersebut. Tan‘im merupakan salah satu tempat yang disyariatkan sebagai miqat bagi penduduk Makkah atau mereka yang bermastautin/bermuqim di sana, apabila ingin mengerjakan umrah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata :

يا رَسولَ اللَّهِ، اعْتَمَرْتُمْ ولَمْ أعْتَمِرْ، فَقالَ : يا عَبْدَ الرَّحْمَنِ، اذْهَبْ بأُخْتِكَ، فأعْمِرْها مِنَ التَّنْعِيمِ، فأحْقَبَها على ناقَةٍ فاعْتَمَرَتْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, kamu semua sudah menunaikan umrah sedangkan aku masih belum. Kemudian baginda bersabda : ‘Wahai Abdurrahman, pergilah bersama saudaramu ini dan mulakanlah umrah dari Tan‘im.’ Maka, ‘Abd al-Rahman menaikkan Aisyah ke atas untanya, kemudian Aisyah melaksanakan umrah.”

Riwayat al-Bukhari (1518) dan Muslim (1211)

Imam al-Nawawi  menyatakan:  sesiapa yang sedang berada di Makkah dan berkeinginan mengerjakan ibadah umrah, maka miqatnya ialah Tanah Halal yang paling dekat. Tidak boleh untuk dia berniat ihram umrah dari Tanah Haram. Sekiranya dia menyalahinya iaitu tetap berniat ihram umrah dari Tanah Haram, kemudian dia keluar ke Tanah Halal sebelum melakukan tawaf, umrahnya tetap diterima dan tidak dikenakan dam ke atasnya. Akan tetapi, sekiranya dia tidak keluar ke Tanah Halal tetapi terus melakukan tawaf, sa‘i dan bercukur. Terdapat dua pendapat dalam isu ini dan pendapat yang paling sahih, umrahnya dikira sah tetapi dia dikenakan dam.  (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/151).

Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, sekiranya penduduk Makkah atau sesiapa yang sedang berada di Makkah mahu mengerjakan ibadah umrah, hendaklah memulakannya — iaitu berniat ihram umrah — dari Tanah Halal dan sekiranya mahu mengerjakan ibadah haji, niat ihramnya adalah dari Makkah — iaitu di dalam Tanah Haram. Tidak kira sama ada mereka bermukim di Makkah ataupun bukan. Ini kerana sesiapa yang melalui miqat tersebut dikira sebagai tempat miqat baginya, dan kami tidak mengetahui adanya perselisihan ulama mengenai perkara ini. (Lihat al-Mughni, 3/246

Kesimpulan

Kesimpulannya, berniat ihram di miqat merupakan kewajipan yang mesti dipatuhi dalam ibadah haji dan umrah, di mana miqat telah ditentukan sebagai tempat untuk memulakan niat tersebut. Dalam pelaksanaan badal haji atau umrah, miqat yang ditentukan adalah berdasarkan lokasi pelaksana badal haji/umrah (bukan individu yang dibadalkan ibadah tersebut). Ini kerana pelaksana badal bertindak sebagai wakil dalam melaksanakan ibadah tersebut. Oleh itu, mereka wajib berniat ihram di miqat yang sesuai dengan lokasi mereka.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُورَةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’i kami sa’i yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahua’lam