Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kita tahu bahawa bersiwak ini termasuk dalam perkara sunnah. Namun, ada tak kelebihan atau faedah lain bersiwak ini? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Al-Baidhawi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat daripada dosa-dosa, dan Dia mencintai orang-orang yang menyucikan diri, iaitu mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan perkara yang kotor, seperti bersetubuh dengan wanita dalam keadaan haid dan melakukan hubungan di tempat yang tidak sepatutnya. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 1/139).
Sebelum kita melanjutkan perbahasan dengan lebih lanjut, kami ingin nyatakan di sini secara ringkas takrifan bersiwak ini. Menurut Imam al-Nawawi, perkataan siwak (السِّوَاكُ) berasal daripada perkataan sāka (سَاكَ) yang bermaksud menggosok sesuatu. Namun ada pendapat lain yang menunjukkan bahawa ia berasal daripada perkataan tasāwuk (التَّسَاوُك) yang bermaksud condong atau berayun. Dikatakan, “جَاءَتْ الْإِبِلُ تَتَسَاوَكُ” iaitu unta-unta itu berjalan dalam keadaan atau dengan cara yang condong atau berayun dalam langkah mereka. Namun, pendapat yang lebih tepat adalah ia berasal daripada perkataan sāka, yang bermaksud menggosok.
Seterusnya dalam istilah para fuqaha’, siwak merujuk kepada penggunaan kayu atau seumpamanya pada gigi untuk menghilangkan perubahan (dari segi kebersihan atau warna gigi) dan yang seumpamanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/269-270). Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/135-136) turut mendefinisikan bersiwak sebagai perbuatan menggunakan kayu siwak untuk membersihkan gigi dan mulut daripada kotoran.
Dr. Muhammad al-Zuhaili pula ketika menjelaskan berkenaan definisi siwak, beliau turut memberikan contoh alat yang biasanya digunakan bagi melakukannya pada masa kini. Beliau menyebutkan, siwak dari segi syarak adalah menggunakan kayu atau seumpamanya, seperti berus gigi pada masa kini, untuk membersihkan gigi dan kawasan sekitarnya seperti lidah dan gusi, bagi menghilangkan perubahan (warna atau bau) serta kesan makanan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/59).
Terlebih dahulu, sebenarnya kami juga ingin nyatakan bahawa kami pernah menulis beberapa artikel dalam Ahkam Syar‘iyyah yang terkait dengan persoalan bersiwak ini. Di antaranya adalah seperti #7598: Memberus Gigi Memenuhi Tuntutan Bersiwak dan #7601: Tatacara Bersiwak yang Sempurna. Bagi mereka yang ingin mendapatkan penjelasan tambahan berkenaan isu ini, bolehlah merujuk kepada artikel berkenaan.
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa terdapat ramai dalam kalangan ulama yang menyebutkan beberapa kelebihan dan faedah bersiwak atau memberus gigi ini. Bahkan manfaat dan faedah bersiwak ini adalah sangat banyak. Pada masa yang sama, kami tidak menafikan bahawa di antara faedah atau manfaatnya yang utama adalah memperoleh sunnah Nabi SAW kerana bersiwak ini termasuk dalam perkara yang dituntut dalam syarak yakni disunatkan.
Tuntutan bersiwak di dalam Islam ini jelas dapat dilihat menerusi riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ
Maksudnya: “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap solat.”
Riwayat al-Bukhari (887)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkannya, ada menukilkan pendapat Imam al-Syafi‘i bahawa hadith ini menyatakan bahawa bersiwak sebelum solat tidak wajib kerana sekiranya hukumnya adalah wajib nescaya Baginda SAW akan menyuruh umatnya bersugi sama ada ia menyusahkan atau tidak menyusahkan mereka. Kebanyakan ulama berpegang pendapat tersebut. Oleh itu, bersiwak hukumnya sunat yang digalakkan setiap kali sebelum solat fardhu mahupun solat sunat. (Lihat Fath al-Bari, 2/375-376).
Kami bawakan dahulu di sini faedah atau manfaat bersiwak dan memberus gigi dari sudut perubatan dan kesihatan diri. Tidak dapat dinafikan bahawa menggosok gigi secara rutin memberikan pelbagai faedah penting untuk kesihatan mulut dan keseluruhan tubuh. Di antara manfaat utama menggosok gigi adalah:
- Mencegah Pembentukan Plak dan Karies Gigi: Menggosok gigi dua kali sehari membantu menghilangkan plak dari permukaan gigi dan sepanjang garis gusi. Plak yang tidak dibersihkan boleh mengeras menjadi karang gigi yang sukar dihilangkan tanpa bantuan doktor gigi.[1]
- Mengurangkan Risiko Penyakit Sistemik: Kebersihan mulut yang buruk telah dikaitkan dengan pelbagai penyakit sistemik seperti penyakit jantung dan diabetes. Menggosok gigi secara rutin membantu mengurangkan risiko penyakit-penyakit ini.[2]
- Menghilangkan Bau Mulut dan Menyegarkan nafas: Nafas berbau, atau halitosis, boleh memalukan dan tidak menyenangkan. Memberus gigi membantu menghilangkan zarah makanan dan bakteria yang boleh menyebabkan nafas berbau. Ia juga membantu mengekalkan mulut yang bersih dan segar.[3]
- Mencegah Penyakit Gusi: Penjagaan kebersihan mulut yang baik, termasuk menggosok gigi secara teratur, dapat mengurangkan risiko penyakit gusi seperti gingivitis dan periodontitis.[4]
- Menjaga Kesihatan Keseluruhan: Mulut adalah pintu masuk kepada sistem pencernaan dan pernafasan. Menjaga kebersihan mulut melalui menggosok gigi membantu mencegah jangkitan dan penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan keseluruhan.[5]
Begitu juga manfaat atau faedah bersiwak turut disebutkan oleh apra ulama dalam kitab-kitab mereka. Di antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini iaitu untuk membersihkan mulut, mendatangkan keredhaan Allah, memutihkan gigi, menyegarkan nafas, meluruskan tulang belakang, menguatkan gusi, melambatkan uban, memperelokkan rupa paras, mempertajamkan fikiran, menggandakan ganjaran pahala, mempermudahkan sakaratul maut, dan mengingatkan seseorang untuk mengucapkan syahadah ketika hampir meninggal dunia. Demikianlah faedah-faedah seumpamanya yang jumlahnya mencapai atau mencecah lebih daripada tiga puluh faedah seperti mana yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya.
Begitu juga Dr. Wahbah al-Zuhaili turut menukilkan daripada para doktor moden yang mengesyorkan penggunaannya untuk mencegah kerosakan dan pembusukan gigi, menghilangkan plak kekuningan yang melekat di dasar gigi, serta memberikan manfaat lain seperti mencegah radang gusi dan mulut, menghalang komplikasi saraf, mata, psikologi, dan pencernaan, serta mengelakkan kelemahan ingatan, kelambatan pemikiran, dan keburukan akhlak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/459-460; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/62).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”
Nota hujung:
[1] Lihat https://www.darwynhealth.com/mouth-and-dental-disorders/maintaining-healthy-mouth-and-dental-hygiene/oral-hygiene-and-practices/daily-dental-care-routine/the-importance-of-brushing-your-teeth-twice-a-day/. Diakses pada 5 Disember 2024.
[2] Lihat https://health.detik.com/hidup-sehat-detikhealth/d-2019693/8-manfaat-gosok-gigi-yang-tidak-ada-hubungannya-dengan-gigi. Diakses pada 5 Disember 2024.
[3] Lihat https://www.darwynhealth.com/mouth-and-dental-disorders/maintaining-healthy-mouth-and-dental-hygiene/oral-hygiene-and-practices/daily-dental-care-routine/the-importance-of-brushing-your-teeth-twice-a-day/. Diakses pada 5 Disember 2024.
[4] Lihat https://www.darwynhealth.com/mouth-and-dental-disorders/maintaining-healthy-mouth-and-dental-hygiene/oral-hygiene-and-practices/daily-dental-care-routine/the-importance-of-brushing-your-teeth-twice-a-day/. Diakses pada 5 Disember 2024.
[5] Lihat https://hellodoktor.com/kesihatan-mulut/penjagaan-mulut/kebersihan-oral-penjagaan-mulut/. Diakses pada 5 Disember 2024.