#7608: Memakai Mini Camera ketika Berihram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah pemakaian magnet pendant (salah satu accessories) action camera dalam waktu ihram dibenarkan atau termasuk dalam larangan ihram? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ihram merupakan rukun utama bagi haji dan umrah. Ibn Ruslan menyebutkan dalam matan al-Zubad:

أَرْكَانُهُ الإِحْرَامُ بِالنِّيَةَ قِفْ # بَعْدَ زَوَالِ التِّسْعِ إِذْ تُعْرَفْ

“Rukunnya adalah berihram dengan niat. Juga berwukuflah #selepas gelincir matahari pada 9 hari bulan jika diketahui.”

Habib Hasan al-Kaff menyebutkan bahawa ihram bermaksud ialah niat untuk memasuki (memulakan) amalan haji atau umrah dengan cara-caranya. Sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah, maka hendaklah dia berniat dalam hatinya dan melafazkan dengan mulutnya secara perlahan. Kemudian beliau menyebutkan beberapa contoh lafaz niat bagi umrah dan haji. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 475-476.)

Seseorang yang berada di dalam keadaan berihram hendaklah menjaga pantang larang yang telah ditetapkan oleh syara’ dan sekiranya melanggar larangan-larangan tersebut, maka individu tersebut akan dikenakan dam mengikut jenis larangan yang telah dilakukan olehnya. Terdapat sedikit perbezaan antara perkara-perkara yang dilarang terhadap lelaki yang berihram dan perempuan yang berihram. Antara larangan dalam ihram adalah seperti berikut:

  • Menutup kepala.
  • Memakai pakaian berjahit.

Manakala larangan-larangan ihram yang khusus bagi perempuan pula adalah:

  • Menutup muka.
  • Mamakai sarung tangan.

Adapun larangan-larangan ihram yang umum bagi lelaki dan perempuan adalah:

  • Berwangi-wangian.
  • Memakai minyak pada rambut atau janggut.
  • Memburu di tanah Haram.
  • Mencabut dan merosakkan tumbuhan di tanah Haram. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan memakai camera kecil ketika berihram tidak termasuk dalam larangan berihram mahupun pada makna mana-mana larangan ihram seperti mana yang kami sudah jelaskan di atas. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Namun begitu, kami nasihatkan ketika dalam menunaikan ibadah haji/umrah, lakukanlah dengan penuh kekhusyukan dan jangan disebabkan camera, kita ralat sehingga terhilang fokus dan tujuan yang sebenar.

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman kepada kita, dan menerima segala amal ibadat kita. Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”