Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada mendoakan seseorang itu agar dia mati saja kerana perangai dia yang sangat teruk, kemudian saya dikhabarkan dia betul-betul meninggal dunia. Adakah saya dihukumkan sebagai pembunuh?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sebelum kami menjawab persoalan yang diajukan, suka untuk diperingatkan bahawa tidak boleh seseorang Muslim itu mendoakan keburukan ke atas saudara seagamanya agar ditimpa keburukan, apatah lagi mendoakan kematian buatnya. Akan tetapi, sekiranya dia dizalimi, maka ketika itu dibenarkan baginya untuk mendoakan ke atas orang zalim tersebut sekadar kezaliman yang dilakukannya sahaja.
Allah SWT berfirman:
لَّا يُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلْجَهْرَ بِٱلسُّوٓءِ مِنَ ٱلْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا
Maksudnya: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Nisa’: 148)
Dalam menafsirkan ayat ini, Ibn ‘Abbas R.A berkata: “Allah SWT tidak suka seseorang itu berdoa ke atas orang lain melainkan jika dia dizalimi olehnya, ketika itu dia diberikan keringanan untuk mendoakan keburukan ke atas orang yang menzaliminya. Sekiranya dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 7/625)
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di pula menyebutkan, firman-Nya: “kecuali oleh orang yang dizalimi” itu bererti, dibolehkan baginya untuk mendoakan keburukan terhadap orang yang menzaliminya dan mengadu mengenainya, serta menyebut perkara buruk tentangnya secara terang-terangan sebagaimana dia diperlakukan, dengan syarat tidak menyatakan perkara palsu, tidak melebihi kadar kezaliman yang dialaminya, dan tidak melampaui batas dengan mencela selain daripada orang yang menzaliminya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 212)
Akan tetapi, berlebih-lebihan dalam mendoakan keburukan ini juga termasuk dalam bentuk penganiayaan, sedangkan al-Quran telah menjelaskan:
فَمَنِ ٱعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ فَٱعْتَدُوا۟ عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا ٱعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Oleh itu sesiapa yang melakukan penganiayaan terhadap kamu maka balaslah penganiayaannya itu seimbang dengan penganiayaan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertakwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.”
(Surah al-Baqarah: 194)
Inilah konsep qisas yang diajarkan oleh Islam. Perintah untuk bertakwa dalam qisas ini; agar tidak melampaui batas, kerana sifat orang yang membalas dendam kebiasaannya dilakukan dalam keadaan marah sehingga cenderung membawa kepada keterlaluan. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/211)
Sebaik-baik perkara apabila seseorang itu dizalimi adalah dengan memaafkan, kerana ganjaran bagi yang bersabar dan memaafkan ini telah dijanjikan oleh Allah SWT. Firman-Nya:
وَجَزَٰٓؤُا۟ سَيِّئَةٍۢ سَيِّئَةٌۭ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Maksudnya: “Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.”
(Surah al-Syura: 40)
Imam al-Qarafi berkata, apabila kita mengatakan bahawa dibolehkan doa keburukan ke atas orang yang zalim, maka janganlah mendoakan sesuatu yang menyakitkan dari kesusahan dunia yang tidak sepadan dengan kezaliman yang dilakukannya terhadap kita. Sebagai contoh, dia melakukan kezaliman tertentu ke atas kita, tetapi kita mendoakan keburukan yang jauh lebih besar ke atasnya, sehingga kita menjadi orang yang menzaliminya dengan berlebihan.” (Lihat Anwar al-Buruq, 4/292)
Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan pula, seandainya seseorang mendoakan kematian terhadap orang yang berlaku zalim padanya, kemudian ditakdirkan Allah SWT menarik nyawa orang yang didoakan tersebut, tidaklah dihukumkan ke atas orang yang mendoakan kematian itu sebagai pembunuh atau penyebab kepada kematian. Hal ini kerana ajal maut itu merupakan perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.”
(Surah Luqman: 34)
Imam al-Tabari mengatakan, yang dimaksudkan adalah, tidak ada seorang manusia yang hidup, yang mengetahui tempat dia akan mati. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 20/806)
Bahkan, Rasulullah SAW telah mengkhabarkan kepada kita bahawa kematian seseorang itu telah ditentukan sebelum dia dilahirkan lagi. Abdullah bin Mas‘ud R.A menyampaikan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ، وَيُقَالُ لَهُ: اكْتُبْ عَمَلَهُ، وَرِزْقَهُ، وَأَجَلَهُ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap orang daripada kamu dikumpulkan penciptaannya di dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nutfah. Kemudian ia menjadi segumpal darah sama seperti tempoh itu. Kemudian ia menjadi segumpal daging sama seperti tempoh itu. Kemudian Allah mengutus malaikat dan diperintahkan menulis empat perkara. Dikatakan kepadanya: ‘Tulislah amalnya, rezekinya, ajalnya, sengsara atau bahagia.’”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Berdasarkan penelitian kami yang terhad, kami belum menemui mana-mana kalam ulama yang mewajibkan bayaran diyah atau qisas kerana mendoakan kematian orang lain. Telah dikisahkan sebuah peristiwa pada suatu ketika dahulu, daripada Sa‘id bin Zaid bin ‘Amr bin Nufail, bahawa beliau bertengkar dengan Arwa binti Uwais mengenai hak (pemilikan tanah) yang didakwa bahawasanya dia telah dikurangi oleh Sa‘id. Kemudian Sa‘id berdoa:
اللَّهُمَّ إِنْ كَانَتْ كَاذِبَةً فَأَعْمِ بَصَرَهَا وَاجْعَلْ قَبْرَهَا فِي دَارِهَا. قَالَ: فَرَأَيْتُهَا عَمْيَاءَ تَلْتَمِسُ الْجُدُرَ تَقُولُ أَصَابَتْنِي دَعْوَةُ سَعِيدِ بْنِ زَيْدٍ. فَبَيْنَمَا هِيَ تَمْشِي فِي الدَّارِ مَرَّتْ عَلَى بِئْرٍ فِي الدَّارِ فَوَقَعَتْ فِيهَا فَكَانَتْ قَبْرَهَا.
Maksudnya: “‘Ya Allah, jika dia berdusta, maka butakanlah penglihatannya dan jadikanlah kuburnya di dalam rumahnya.’ Perawi (Sa‘id) berkata: ‘Aku melihatnya (Arwa) menjadi buta, meraba-raba dinding sambil berkata: ‘Doa Sa‘id bin Zaid telah menimpaku.’ Ketika dia sedang berjalan di dalam rumah, dia melintasi sebuah perigi di dalam rumah tersebut, lalu dia terjatuh ke dalamnya, dan perigi itu menjadi kuburnya.”
Riwayat al-Bukhari (3198) dan Muslim (1610)
Meskipun setelah peristiwa ini berlaku, tidak pula direkodkan oleh ulama terdahulu bahawa Sa‘id dijatuhkan hukuman atas doanya itu, dan tidak juga dia dianggap sebagai pembunuh.
Memahami perbahasan ringkas di atas, kami katakan bahawa orang yang mendoakan kematian atau keburukan orang lain itu tidak dianggap sebagai pembunuh dan tidak juga dijatuhkan ke atasnya hukuman. Meskipun begitu, kemaafan dan perdamaian dengan cara yang aman merupakan sebaik-baik pilihan agar ukhuwwah Islam dapat dijalin dan diperkukuh.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”
Wallahu a‘lam