Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah, hujan ada beberapa jenis dari sudut pandang Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hujan boleh menjadi rahmat dan nikmat daripada Allah SWT kepada kita. Namun, hujan juga boleh menjadi azab dan kemurkaan daripada-Nya.
Aisyah R.Anha menceritakan tentang Nabi SAW:
وَكَانَ إِذَا رَأَى غَيْمًا أَوْ رِيحًا عُرِفَ فِي وَجْهِهِ، قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الغَيْمَ فَرِحُوا رَجَاءَ أَنْ يَكُونَ فِيهِ المَطَرُ، وَأَرَاكَ إِذَا رَأَيْتَهُ عُرِفَ فِي وَجْهِكَ الكَرَاهِيَةُ، فَقَالَ: يَا عَائِشَةُ مَا يُؤْمِنِّي أَنْ يَكُونَ فِيهِ عَذَابٌ؟ عُذِّبَ قَوْمٌ بِالرِّيحِ، وَقَدْ رَأَى قَوْمٌ العَذَابَ، فَقَالُوا: هَذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا
Maksudnya: “Kebiasaannya apabila Baginda melihat awan atau angin maka boleh diketahui (dilihat) melalui (ekspresi) wajahnya. Beliau berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya manusia jika melihat awan, mereka akan bergembira kerana berharap hujan akan turun. Namun, aku melihatmu, apabila melihatnya (awan), diketahui (terlihat) pada wajahmu rasa tidak suka.’ Maka Baginda bersabda: ‘Wahai Aisyah, apa yang boleh membuatkanku berasa aman jika ada padanya azab? (Dahulu) satu kaum pernah diazab dengan angin, dan satu kaum telah melihat azab namun mereka berkata: Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!’”
Riwayat al-Bukhari (4829) dan Muslim (899)
Di antara dalil-dalil yang menunjukkan kepada perkara ini adalah:
Pertama: Hujan sebagai rahmat dan nikmat.
Firman Allah SWT:
وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَّكُمْ
Maksudnya: “Dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu.”
(Surah al-Baqarah: 22)
Allah SWT telah melimpahkan kurniaan-Nya kepada para hamba-Nya dengan menurunkan hujan, lalu Dia mengeluarkan pula melalui hujan itu pelbagai jenis tanaman dan buah-buahan yang dapat dilihat dengan jelas; sebagai rezeki untuk mereka dan juga haiwan ternakan mereka. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/103).
Begitu juga firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنَّكَ تَرَى الْأَرْضَ خَاشِعَةً فَإِذَا أَنزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, engkau melihat bumi kosong sepi (dalam keadaan kering dan tandus), maka apabila
Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya.”
(Surah Fussilat: 39)
Iaitu, antara tanda-tanda yang menunjukkan kudarat dan kekuasaan-Nya ialah kamu melihat tanah yang kering dan tidak ditimpa hujan. Akan tetapi apabila hujan turun ke atasnya, tanah itu mula bergerak dengan tumbuh-tumbuhan dan permukaannya terangkat oleh tumbuhan tersebut. (Lihat Zad al-Masir, 5/306).
Selain itu, Allah SWT turut berfirman:
وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ ۚ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ
Maksudnya: “Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata. Dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji.”
(Surah al-Syura: 28)
Iaitu, Allah SWT menurunkan hujan selepas mereka berputus asa, dan ini lebih mendorong mereka untuk bersyukur kepada-Nya iaitu kepada Tuhan yang telah menurunkan hujan tersebut. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/758). Ini adalah suatu penjelasan tentang sempurnanya kemurahan Allah ta‘ala, betapa luasnya kurniaan-Nya, dan kesempurnaan kelembutan-Nya.
Begitu juga Allah SWT ada berfirman:
وَأَن لَّوِ اسْتَقَامُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَاهُم مَّاءً غَدَقًا
Maksudnya: “(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): ‘Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.’”
(Surah al-Jin: 16)
Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT menjadikan ketakwaan dan ibadah itu sebagai salah satu sebab datangnya rezeki. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 6/241).
Kedua: Hujan sebagai azab dan kemurkaan daripada Allah.
Kadangkala, hujan menjadi azab dan tanda kemurkaan daripada Allah SWT. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT mengenai kaum Nabi Lut:
وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَسَاءَ مَطَرُ الْمُنذَرِينَ
Maksudnya: “Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran.”
(Surah al-Syu‘ara’: 173
Ibn Jarir al-Tabari menyatakan, Allah SWT membinasakan mereka dengan menghujani mereka dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar dari langit. Maka buruklah hujan itu, hujan yang menimpa kaum yang telah diberi peringatan oleh nabi mereka, namun mereka tetap mendustakannya. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, 19/389).
Selain itu, Allah SWT turut berfirman mengenai kaum Saba’:
فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ
Maksudnya: “Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan.”
(Surah Saba’: 16)
Ibn ‘Abbas R.Anhuma menyebutkan, perkataan al-‘Arim (الْعَرِمِ) adalah merujuk kepada hujan yang sangat lebat. Al-Suddi dan Wahb pula menyatakan bahawa Allah SWT telah mengutuskan kepada kaum Saba’ seramai tiga belas orang nabi, namun mereka tetap mendustakan dan berpaling daripada nabi-nabi yang diutuskan itu. Apabila tiba masanya Allah ta‘ala menghendaki azab menimpa ke atas mereka. Justeru, seekor tikus merah datang ke empangan tersebut dan mengorek lubang padanya. Ketika banjir tiba, air masuk melalui celahan tersebut, melimpah ke atas harta benda mereka, menenggelamkannya, dan menimbus rumah-rumah mereka. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 14/285-286).
Selain itu, Allah SWT ada berfirman:
فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا
Maksudnya: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut.”
(Surah al-‘Ankabut: 40)
Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan, mereka adalah kaum Nabi Nuh. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat, sebaliknya, mereka adalah kaum Firaun. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, 20/37; Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/252).
Begitu juga Allah SWT ada berfirman mengenai kaum Nuh A.S:
فَدَعَا رَبَّهُ أَنِّي مَغْلُوبٌ فَانتَصِرْ (10) فَفَتَحْنَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ بِمَاءٍ مُّنْهَمِرٍ (11) وَفَجَّرْنَا الْأَرْضَ عُيُونًا فَالْتَقَى الْمَاءُ عَلَىٰ أَمْرٍ قَدْ قُدِرَ (12) وَحَمَلْنَاهُ عَلَىٰ ذَاتِ أَلْوَاحٍ وَدُسُرٍ (13) تَجْرِي بِأَعْيُنِنَا جَزَاءً لِّمَن كَانَ كُفِرَ (14)
Maksudnya: “Lalu dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ‘Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)!’ Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (berserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku; Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar!”
(Surah al-Qamar: 10-14)
Lafaz al-Ma’ al-Munhamir (المَاءُ المُنْهَمِر) bermaksud air yang melimpah dengan deras. Maka bertemulah air dari langit dan air dari bumi sesuai dengan ketetapan Allah SWT, sehingga berlaku kebinasaan kepada kaum Nabi Nuh sebagai balasan kepada mereka yang kufur kepada Allah SWT. (Lihat Fiqh Ahkam al-Matar wa al-Rih wa al-Ra‘d oleh Dr. Salim bin Qutwan al-‘Abdan, hlm. 22).
Selain itu, ia juga merujuk kepada sesuatu yang sangat banyak dan cepat mencurah. Dari sini juga digunakan ungkapan “Hamara al-Rajulu” (هَمَرَ الرجلُ), yang bermaksud seseorang itu bercakap dengan banyak dan cepat. (Lihat Zad al-Masir, 4/199).
Terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:
أتَتِ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّمَ بَواكِي فقال: اللَّهمَّ اسْقِنا غَيثًا مُغيثًا مَريئًا مَريعًا، نافِعًا غَيرَ ضارٍّ، عاجِلًا غَيرَ آجِلٍ. قال: فأطبَقَتْ عليهمُ السَّماءُ
Maksudnya: “Sekumpulan wanita datang menangis kepada Nabi SAW, lalu Baginda berdoa: ‘Ya Allah, turunkanlah kepada kami hujan yang menyelamatkan, melimpah ruah, menyuburkan, bermanfaat dan tidak memudaratkan, serta turunkanlah ia segera tanpa sebarang kelewatan.’ Selepas itu, langit menjadi mendung buat mereka.”
Riwayat Abu Dawud (1169); Imam al-Nawawi dalam al-Azkar (hlm. 160) menilai sanadnya sebagai sahih mengikut syarat Imam Muslim. Ia juga dinilai sebagai sahih dalam Sahih Abi Dawud (1036)
Ucapan Baginda SAW: “Yang menyelamatkan, bermanfaat, dan tidak memudaratkan” adalah merujuk kepada hujan yang membawa kebaikan dan memberi kesan yang terpuji, tanpa membawa mudarat seperti banjir atau kehancuran. Ini menunjukkan bahawa sebahagian hujan dihantar oleh Allah sebagai azab atau mudarat kepada mereka yang melakukan maksiat kepada-Nya. (Lihat Fiqh Ahkam al-Matar wa al-Rih wa al-Ra‘d oleh Dr. Salim bin Qutwan al-‘Abdan, hlm. 23).
Begitu juga Ibn Abi al-Dunya ada meriwayatkan daripada Jabir bin ‘Atik bahawa seorang lelaki daripada kalangan Ansar duduk bersama Umar R.A pada suatu hari ketika hujan turun. Lelaki Ansar itu banyak berdoa meminta hujan. Lalu Umar R.A memukulnya dengan cemeti dan berkata: “Apa yang kamu tahu tentang apa yang akan berlaku akibat hujan ini? Tidakkah kamu berdoa: ‘Hujan yang membawa kedamaian, manfaat, dan meliputi harta dan jiwa?’” (Lihat Kitab al-Matar wa al-Ra‘d wa al-Barq wa al-Rih oleh Ibn Abi Dunya, hlm. 98-99).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”