#7616: Biodata Soleh al-Munajjid Pengasas Platform IslamQA

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz ceritakan secara ringkas siapakah Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid dan apakah sumbangan beliau dalam dakwah serta penulisan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

إنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوْرِّثُوْا دِيْنَاراً وَلاَ دِرْهَماً، وَرَّثُوْا العِلْمَ، فَمَنْ أخَذَهُ أخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetapi mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu bererti mengambil bahagian sempurna (dari warisan mereka).

Riwayat Abu Daud (3641), al-Tirmizi (2682), Ibn Majah (2682) dan Ahmad (21715)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, beliau ialah Muhammad Soleh al-Munajjid bukanlah suatu nama yang asing lagi, khususnya dalam dunia Islam dan sumbangan beliau dalam dunia dakwah.

Secara ringkasnya, beliau dilahirkan pada 30 Zulhijjah 1380 Hijrah. Beliau menjalani pendidikan peringkat rendah, menengah, dan tinggi di Riyadh, Arab Saudi. Kemudian, beliau berpindah ke Dhahran (al-Zahran) untuk menyelesaikan pengajian peringkat universiti.

Sepanjang hayatnya, beliau berguru dengan ramai tokoh ulama besar dan menghadiri majlis ilmu mereka. Di antaranya adalah seperti majlis ilmu Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah bin Baz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin dan Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Jibrin. Beliau paling banyak mengambil manfaat daripada Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Barrak. Beliau juga mempelajari al-Quran dan membetulkan bacaannya daripada Syeikh Sa‘id Al Abdullah.

Di antara guru-guru lain yang banyak memberi manfaat kepadanya adalah seperti Syeikh Soleh bin Fauzan Alu Fauzan, Syeikh Abdullah bin Muhammad al-Ghunaiman, Syeikh Muhammad Walad Sidi al-Habib al-Syinqiti, Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-Zamil dan Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Soleh al-Mahmud.

Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid paling banyak mengambil manfaat daripada Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz khususnya dalam menjawab persoalan-persoalan fiqh. Hubungannya dengan Syeikh Ibn Baz berlangsung selama 15 tahun. Syeikh Ibn Baz adalah individu yang mendorong beliau untuk mula mengajar, bahkan Syeikh Ibn Baz telah menulis surat kepada Markaz al-Da‘wah wa al-Irsyad di Dammam untuk membolehkan kerjasama dengan Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid dalam ceramah, khutbah-khutbah, dan kuliah-kuliah ilmu. Syeikh Ibn Baz juga menjadi asbab beliau kemudian dilantik sebagai khatib, imam, dan pensyarah.

Tambahan pula, Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid juga dikenali sebagai seorang tokoh dakwah yang gigih. Beliau adalah Imam dan Khatib di Masjid Umar bin ‘Abd al-‘Aziz di Khabar (الخبر). Beliau juga aktif mengajar kitab-kitab tafsir, hadith, dan fiqh melalui kelas pengajian mingguan, bulanan, serta pelbagai siri ceramah. Di antara pengajian dan kelas ilmu yang beliau kendalikan:

  • Tafsir Ibn Kathir
  • Syarah Sahih al-Bukhari
  • Fatawa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah
  • Syarah Sunan al-Tirmizi
  • Syarah ‘Umdah al-Ahkam fi al-Fiqh karya al-Hafiz ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi
  • Syarah Kitab Minhaj al-Salikin oleh Syeikh al-Sa‘di

Begitu juga beliau turut menghasilkan banyak karya dan penulisan, di antaranya:

  • Kunu ‘ala al-Khair A‘wanan.
  • Arba‘un Nasihah li Islah al-Buyut.
  • 33 Sababan li al-Khusyu‘.
  • Al-Asalib al-Nabawiyyah fi ‘Ilajal-Akhta’.
  • Sab‘un Mas’alah fi al-Siyam.
  • ‘Ilaj al-Humum.
  • al-Manhiyat al-Syar‘iyyah.
  • Maza Taf‘al fi al-Halat al-Taliyah.
  • Wasa’il al-Thabat ‘ala Dinillah.
  • Uridu an Atuba wa lakin.

Selain itu, beliau telah menghasilkan lebih daripada 4,500 jam rakaman kuliah, serta banyak terlibat dalam program radio dan televisyen. Beliau juga merupakan pengasas laman web IslamQA (islamqa.info) sejak tahun 1996, yang menjadi sumber rujukan utama bagi umat Islam di seluruh dunia sehingga pada hari ini.[1]

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid ialah seorang tokoh yang banyak berjasa dalam penyebaran ilmu dan dakwah Islam. Dengan ribuan karya audio, buku, dan platform seperti IslamQA, beliau telah memberikan sumbangan besar dalam membimbing umat Islam untuk memahami agama dengan lebih baik. Semoga Allah SWT merahmati usaha beliau, memanjangkan umurnya dalam kebaikan dan memberikan pahala yang berlipat ganda atas sumbangan dan jasa-jasanya kepada umat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

 

[1] Lihat https://islamqa.info/ar/about-director. Diakses pada 6 Disember 2024.