#7617: Hadith “Janganlah Kamu Membebankan Diri Kamu, Nescaya Allah Akan Membebankanmu”

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, boleh jelaskan kepada kami maksud hadith “Janganlah kalian membebankan diri kamu, nescaya Allah akan membebankanmu.”. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami Mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Syeikh Ali al-Sobuni berkata: “Allah tidak jadikan kamu pada agama ini sebarang bentuk kesempitan dan masyaqqah. Dia juga tidak sekali-kali mentaklifkan kamu apa yang kamu tidak mampu, bahkan ia adalah agama yang penuh tolak ansur.” (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/275)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami kemukakan terlebih dahulu hadith yang diriwayatkan daripada Anas bi Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تُشَدِّدُوا عَلى أَنفُسِكًم فَيُشَدَّدَ عَلَيْكُمْ فَإِنَّ قَوْمًا شدَّدُوا عَلَى أَنفُسِهِم فَشَدَّدَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ فَتِلْكَ بَقَايَاهُمْ فِي الصَّوَامِعِ والدِّيارِ (رَهْبَانيَّةً ابْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَاهَا عَلَيْهْمْ).

Maksudnya: “Janganlah kamu membebankan diri kamu, nescaya Allah akan membebankanmu. Sungguh, ada suatu kaum yang suka membebankan diri mereka lalu Allah membebankan bagi mereka. Itulah pewaris-pewaris mereka yang ada di dalam biara-biara dan tempat peribadatan. Firman Allah: (perbuatan mereka beribadat secara “Rahbaniyyah” – merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka)”

Riwayat Abu Dawud (4904)

Hadith ini menunjukkan bahawa larangan daripada bersikap melampau dalam beragama kerana ia membawa kepada bebanan taklif (tuntutan) yang berat dan hukuman yang berat. Allah SWT menjadikan agama ini mudah dan penuh toleransi. Sesiapa yang melanggar tujuan agama, bertentangan dengan fitrah, dan memberatkan dirinya sendiri, pasti akan gagal melaksanakan beban yang dia wajibkan ke atas dirinya dengan menganggapnya sebagai sebahagian daripada agama. Akibatnya, dia akan merasa dirinya jauh daripada agama, bertentangan dengannya, dan kehilangan semangat serta keazaman. Dia juga tidak menyedari bahawa sikap keterlaluan itulah pintu masuk syaitan ke dalam dirinya.[1]

Al-Mulla Ali al-Qari dalam syarahan berkenaan hadith ini menyatakan bahawa: Janganlah kamu memberatkan diri kamu sendiri iaitu dengan melakukan amalan-amalan yang sukar seperti berpuasa sepanjang masa, menghidupkan malam sepenuhnya tanpa rehat, atau menjauhkan diri daripada isteri, agar kamu tidak menjadi lemah dalam beribadah dan dalam melaksanakan hak-hak serta kewajipan. Maka Allah akan memberatkan ke atas kamu, iaitu, Allah akan mewajibkannya ke atas kamu, sehingga kamu jatuh dalam kesukaran, atau dengan menyebabkan kamu kehilangan sebahagian daripada apa yang diwajibkan ke atas kamu kerana kelemahan kamu untuk menanggung kesukaran itu. Demikianlah yang dikatakan oleh para pensyarah hadith.

Pendapat yang lebih zahir ialah: Janganlah kamu memberatkan diri kamu sendiri dengan mewajibkan ibadah-ibadah yang berat melalui nazar atau sumpah, maka Allah akan memberatkan ke atas kamu dengan mewajibkannya ke atas kamu disebabkan oleh kewajipan yang kamu kenakan ke atas diri sendiri. Akibatnya, kamu akan menjadi lemah untuk melaksanakan hak-hak tersebut, merasa bosan, malas, dan akhirnya meninggalkan amalan itu sehingga kamu terjatuh dalam azab Allah Ta‘ala. (LihatMirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 1/286)

Yang demikian juga telah ditegaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan  daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَأَبْشِرُوا، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam. (Dan dalam lafaz yang lain pula): Hendaklah kamu bersikap sederhana, hendaklah kamu bersikap sederhana, niscaya kamu akan sampai (kepada tujuan yang selamat).”

Riwayat al-Bukhari (39)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Sesungguhnya, apabila melihat kepada manusia sebelum daripada kita, bahawa setiap yang melampau dalam agama pasti akan terhenti. Selain itu, ini tidak menunjukkan halangan dalam mencari kesempurnaan di dalam beribadah kerana itu merupakan perkara yang terpuji. Bahkan, hadith ini melarang bersikap melampau yang boleh membawa kepada lesu (malas) atau berlebih-lebih dalam perkara yang sunat sehingga membawa kepada meninggalkan yang afdhal atau mengeluarkan perkara yang fardhu itu daripada waktunya (terlepas waktu). (Lihat Fath al-Bari, 1/94)

Kesimpulan

Islam adalah agama yang mengutamakan kemudahan dan toleransi, tanpa membebankan penganutnya dengan tuntutan yang melampaui kemampuan manusia. Larangan terhadap sikap keterlaluan dalam ibadah atau amalan agama bertujuan memastikan umat Islam dapat menjalani kehidupan beragama dengan baik, tanpa rasa terbeban sehingga mengabaikan hak dan tanggungjawab utama. Pendekatan yang sederhana dan seimbang dalam melaksanakan tuntutan agama adalah selaras dengan fitrah manusia dan mampu membawa kepada keberkesanan ibadah serta ketenangan jiwa.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu‘alam

Nota hujung:

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18017/%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B1%D8% Diakses pada 6 Disember 2024