Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, adakah riya’ terdapat tingkatannya atau darjatnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ
Maksudnya: “Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman).”
(Surah al-Nisa’: 142)
Imam al-Tabari berkata: Maksudnya adalah, orang-orang munafik tidak pernah melakukan suatu perbuatan yang telah diwajibkan Allah kepada orang-orang beriman untuk membuatkan mereka dapat mendekatkan diri kepada Allah, kerana mereka tidak percaya dengan datangnya Hari Kiamat, serta tidak percaya pada pahala dan seksa. Mereka hanya melakukan perbuatan zahir, demi kelangsungan hidup mereka, agar terhindar daripada orang-orang beriman yang akan membunuh atau merampas harta mereka.
Jadi, apabila mereka berdiri untuk melakukan solat yang merupakan suatu kewajiban dan perintah yang jelas dan nyata, maka mereka berdiri dengan bermalas-malasan, hanya kerana ingin dilihat dan dipuji di hadapan orang-orang beriman, agar mereka (orang-orang beriman) mengira bahawa mereka (orang munafik itu) sama seperti mereka. (Lihat Jami’ al-Bayan fi Ta’wil Ay al-Quran, 8/10)
Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pendapat Ibn Qudamah al-Maqdisi. Beliau berkata:
Ketahuilah, sebahagian daripada pintu riya’ lebih berat daripada yang lain kerana ia mempunyai darjat atau tingkatan:
- Pertama dan paling besar serta berbahaya adalah apabila seseorang beribadat tanpa menghendaki pahala langsung, seperti seseorang yang terpaksa solat di hadapan orang ramai, tetapi apabila dia berseorangan, dia tidak menunaikan solat.
- Kedua, seseorang itu menghendaki pahala tetapi disertai dengan riya’, di mana niat untuk mendapat pahala itu kecil atau lemah. Jika dia berseorangan, dia tidak melakukan ibadat tersebut. Golongan ini sama seperti yang pertama, di mana kedua-duanya dimurkai oleh Allah.
- Ketiga, seseorang itu mempunyai niat untuk mendapat pahala dan juga riya’ dengan kadar yang sama atau hampir sama. Jika salah satu daripadanya terpisah, nescaya dia tidak akan melakukan amalan tersebut. Keadaan ini kadangkala lebih banyak merosakkan, sebagaimana ia juga boleh menjadi lebih baik. Namun, hal ini tidaklah selamat daripada dosa.
- Keempat, seseorang itu beribadat supaya dilihat oleh orang ramai. Ketika itu, dia bersungguh-sungguh melakukannya. Namun, jika orang tidak melihatnya, dia juga tidak meninggalkan ibadat tersebut. Orang ini diberi pahala mengikut niat yang sahih, tetapi dihukum berdasarkan niatnya yang rosak. (Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 205).
Justeru, sewajarnya kita menjarakkan riya’ dalam apa jua sekalipun dan menggantikan dengan keikhlasan kerana dengan itulah amalan kita diterima. Benarlah firman Allah SWT:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya”.
(Surah al-Bayyinah: 5)
Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat ini dengan ayat yang lain iaitu: Firman Allah SWT: “قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ” (Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”.) [Surah al-Zumar: 11]. Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 20/144)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”