#7619: Galakan Bekerja dan Berdikari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Islam menggalakkan kita bekerja dan berdikari untuk kehidupan dan makanan kita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam menentang kemalasan bahkan Allah perintahkan kepada kita untuk terus berjalan berkelana di muka bumi mencari rezeki Allah. Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِّزْقِهِ ۖ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).

(Surah al-Mulk:15)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Maksudnya, Dia-lah yang menundukkan bumi untuk kamu agar kamu dapat memperoleh apa sahaja yang kamu perlukan, seperti bercucuk tanam, mendirikan bangunan, membuat jalan yang menghubungkan ke tempat yang jauh dan pelbagai negara. “Maka berjalanlah di segala penjurunya,” maksudnya untuk mencari rezeki dan penghasilan, dan makanlah sebahagian daripada rezekinya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 552)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan ya. Hal ini berdasarkan sebuah hadith, daripada al-Miqdam bin Ma’di Karib al-Kindi R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ، وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ

Maksudnya: “Tidak ada satu makanan pun yang dimakan oleh seseorang, yang lebih baik selain daripada hasil usaha sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud memakan makanan hasil dari usaha Baginda sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (2072)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan, jika seorang lelaki membuat usaha dengan tangannya melalui pertanian, itu adalah pendapatan yang lebih baik dan afdhal, kerana ia melibatkan kerja tangan, mengandungi unsur tawakal, memberi manfaat kepada umat Islam dan juga haiwan kerana secara umumnya, hasilnya akan dimakan tanpa sebarang gantian/upah, maka dia akan memperoleh ganjaran pahalanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/412; 4/220-221)

Dalam sebuah hadith daripada Rifa’ah bin Rafi’ R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- سُئِلَ أَيُّ الكَسْبِ أَطْيَبُ؟ قَالَ: عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِه، وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ.

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW pernah ditanya: “Pekerjaan apa yang paling baik?” Maka Baginda SaW menjawab: “Pekerjaan seseorang yang dilakukan dengan tangannya sendiri, dan setiap jual beli yang baik.”

Riwayat Ahmad (17265), al-Tabarani (13939), al-Hakim (2/10), al-Bazzar (2/83) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (5/263). Hadith ini dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (1126). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut pula menyatakan ianya sebagai hasan li ghairihi dalam takhrij al-Musnad.

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan: Maksud ‘الكَسْبِ’ adalah usaha yang dilakukan dengan tangannya sendiri.  ‘الكَسْبِ’ adalah mencari rezeki dan melakukannya dengan tindakan dan kerja keras. Manakala lafaz ‘أَطْيَبُ’ pula bermaksud perbuatan yang paling utama, paling banyak keberkatannya dan yang paling halal.

Berdasarkan hadith di atas, terdapat beberapa pengajaran, antaranya:

  • Hadith di atas merupakan dalil bahawa ajaran Islam menganjurkan untuk bergerak dan bekerja, serta mencari pekerjaan-pekerjaan yang baik. Islam adalah agama dan negara. Sebagaimana Allah SWT memerintahkan kepada hamba-Nya melaksanakan hak-hak Allah, maka Allah SWT juga memerintahkan untuk mencari rezeki dan berusaha di muka bumi untuk memakmurkan dan mengembangkannya.
  • Hadith di atas juga menunjukkan bahawa perbuatan apa sahaja yang dilakukan oleh seorang Muslim untuk memperbaiki dirinya dan tidak mempedulikan dengan apa-apa yang ada di tangan manusia (yakni merasa cukup), maka ia termasuk pekerjaan-pekerjaan yang baik. Setiap manusia hendaklah bersedia menerima pekerjaan, kemahiran dan jenis industri yang sesuai dengan kemampuan dirinya.

Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/218-219).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”